TEASER BAGAIMANA 7

158 7 0
                                    

SUASANA makan malam itu senyap sunyi. Wajah Iskandar masih tegang seperti siang tadi. Sedikit pun lelaki itu tidak bersuara apatah lagi mahu memuji masakan Yasmin.

Alia yang sedar akan riak sayu Yasmin, terus bersuara, "Papa marah mama ke?" Soal Alia tanpa berselindung lagi.

Yasmin yang sedang menjamah makanan terus menoleh pada Alia dengan senyum paksa. "Taklah." Cepat sahaja dia menjawab. Dia tidak mahu Alia perasan riak sedih di wajahnya. Sedaya upaya Yasmin memaniskan muka di depan Alia.

"Mama tipu. Tadi Alia nampak mama menangis dekat dapur." Spontan kata-kata itu meluncur keluar dari mulut Alia. Yasmin terkedu. Sekilas matanya melirik pada Iskandar. Lelaki itu masih sahaja seperti tadi. Sedikit pun dia tidak mencelah.

"Mama... bukan..." kata-kata Yasmin terhenti di situ. Nafas ditarik dalam cuba menahan sebak di dada. Dia sendiri tidak tahu alasan apa yang harus dia berikan pada Alia. Dia tidak mahu menipu. Tetapi, dia juga tidak mahu berterus terang. Pasti Alia akan turut bersedih jika dia tahu Iskandar memarahinya siang tadi.

"Alia, just eat your food. Jangan banyak mulut tanya macam-macam." Tiba-tiba Iskandar bersuara dengan nada keras. Matanya mencerlung pada si kecil.

Terus Alia menoleh pada Iskandar dengan wajah yang masam mencuka. "Alia kesian tengok mama menangis. Kenapa papa marah mama?" Masih sahaja Alia menyoal tindakan lelaki itu tanpa peduli akan amaran yang diberi.

"Alia tak dengar ke apa papa cakap?" Soal Iskandar seakan tercabar dengan perangai Alia.

"Alia... Alia makan, sayang. Lepas tu, kita masuk tidur," Yasmin cepat-cepat mencelah. Dia tidak mahu Iskandar memarahi Alia.

"Papa jahat!" Bentak si kecil tanpa mempedulikan wajah bengis Iskandar. Dia turut memandang tajam pada lelaki itu. Dadanya berombak kencang menahan tangis.

"Alia..." pujuk Yasmin dengan lembut. Belakang Alia digosok perlahan. Dia terasa bahang kemarahan Iskandar semakin memuncak.

"You're grounded. Jangan makan dan naik bilik sekarang!" Nada Iskandar kedengaran begitu keras dan kasar. Rona mukanya juga berubah merah.

"I hate you! " Jerit Alia. Kemudian, si kecil itu bangun dari situ dan terus berlari naik ke bilik. Yasmin serba salah. Dia memandang pada wajah Iskandar. Namun, lelaki itu terus bangun dari meja makan dan berlalu pergi dari situ.

Yasmin melepaskan keluhan kecil. Dia melihat pada meja makan yang masih penuh dengan makanan itu. Sedikit pun masih belum dijamah.

Akhirnya, Yasmin mengemas semula meja makan. Dia sendiri sudah hilang seleranya.

BAGAIMANA (EBOOK)Where stories live. Discover now