Yasmin sekadar tersenyum pahit tanpa berkata apa-apa. Dia masih kaku berdiri di tempat tadi. Mahu menghampiri Alia, dia takut kerana Iskandar masih ada di sisi gadis kecil itu.
Melihat akan wajah Yasmin yang begitu suram, Iskandar terus bangun dan keluar dari ruangan itu. Dia malu kerana bertindak terburu-buru tanpa usul periksa. Dalam masa yang sama rasa bersalah terus terusan menyerang hatinya saat melihat pipi Yasmin yang memerah akibat tamparannya tadi.
Sebaik sahaja melihat Iskandar keluar dari ruangan itu, Yasmin terus berjalan menghampiri Alia. "Mama ambil baju Alia tadi. Sebab malam ni kita kena tidur sini." Kata Yasmin dengan tenang.
"Min okay ke? Mommy minta maaf sebab mommy Is marahkan Min," ucap Puan Julia dengan rasa bersalah. Bahu Yasmin disentuh lembut.
Yasmin menoleh pada ibu mertuanya itu. Dia ukir senyum segaris. "Takpalah, mommy. Min dah biasa kena marah dengan Abang Is. Min tahu dia tak sukakan Min," luah Yasmin dengan tenang. Sungguh, hatinya terluka. Tetapi, dia reda dengan takdir hidupnya. Dia sudah mengalah dan tidak mahu lagi mengejar cinta lelaki itu.
Berubah riak wajah Puan Julia tatkala mendengar kata-kata Yasmin. "Min janganlah cakap macam tu. Is perlu masa untuk terima Min. Tapi, mommy percaya, hati Is akan terbuka untuk Min satu hari nanti," pujuk Puan Julia. Dia sedih saat mendengar luahan hati wanita itu.
Alia yang mendengar perbualan antara Yasmin dan Puan Julia terkebil-kebil memandang pada kedua-duanya. "Papa tak suka mama? Kenapa?" Soal Alia ingin tahu.
Yasmin terkedu. Terlupa yang Alia ada di situ. Terus dia menoleh pada Alia dengan senyuman mesra. "Maksud mama, papa tak suka kalau mama tak jaga Alia betul-betul sampai Alia patah tangan macam ni. Mama rasa bersalah dan mama minta maaf ya," ucap Yasmin dengan muka bersalah. Tubuh kecil itu dipeluk erat. Tangan Alia yang berbalut membuatkan hatinya dihenyak rasa sayu dan sebak.
"Bukan salah mama. Bukan salah nenek. Salah Alia sebab Alia keluar dari bilik air," petah Alia berkata-kata. Dia juga merasa bersalah kerana menyebabkan semua orang susah hati kerana dirinya.
Mendengar sahaja kata-kata Alia, terus Yasmin menghambur tangis yang ditahan sejak dari tadi. Terhinjut-hinjut bahunya dengan esakan yang menggila. Puan Julia terus menggosok belakang badan Yasmin cuba memujuk wanita itu.
"Mama janganlah nangis. I'm okay now. Alia dah sihat. Alia tak apa-apa," Alia cuba memujuk Yasmin. Dia turut memeluk tubuh wanita itu dengan erat.
Puan Julia mengesat air mata yang mengalir dari tubir matanya. "Nanti mommy tegur Is." Kata Puan Julia. Dia tahu tangisan Yasmin bukan kerana Alia sahaja. Tetapi disebabkan perbuatan Iskandar terhadap wanita itu.
Yasmin menggeleng pantas. Pelukan dileraikan dari tubuh Alia. Wajah Puan Julia dipandang sambil dia mengesat air matanya dengan telapak tangan. "Takpalah mommy. Min okay. Min dah biasa. Mommy jangan cakap apa-apa pada Abang Is. Nanti dia bertambah marah pada Min. Min takut," bergetar nada suaranya saat ini.
Puan Julia memandang sayu pada menantunya. Pipi yang masih merah itu dipandang. "Is memang baran. Tapi, mommy tak sangka yang dia sanggup tampar Min," luah Puan Julia dengan hati yang begitu sebak.
"Papa tampar mama?" Celah Alia. Bersilih ganti wajah kedua-dua wanita itu dipandang.
Puan Julia dan Yasmin terdiam. Lagi-lagi terlupa Alia bersama mereka. "Aaa... Tak... maksud nenek..." kata-kata Puan Julia terhenti di situ. Dia kehilangan kata-kata.
"Kenapa papa tampar mama?" Terus Alia menghambur tangisannya. Kedua-dua wanita itu panik. Masing-masing cuba menenangkan gadis kecil itu.
"Alia janganlah menangis. Kalau papa tengok nanti, papa marah mama lagi." Pujuk Yasmin. Dia takut Iskandar memarahinya jika lelaki itu melihat Alia menangis.
"Kenapa papa tampar mama? Sebab Alia ke?" Soal gadis itu masih dengan esak tangisnya.
Yasmin menggeleng perlahan. Dia tersenyum tawar pada gadis kecil itu sambil mengesat air mata Alia. "Papa risau sangat tengok Alia. Tu yang dia tak sengaja tampar mama. Tapi, tak kuat pun. Sikit je." Mahu atau tidak, Yasmin terpaksa memberi alasan sebegitu.
YOU ARE READING
BAGAIMANA (EBOOK)
RomanceIskandar, duda anak satu yang kematian isterinya beberapa tahun lalu. Dia didesak oleh ibunya sendiri Puan Julia agar mendirikan rumah tangga buat kali kedua supaya cucunya, Alia mendapat kasih sayang daripada seorang wanita yang bergelar ibu. Namun...