ARABELLA duduk di katil dengan kaki yang terlunjur ke bawah. Dia merenung seorang jururawat yang menjaganya sepanjang seminggu dia di hospital itu, sedang menulis sesuatu pada sehelai kertas.
"Puan Love, senyumlah sikit. Hari ini kan puan dah boleh keluar hospital." Tegur jururawat itu sambil tersenyum-senyum. Arabella cuma membalas senyuman itu hambar.
"Saya keluar dulu, ya? Senarai ubat puan, saya dah beri dekat suami puan. Nanti—"
"Aaa...dia bukan suami saya." Pintas Arabella. Dia tersenyum kekok kepada jururawat yang sudah berkerut memandangnya. "Dia...dia majikan saya." Sambung Arabella perlahan.
"Oh! Maaf, saya ingat Tuan Hayden tu suami puan sebab dia selalu panggil puan isteri dia. Lagipun, nampak Tuan Hayden tu manja betul dengan puan sampai tak nak balik rumah. Itu yang buat saya terkeliru. Ehehe...saya keluar dulu, ya?" Jururawat itu menayangkan sengihan sebelum berlalu keluar, meninggalkan Arabella bersorangan di dalam wad persendirian itu.
Arabella menunduk. Jarinya dimainkan sesama sendiri. Dia risau memikirkan ke mana dia mahu pergi selepas dia keluar dari hospital ini. Dia bukan isteri Hayden. Ibunya juga tidak akan mahu menerimanya lagi. Hendak menyewa hotel, dia tiada satu sen pun di dalam poket ketika ini.
"Sempat tak, nak cari kotak sebelum hujan ni?" Soal Arabella sendiri. Matanya menilik langit yang tampak sedikit mendung itu. Dia bercadang untuk tidur di tepi jalan beralaskan kotak sahaja buat beberapa hari ini. Mungkin esok dia boleh mula mencari kerja sambilan.
Dia turun dari katil. Baru sahaja topang kaki mahu dicapai, tindakannya terhenti apabila tubuhnya terasa terapung di awang-awangan. Mata Arabella membulat apabila melihat Hayden yang sedang mendukungnya. Lelaki itu meletakkannya di atas kerusi roda.
"Sekali lagi, saya nampak awak berjalan, saya dukung awak dari sini sampai pintu keluar. Nak?" Hayden mengangkat sebelah keningnya, memandang wajah kaget Arabella.
Arabella laju menggeleng. Hayden tersenyum kecil. Pucuk hidung mancung itu dicuit sekilas.
"Jom, kita balik." Hayden mula menolak kerusi roda Arabella dari belakang. Arabella cuma menyepi dan membiarkan sahaja Hayden terus membawanya keluar dari hospital dan menuju ke arah sebuah kereta mewah.
"Yeyy! Puan Love dah boleh balik! Lepas ni, boleh lah saya request kek coklat hari-hari! Tak sabarnya!" Ace yang sedang berdiri di sisi kereta itu bersorak teruja ketika melihat Arabella yang sudah berada di luar perkarangan hospital. Bersemangat lelaki itu ketika membantu Arabella masuk ke dalam kereta. Arabella cuma tersenyum nipis mendengar suara ceria Ace.
Sepanjang perjalanan, kereta itu cuma dimeriahkan dengan celoteh Ace. Hayden dan Arabella cuma diam membisu di tempat duduk belakang. Arabella membuang pandangan ke luar tingkap. Fikirannya kosong. Ace yang sedang bercerita juga tidak diendahkan. Mindanya dari tadi terus berfikir, ke mana Hayden mahu membawa dia. Mungkin lelaki itu akan menyuruh Ace memberhentikan kereta, dan meninggalkan saja dia di tepi jalan.
Arabella tersentak apabila terasa sentuhan pada tangannya. Dia menoleh, memandang Hayden yang sedari tadi sedang memerhati tingkahnya.
"Awak okay?" Tanya Hayden apabila melihat Arabella cuma mendiamkan diri sejak pagi tadi. Wanita itu juga tidak nampak teruja ketika jururawat memberi khabar bahawa dia dibolehkan pulang pada tengah hari ini.
Pertanyaan Hayden, hanya dibalas gelengan daripada Arabella. Wanita itu mendekatkan sedikit dirinya kepada Hayden. "Awak nak hantar saya dekat mana? Boleh tak sebelum awak berhentikan saya dekat tepi jalan, kita pergi cari kotak dulu?" Bisik Arabella dengan mata bundarnya dikelip-kelipkan kepada Hayden.
YOU ARE READING
ARABELLA
RomanceHanya mahu jadi yang diinginkan. Hanya itu. *** Love Arabella, nama yang indah tapi sayang...kalaulah hidupnya seindah namanya. Dia dibenci oleh orang di sekeliling tanpa dia sendiri tahu punca sebenar. Mungkin kerana dia bersuara. Mungkin kerana di...