"SETAKAT ni kami dah berjaya tangkap si pelaku dan beberapa orang anak buah Adam yang lain." Ujar Ace sambil menghulurkan sehelai fail yang mengandungi identiti dan latar belakang konco-konco Adam yang bertanggungjawab atas serangan tembakan tempoh hari. Hayden menyambut fail itu dan mula meneliti setiap butiran di dalamnya.
"Macam mana dengan rumah Adam? Dah bakar?" Tanya Hayden mendatar. Matanya masih tidak lari daripada helaian kertas di tangan.
"Dah, tuan. Sekarang kami tengah jejak yang lain. Saya yakin masih ada yang terlepas." Jawab Ace. Dia berdiam diri seketika dan memerhati majikannya yang sedang meneliti fail yang diberi tadi, sebelum mata Ace jatuh pada cincin yang tersarung di jari manis Hayden. Dia teringat sesuatu. Satu lagi fail dikeluarkan dan diletakkan di atas meja Hayden. Hayden mengangkat kening.
"Itu gambar yang saya sempat ambil sebelum rumah Adam dibakar. Jujur, kalau saya dekat tempat Puan Love, saya pun akan buat perkara yang sama, tuan." Jelas Ace kemudian menolak fail itu ke arah Hayden. Hayden segera meletakkan kertas di tangannya ke tepi dan fail yang baru diberi oleh Ace dicapai.
Beberapa keping gambar di dalam fail itu dikeluarkan. Mata Hayden membulat melihat gambar persekitaran di dalam rumah Adam yang diambil oleh Ace itu. Mulutnya ditekup. Dia tidak sangka bahawa suasana di dalam rumah Adam seperti itu. Seperti neraka.
"Ini, bilik Puan Love." Ace menolak satu gambar. Sekali lagi Hayden terkejut. Bilik itu jauh lebih kecil daripada bilik air di dalam rumahnya.
"Dah berapa lama Bella duduk dekat sana?" Tanya Hayden. Gambar-gambar di tangannya ditolak jauh, tidak sanggup lagi dia mahu melihat neraka Adam itu.
"Lima tahun." Jawab Ace membuatkan Hayden tersandar di kerusi kulitnya. Lelaki itu menghela nafas berat. Tidak peliklah jika Arabella begitu teruja ketika datang ke rumahnya semalam. Habis satu rumah diteroka dalam satu hari.
"Dan saya percaya yang anak buah Adam tak akan lepaskan Puan Love lepas kejadian tu. Dorang pun dah dapat tahu yang dorang tembak hari itu, Cik Lucia bukan Puan Love." Tambah Ace. Hayden mengangguk faham.
"Jadi, lepas ni bila saya ada kerja dekat luar, awak tak payah ikut saya lagi. Awak jaga Bella. Okay?" Pesan Hayden dibalas anggukan daripada Ace.
"Baik, tuan."
"Lagi satu, kalau dia nak apa-apa...bagi je."
Ace tersenyum dan mengangguk lagi. "Saya minta diri dulu." Ucap Ace dan berjalan keluar dari bilik kerja Hayden.
"Baahh!"
"Opocot!" Jerit Ace sebelum dia jatuh terduduk di lantai. Arabella yang berniat mahu mengejutkan Hayden cepat-cepat berlari mendapatkan Ace yang terjatuh di hadapan bilik Hayden.
"Alamak! Salah orang!" Riak Arabella berubah cuak. Dia melutut di hadapan Ace yang sedang mengaduh kesakitan kerana punggungnya yang terhentak kuat di lantai ketika jatuh tadi.
Hayden yang sudah berkerut wajah, tidak mengerti situasi yang sedang berlaku, segera bangun dari kerusi kulitnya dan menghampiri Ace dan Arabella. Dia memandang riak Arabella yang gusar dan ekspresi Ace yang dalam kesakitan bergilir.
"Kenapa ni?" Tanya Hayden. Arabella dan Ace serentak mendongak memandang Hayden.
"Sa—saya nak...nak terkejutkan awak! Ta—tapi salah orang!" Beritahu Arabella dengan tangannya yang sudah menggelibas ke udara semasa menerangkan perkara yang sedang berlaku. "Awak...awak boleh bangun tak ni?" Soalnya kepada Ace yang masih terduduk di lantai. Ace tidak menjawab, lelaki itu terus berdesis kesakitan.
"Aaa...erm...kalau awak tak boleh bangun, awak jangan risau, saya ada pengalaman jaga orang lumpuh." Arabella menghadiahkan senyuman manis kepada Ace. Ace merenung hairan Arabella yang kembali tenang itu. Hayden pula sudah mengemam bibir, menahan tawa.
YOU ARE READING
ARABELLA
RomanceHanya mahu jadi yang diinginkan. Hanya itu. *** Love Arabella, nama yang indah tapi sayang...kalaulah hidupnya seindah namanya. Dia dibenci oleh orang di sekeliling tanpa dia sendiri tahu punca sebenar. Mungkin kerana dia bersuara. Mungkin kerana di...