𝟐𝟓.

3.4K 351 109
                                    

SEPASANG mata biru itu bersinar-sinar memerhati Doktor Deanna yang sedang membuka balutan pada kakinya. Dia tidak sabar. Perkara pertama yang akan dilakukan selepas ini ialah berlari! Atau melompat bersama-sama Sashimi! Ah, seronoknya!

"Lepas ni, lebih berhati-hati ya?" Pesan Doktor Deanna sebelum berlalu keluar bersama dengan alat perubatannya. Arabella mengangguk laju. Kakinya yang sudah bebas daripada sebarang balutan itu dilihat dengan penuh perasaan kagum.

Arabella berdiri dari katil dan mula membiasakan kakinya untuk berjalan. Masih terasa agak kebas tetapi rasanya ini lebih baik daripada berjalan menggunakan tompang kaki.

"Hayden." Panggil Arabella. Dia berlari anak di sekeliling rumah, mencari figura lelaki kacak itu. Gaun separas lutut yang tersarung pada tubuh itu dikibaskan sambil dia berlari.

"Hayden?" Serunya sekali lagi. Kepala dijengukkan ke setiap bilik di rumah itu. Aneh, tiada kelibat lelaki itu di mana-mana. Hayden masih belum pulang?

Sudah hampir sebulan lelaki itu tidak tidur di rumah. Setiap malam, Hayden akan ghaib dan muncul semula pada keesokan paginya. Arabella hanya menganggap lelaki itu sibuk dengan kerja dan dia juga sudah terbiasa duduk seorang diri di rumah itu.

Langkahnya dibawa pula ke ruang tamu, terus ke pintu utama.

"Saya tak kisah, tuan. Saya boleh je tolong jagakan Puan Love setiap malam. Tapi, janji gaji naiklah. Eheh." Suara Ace kedengaran di luar membuatkan kaki Arabella berhenti di belakang pintu yang terbuka separuh itu.

Pasti Ace sedang berbual bersama dengan Hayden, dan dia tidak mahu menganggu. Jadi, dia hanya berdiri di situ, menunggu Hayden masuk.

"Bulan ni dah berapa kali gaji awak naik. Makin lama, gaji awak lebih besar daripada presiden." Balas Hayden. Ace cuma tersengih sahaja mendengar sindiran majikannya itu.

"Dah kerja saya pun lagi susah daripada presiden, nak buat macam mana?"

Hayden menggulingkan matanya mendengar jawapan sarkastik Ace.

"Sekejap lagi, Lucia ajak saya shopping. Awak ikut sekali."

"Eh? Tak naklah, tuan. Saya...tak minatlah shopping ni. Lagi-lagi dengan Cik Lucia. Malam nanti agaknya baru kita boleh balik."

Mata Hayden mengecil, merenung Ace yang merungut dengan bibir tercebik-cebik itu. Memang tidaklah dia mahu penat seorang diri, berjalan bersama dengan Lucia. Ace harus merana sekali bersama-sama dia.

"Potong gaji." Ugut Hayden.

"Eh? Ish! Yelah! Yelah!"

Ace menghentak perlahan kakinya dan masuk ke dalam rumah.

"Bah!"

"Argh!"

Gelak Arabella terhambur saat menangkap riak kaget Ace. Tetapi nampaknya bukan Ace sahaja yang terkejut, Hayden di luar juga nampak terkedu saat melihat Arabella yang tiba-tiba muncul di situ.

Perbualan mereka tadi...dia dengar ke?

"Bella? Awak dah lama dekat situ?" Tanya Hayden dengan ekspresi wajah yang mula gelisah. Arabella mengalihkan pandangannya kepada Hayden. Senyuman manis diukir lebar buat lelaki. Dia berlari ke luar, mendapatkan Hayden.

"Hayden, tengok! Saya dah boleh jalan!" Ceria Arabella bersuara. Dia berpusing setempat di hadapan Hayden.

Riak wajah Hayden berubah lebih tenang. Arabella kelihatan biasa. Dia menganggap sahaja wanita itu tidak mendengar perbualannya dengan Ace tentang Lucia tadi. Keluhan dilepas perlahan.

ARABELLAWhere stories live. Discover now