TEASER BAGAIMANA 15

219 5 0
                                    

"MAMA menangis lagi tak?" Soal Iskandar seakan berbisik. Sekali sekala kepalanya menjengah ke dapur. Bimbang wanita itu tiba-tiba muncul dan mendengar perbualan antara dia dan Alia.

Alia turut menoleh ke arah pintu dapur. "Menangis. Tapi, bila Alia tanya, mama kata mata dia masuk habuk," adu Alia.

"Ya ke? Alia tak pujuk mama?" Soal Iskandar lagi. Hatinya diserbu rasa bersalah. Dia tahu Yasmin masih terasa dengannya.

"Semalam Alia pujuk, lepas tu, mama menangis tak henti-henti. Hari ni Alia takut nak pujuk dah." Termuncung-muncung bibir gadis kecil itu bercerita.

Ya, semalam saat Alia melihat Yasmin menangis di ruangan dapur, perlahan-lahan dia memeluk wanita itu dari arah belakang.

"Mama janganlah menangis lagi. Alia sedih tengok mama asyik nangis je,"

Yasmin terkejut lalu mukanya dikesat dengan telapak tangan. Nafas ditarik dalam-dalam sebelum dia memusingkan tubuhnya pada gadis kecil itu.

"Mama tak nangislah. Mama rasa tak sihat je," Yasmin cuba memaniskan wajahnya pada gadis kecil itu.

"Semua salah Alia. Sebab Alia papa marah mama. I'm sorry mama," Alia mula menangis teresak-esak.

"Taklah. Salah mama. Mama tak jaga Alia betul-betul sebab tu papa marah mama," balas Yasmin. Dia duduk bersila di atas lantai sambil memeluk tubuh Alia dengan erat. Esakan kembali berlagu dibibirnya. Kali ini dia tidak mampu lagi untuk menahan sebak di dada. Kedua-duanya menangis bersama-sama tanpa henti.

Segala yang berlaku semalam, telah Alia ceritakan pada Iskandar. Wajah gadis kecil itu berubah suram. "Semua salah Alia. Alia yang buat mama sedih," ayat itu dikulum perlahan.

Iskandar tersentak. Rasa bersalahnya semakin menggunung tinggi apabila melihat Alia juga turut bersedih dengan apa yang berlaku tempoh hari.

Iskandar memejam mata kejap. Di gali nafas dalam-dalam. Mahu memujuk Yasmin, dia malu. Malu kerana tidak menyelidik terlebih dahulu apa yang berlaku sehingga menampar muka wanita itu tanpa belas.

Iskandar buntu, tidak tahu bagaimana mahu memulakan pujukan. Dia dan Alia terus diam apabila melihat susuk tubuh Yasmin berjalan keluar daripada pintu dapur. Wanita itu membawa bersama makanan tengah hari. Wajah Yasmin kelihatan tenang saat ini.

Mata Iskandar melekat kuat pada Yasmin sehinggalah wanita itu berdiri dekat dengan mereka.

Satu per satu makanan diletak ke atas meja makan.

"Alia makan yang ni ya. Mama masak tak pedas sangat." Pesan Yasmin sebelum dia berlalu masuk semula ke dapur untuk mengambil hidangan yang lain.

Alia mengangguk sambil matanya melirik pada Iskandar.

"Papa pergilah pujuk mama... She didn't smile like always." Desak Alia. Dia perasan setiap kali papanya berada di situ, pasti riak muka Yasmin tidak ceria seperti selalu.

"Nantilah papa pujuk. Malam nanti. Papa tunggu Alia tidur." Balas Iskandar bersahaja.

"Mama kan selalu tidur dengan Alia." Balas Alia lagi.

Iskandar telan air liur. Tidak terjawab kata-kata anaknya itu.

Sekali lagi matanya menangkap susuk tubuh Yasmin yang keluar membawa hidangan ke arah mereka.

Alia memuncungkan bibirnya ke arah Yasmin, memberi isyarat agar Iskandar memujuk wanita itu. Tetapi, Iskandar buat tak nampak. Dia menumpukan perhatiannya pada hidangan yang sudah pun lengkap di atas meja makan itu.

Semuanya nampak menyelerakan. Walaupun wanita itu merajuk dengannya, tidak pernah sekali pun, makan dan pakai dia dan Alia di abaikan. Sikap Yasmin itu membuatkan Iskandar semakin terpaut hati.

"Mama, let's eat," ajak Alia sambil memaut lengan Yasmin.

"Mama tak lapar lagi. Alia makan dengan papa dulu ya," balas Yasmin dengan riak yang masih tenang. Sesungguhnya dia masih belum sedia untuk menatap muka lelaki itu.

Iskandar diam. Bukan dia tidak tahu Yasmin sedang mengelak dari bertemu muka dengannya.

"Makan sama-sama. Kesian Alia, hari-hari pujuk you makan," Iskandar bersuara.

Yasmin diam. Namun, perlahan-lahan dia menarik kerusi di sebelah Alia dan duduk di situ. Iskandar tersenyum nipis. Puas hati apabila Yasmin mengikut katanya tanpa membantah.

"Papa ni. Pujuk la mama elok-elok!" Tiba-tiba Alia bersuara dengan nada yang sedikit tinggi.

Yasmin dan Iskandar tergamam seketika. Wajah masam mencuka gadis kecil itu ditatap.

"Don't talk to me like that. Siapa yang ajar jadi biadap dengan papa ni?" Iskandar pula mula meninggi suara. Bentakan Alia tadi sedikit sebanyak mencabar egonya.

Terangkat bahu Alia dek kerana terkejut tatkala mendengar suara Iskandar tadi. Mukanya merah menahan tangis.

Yasmin terus memeluk tubuh Alia dengan erat. Air matanya serta merta meleleh keluar dari tubir mata. Tangisan Alia pula mula berlagu dibibir.

BAGAIMANA (EBOOK)Where stories live. Discover now