DI atas mejanya bersepah dengan pen yang berwarna-warni. Sesekali dagunya diketuk dengan pen itu, berfikir warna apa yang perlu digunakan seterusnya buat menghiasi helaian kertas di dalam buku jurnalnya. Pen berwarna biru cair diambil dan ayat terakhir ditulis.
"Siap!" Jerit Arabella sambil mengangkat tinggi buku jurnalnya. Tajuk yang tercatat pada helaian muka surat itu direnung dengan senyuman lebar.
100 days with Hayden Raphael ♡
Di atas kertas itu tertulis rancangan yang mahu dia lakukan bersama-sama Hayden selama 100 hari. Dia tidak tahu berapa lama dia dapat bersama dengan Hayden, jadi dia hanya menganggap, gelaran isterinya itu akan bertahan selama 100 hari atau mungkin kurang. Dia tidak kisah tentang itu, sejujurnya. Asalkan dia dapat membuat perkara yang dia impikan bersama dengan lelaki yang dia cinta.
Ya, dia cintakan Hayden. Walaupun dia sendiri tidak tahu bagaimana rasanya perasaan jatuh cinta itu, tetapi dia yakin, rasa sayangnya terhadap Hayden sudah lebih...lebih daripada rasa sayang terhadap diri sendiri.
Arabella kembali menyimpan buku jurnalnya. Dia menompang dagu, merenung jambangan tiga kuntum bunga matahari pemberian Hayden dua bulan lepas yang sudah layu bunga dan daunnya. Jika ada kelopak yang jatuh, kelopak itu akan dikutip kemudian ditampal dengan pita pelekat di dalam jurnalnya.
Matanya teralih pula pada jam digital di atas meja. Sudah jam 11 malam dan Hayden masih belum pulang dari kerja. Telefon bimbit dicapai dan kontak nama Hayden ditekan untuk membuat panggilan.
Ada deringan tetapi tamat selepas 15 saat dan masuk ke dalam peti suara. Arabella terus membuat panggilan buat kali kedua tetapi keputusannya masih sama. Panggilannya tidak dijawab. Telefon bimbit terus ditolak ke tepi. Kepalanya dilentokkan di atas meja sambil merenung skrin hitam telefon pintarnya.
Mengapa setiap kali dia membuat panggilan kepada Hayden, lelaki itu tidak pernah mengangkat panggilannya? Sekali pun. Tidak pernah. Jadi, apa fungsi lelaki itu memberinya telefon bimbit jika panggilannya tidak pernah dijawab?
Keluhan dilepaskan. Arabella bangun dan keluar dari biliknya. Dia melangkah keluar dari dumah dan duduk di atas buaian di halaman depan, sambil menatap langit malam yang penuh dengan bintang-bintang. Rumah Hayden terletak di kawasan yang agak berhutan, tidak ada kawasan industri di situ. Jadi, bintang-bintang di langit setiap malam akan jelas kelihatan dan bertaburan di dada langit.
"Bella? Kenapa duduk dekat luar ni?"
Terhinjut bahu Arabella ketika mendengar satu suara garau seseorang yang tiba-tiba muncul dari tepi. Dia menoleh dan ketika melihat Hayden, senyuman manisnya terlukis.
"Awak dah balik. Maaf, saya tak perasaan. Saya tengah kira bintang." Jari runcingnya menunding ke arah bintang-bintang di langit. Hayden memandang ke arah yang ditunjuk oleh Arabella dengan wajah yang berkerut.
"Dah kira sampai berapa ribu?"
"Belum ribu lagi. Baru seratus lima."
Hayden tersenyum kecil mendengar jawapan selamba Arabella dengan wajah polos wanita itu yang masih mendongak ke langit.
"Hayden, esok awak tak kerja, kan?" Tanya Arabella yang sudah menoleh, memandang Hayden yang masih berdiri di sisi. Hayden mengangguk. "Jom, kira bintang." Arabella menayangkan senyuman yang menampakkan giginya yang tersusun rata. Teruja mahu memulakan pelan 100 hari bersama-sama Hayden yang sudah dirancang dari petang tadi.
Hayden sudah menggaru-garu kepala. Dia berasa penat selepas pulang dari melawat Lucia tadi dan esok dia memang tidak bekerja, tetapi dia perlu ke Amerika selama seminggu. Tidak sampai hati pula mahu menolak ajakan Arabella. Kalau dia tidak mahu pun, pasti wanita itu akan terus berada di luar, mengira bintang berseorangan. Risau lah pula.
YOU ARE READING
ARABELLA
RomanceHanya mahu jadi yang diinginkan. Hanya itu. *** Love Arabella, nama yang indah tapi sayang...kalaulah hidupnya seindah namanya. Dia dibenci oleh orang di sekeliling tanpa dia sendiri tahu punca sebenar. Mungkin kerana dia bersuara. Mungkin kerana di...