𝟐𝟏.

3.8K 341 48
                                    

"TENGOK mata ni. Ini mata seseorang yang nak teruskan hidup ke, Hayden?"

Jeda. Hayden terkedu. Perlahan-lahan cengkamannya pada bahu Arabella dileraikan. Wajah pucat di hadapannya direnung lama. Tatapan itu...

...terlalu kosong.

"Bella..."

Kedua-dua tangan Hayden kembali jatuh ke sisi. Lemah rasa badannya selepas mendengar bicara Arabella itu. Pandangannya jatuh pada kaki wanita itu. Tiada selipar atau kasut. Dia cuma berkaki ayam. Tangan Arabella segera ditarik sebelum tangannya mencempung tubuh itu dan membawanya kembali ke wad.

Arabella hanya diam di dalam dukungan Hayden. Dia baru tersedar akan keterlanjuran tingkah dan bicaranya tadi.

Tangannya dibawa merangkul leher lelaki itu sepanjang perjalanan mereka menuruni tangga. Mata birunya terus menatap sisi wajah yang sempurna terbentuk milik Hayden, tetapi mata hazel yang tampak berkaca itu yang lebih menarik perhatiannya.

Fokusnya perlahan-lahan teralih pada hujung bibir Hayden yang lebam. Dia perasan akan luka pada tepi bibir merah itu sejak awal lagi, tetapi dia cuma buat tidak peduli. Dia sedar, bukan dia yang Hayden mahu untuk merawat sakitnya malah kehadirannya hanya akan menambah beban lelaki itu. Arabella akan catat semua itu di dalam jurnalnya nanti supaya dia tidak terlupa.

Sampai di wad Arabella, tubuh kecil itu didudukkan dengan penuh berhati-hati di atas katil. Hayden mengambil semangkuk air dan juga sehelai tuala. Dia melutut di hadapan Arabella yang sedang duduk di atas katil. Kaki wanita itu dicapai dan Hayden mula membersihkan tapak kakinya yang kotor dengan debu.

Senyuman Arabella terbentuk kecil. Hujung jarinya dilarikan berkali-kali pada rambut hadapan Hayden yang menutup separuh kening lebatnya. Kepalanya disengetkan apabila melihat Hayden seperti tidak mengendahkan usikannya, malah lelaki itu hanya fokus membersihkan tapak kakinya.

Arabella terus bermain dengan rambut Hayden. Tingkahnya terhenti apabila terasa beberapa titik cecair hangat mendarat pada kulit di kakinya. Dia menunduk. Hayden yang masih melutut di hadapannya dengan wajah yang disembunyikan, diperhati. Sesekali lelaki itu mengesat wajahnya dengan belakang tangan.

"Hayden? Awak menangis?" Tanya Arabella polos. Tangannya menolak wajah Hayden supaya mendongak memandangnya. Senyuman Arabella terhapus saat pandangannya mendarat pada muka yang memerah dengan air mata yang deras mengalir. Butir jernih di pipi Hayden segera diseka dengan jarinya.

"Shhh, jangan nangis. Awak tak boleh menangis. Siapa yang buat awak sedih, Hayden? Awak tak suka bersihkan kaki saya? Tak apa, saya boleh bersihkan sendiri. Awak jangan menangis, okay? Shhh." Arabella mula risau. Tangannya terus menyapu air mata Hayden yang semakin lebat tetapi tangisan lelaki itu hanya bertambah teruk membuatkan Arabella terkedu.

Dia...tidak pernah melihat sesiapa pun menangis sebegitu sekali di hadapannya.

"Saya...saya dah penat hilang orang yang sayang, Bella. Hik! Bila awak buat macam tu—bila awak—Hik! Tolong...jangan buat macam tu lagi!" Bicara Hayden berselang esakan. Dia tidak peduli jika Arabella menjadi orang pertama yang melihat dia seperti ini. Dia tidak peduli jika dia terlihat lemah. Dia tidak peduli jika dia seperti anak kecil di hadapan Arabella. Kerana, sekarang...

Sekarang...dia hanya pedulikan tentang wanita itu. Hanya...wanita itu.

Wajahnya disebamkan pada riba Arabella. Tangisannya dihamburkan di situ.

ARABELLAWhere stories live. Discover now