HAMPIR 13 jam berlalu selepas Arabella dibawa masuk ke dalam bilik pembedahan. Wanita itu mengalami pendarahan dalaman yang serius kerana tulang rusuknya yang patah dan memerlukan pembedahan segera.
Suasana di luar sudah gelap gelita. Ace menguap besar. Tersengguk-sengguk kepalanya menahan rasa kantuk yang semakin menguasai diri. Dia memandang Hayden yang masih merenung sayu pintu bilik pembedahan di hadapannya. Ace bangun dari tempat duduk dan mula menggeliat.
"Saya nak pergi beli kopi. Tuan nak apa-apa?" Tanya Ace tetapi cuma dibalas sepi oleh Hayden. Entah lelaki itu dengar atau tidak soalan Ace tadi. Ace melepaskan keluhan apabila melihat Hayden yang cuba diam membisu itu. Tanpa bertanya lagi, dia membuka langkah pergi dan meninggalkan sebentar Hayden seorang diri di situ.
Hayden terus menatap pintu bilik pembedahan yang tertutup rapat di hadapannya. Lampu di atas pintu itu yang masih berwarna merah, dipandang lama. Rasa resah, kesal dan sebaknya tidak berhenti menghentam dada. Air mata yang terus bergenang, diseka pantas sebelum kedua-dua tangannya dibawa menekup wajah.
"Keluarga Puan Love Arabella?"
Hayden mendongak. Figura seorang lelaki dalam persalinan biru yang sedang berdiri di hadapannya, dipandang. Wajahnya diraup perlahan dan segera dia berdiri dari kerusi.
"Ya, saya suami dia. Macam mana dengan isteri saya?"
"Pembedahan berjaya dan Puan Love berada dalam keadaan stabil. Puan Love dah sedar tadi tetapi dia perlukan rehat dan masih di bawah pengaruh bius. Sekarang, kami akan pindahkan dia ke unit pemulihan kerana Puan Love masih di bawah pemerhatian ketat dan memerlukan bantuan pernafasan." Ujar doktor lelaki itu sebelum pintu bilik pembedahan dibuka dan tubuh Arabella diusung keluar dari situ oleh beberapa orang jururawat untuk dibawa ke unit rawatan rapi.
Hayden memerhati lama wajah pucat itu yang masih tertutup rapat matanya. Keadaan tubuh Arabella agak teruk. Kaki sebelahnya juga bersimen kerana patah. Nasib baik tiada kecederaan pada anggota badannya yang lain.
"Terima kasih, doktor." Ucap Hayden dan segera mengikuti langkah jururawat-jururawat tadi.
Dia berdiri di muka pintu sambil melihat mereka sedang menyediakan katil buat Arabella sebelum meletakkan tubuh Arabella di situ, dan berlalu keluar selepas selesai.
Hayden mendekati tubuh Arabella dan mengambil tempat di sisi katil. Tangannya mencapai dan menggenggam erat tangan kecil itu.
"Saya minta maaf, Bella. Saya minta maaf..."
Wajah putih pucat itu ditatap dengan mata yang kembali berkaca. Genggamannya semakin dieratkan dan wajah disebamkan di lengan Arabella, membiarkan air matanya membasahi pakaian hospital yang tersarung pada tubuh itu.
"Saya rindukan awak..."
Esakannya pecah lagi. Khabar tentang keadaan Arabella yang stabil, tidak cukup untuk menenangkan hatinya. Dia mahu melihat mata biru itu terus merenung dia hangat. Dia mahu melihat senyuman manis itu. Dia mahu mendengar suara lembut itu lagi. Dia mahu mendengar gelak yang setiasa menghiburkan hatinya itu. Dia mahu melayan karenah merepek Arabella.
Dia mahu semua itu terjadi sekali lagi.
Dia cuma mahu memandang wajah manis Arabella tersenyum bahagia setiap kali menyambut kedatangannya.
Cuma itu.
Lambat-lambat kepalanya diangkat. Mutiara jernih di pipinya, dilap dengan belakang tangan. Mata hazel itu merenung semula wajah cantik di hadapannya. Genggamannya pada tangan Arabella, diperkemas. Sebelah lagi tangannya dibawa, mengelus lembut pipi gebu yang penuh kesan lebam itu.
YOU ARE READING
ARABELLA
Roman d'amourHanya mahu jadi yang diinginkan. Hanya itu. *** Love Arabella, nama yang indah tapi sayang...kalaulah hidupnya seindah namanya. Dia dibenci oleh orang di sekeliling tanpa dia sendiri tahu punca sebenar. Mungkin kerana dia bersuara. Mungkin kerana di...