KAIN pembalut berwarna putih itu dipusingkan ke tangan mengikut arahan pada nota yang ditulis oleh Arabella. Berkerut-kerut wajahnya cuba untuk mendapatkan balutan kemas seperti Arabella lakukan semalam, tetapi apa yang ada di tangannya sekarang, berserabut!
"Haish!" Pembalut dibaling kasar ke lantai. Hayden berpeluk tubuh, bersandar pada kepala katil dengan muka tidak puas hati.
Mata tajamnya merenung lama pasu bunga berisi bunga matahari yang diletakkan oleh Ace di hadapan tingkap biliknya. Pandangannya bertukar sayu sebelum keluhan panjang dilepaskan. Renungan dialihkan ke arah pintu biliknya yang tertutup rapat, berharap pintu itu dibuka oleh seseorang atau lebih tepat lagi Arabella.
Tapi, tak mungkinlah.
Buat kesekian kalinya, dia mengeluh lagi. Baru beberapa jam Arabella pergi, dia sudah merindui wanita itu. Hayden bangun dari duduknya. Telefon bimbitnya dicapai dan nama kontak di atas skrin telefonnya ditatap buat seketika.
Bunga Matahari Saya.
Jarinya berpusing di atas nama itu dengan bibir yang terus terkumat-kamit. "Nak call ke, tak? Nak call ke, tak? Nanti call, dia perasan aku rindu dekat dia pula. Ish, tak naklah!" Hayden mencebik. Telefon bimbitnya dimatikan semula. Dia termenung lama menghadap bunga matahari di hadapannya.
"Nak call ke?" Soalnya kepada jambangan bunga matahari itu. "Kalau call, nak cakap apa?" Soalnya lagi kemudian kepala yang tidak gatal, digaru perlahan. Sambil berfikir, sambil kukunya digigit, cuba untuk mencari jalan buat mendengar suara Arabella walaupun sekejap. Sudahlah perbualan kali terakhir mereka sebentar tadi dalam suasana tegang, membuatkan rasa serba salah Hayden semakin menebal.
"Nak suruh Ace call, nanti dia sakat aku pula. Kau ni pun Hayden, dahlah halau orang lepas tu cari gaduh pula! Bengap!" Bebel Hayden sendiri.
Selepas hampir setengah jam berfikir, akhirnya, dia mendapat idea yang lebih baik lagikan bernas. Jarinya dipetik kuat. Bibirnya menarik senyuman lebar.
"CCTV!" Jeritnya teruja sebelum berlari anak keluar dari biliknya dan menuju ke bilik kerja.
Komputer meja pantas dibuka dan kata laluan untuk kamera litar tertutup yang pernah dia pasang di rumah Datin Amelia dahulu, dimasukkan. Haih, bagaimanalah dia boleh terlupa tentang kewujudan kamera-kamera itu.
Sepuluh buah video yang sedang dimainkan serentak di setiap penjuru skrin komputernya, dipandang satu per satu. Matanya ralit mencari kelibat Arabella. Video-video itu kemudiannya, ditekan tetapi masih juga tiada figura Arabella di mana-mana, termasuklah biliknya sendiri.
Dia berdecit perlahan, masih tidak berpuas hati. Video-video tadi diputar balik ke belakang, kembali ke beberapa jam yang lepas, di mana Arabella baru tiba di hadapan rumah.
Senyuman Hayden kembali terukir saat melihat Arabella yang sedang menarik bagasi masuk ke dalam rumah. Video di ruang tamu pula ditekan, dia terus memerhati Arabella yang sedang menarik bagasinya dengan penuh susah payah menaiki tangga, membuatkan senyuman Hayden semakin melebar ketika memandang wajah comel itu yang sedang berkerut-kerut.
"Kau memang berani, eh? Apa yang aku buat dekat kau bulan lepas tak cukup ke? Nak lagi?"
Senyuman Hayden memudar saat mendengar bicara kasar ibu mertuanya kepada Arabella. Arabella juga kelihatan kaget dan gelisah saat berada di hadapan ibunya.
"Hayden...Hayden suruh Love balik sini. Di—dia dah tak nak jaga Love dah."
Tutur Arabella takut-takut, dengan kepala yang tertunduk ke lantai. Dan sekarang, senyuman Hayden serta merta mati. Mendengar suara sayu yang bercampur ketakutan itu membuatkan Hayden sedar bahawa ada sesuatu yang tidak kena dengan keluarga itu.
YOU ARE READING
ARABELLA
RomantizmHanya mahu jadi yang diinginkan. Hanya itu. *** Love Arabella, nama yang indah tapi sayang...kalaulah hidupnya seindah namanya. Dia dibenci oleh orang di sekeliling tanpa dia sendiri tahu punca sebenar. Mungkin kerana dia bersuara. Mungkin kerana di...