SEJAK peristiwa tempoh hari, Yasmin berubah dingin. Iskandar tahu wanita itu cuba mengelak dari bertemu muka dengannya. Dulu setiap pagi Yasmin akan salam dan mencium tangannya sebelum dia berangkat ke pejabat, tetapi, kini tiada lagi. Yasmin hanya menyediakan sarapan pagi dan dihidangkan di atas meja ruang makan. Setelah itu, dia akan naik semula ke biliknya mengurung diri.
Begitu juga ketika Iskandar pulang dari pejabat, tiada lagi wajah wanita itu menyambutnya di muka pintu seperti selalu. Tahulah dia yang Yasmin benar-benar sudah berjauh hati dengannya.
Iskandar termenung jauh. Entah mengapa dia mula merasa rindu pada Yasmin. Celoteh wanita itu, senyuman, haruman dari tubuh dan sentuhan Yasmin setiap kali mereka bersalaman membuatkan Iskandar rindu. Seakan hari-harinya tidak lengkap tanpa Yasmin.
Wajah diraup perlahan sambil mulutnya menghela nafas berat. Perlahan tangannya naik menggosok belakang leher yang terasa tegang.
Kemudian, dia mencapai telefon bimbitnya. Aplikasi home cctv dibuka. Dia menekan cctv bahagian ruang tamu cuba mencari kelibat Yasmin dan Alia. Namun, di ruangan itu, hanya kelihatan Alia sedang menonton televisyen sambil bermain seorang diri.
Mana dia? Detik hati Iskandar. Alis keningnya berkerut nipis. Cctv bahagian dapur pula ditekan. Ternyata wanita itu ada di situ. Iskandar tersenyum nipis. Ralit memerhatikan setiap gerak geri si isteri. Pasti Yasmin sedang menyediakan makanan tengah hari untuk Alia.
Sudah beberapa hari Iskandar mengintip Yasmin dari cctv. Dan beberapa hari itu juga dia melihat Yasmin menangis hampir setiap hari. Dia berharap hari ini Yasmin tidak lagi menangis seperti selalu. Namun, jangkaannya meleset apabila Yasmin mula duduk di kerusi island kitchen seperti sebelumnya.
"Please, don't cry," ayat itu dikulum perlahan dengan harapan Yasmin tidak menangis seperti selalu.
Hati Iskandar dihenyak rasa sayu apabila Yasmin menekup mukanya sambil menangis teresak-esak. Bahu wanita itu juga kelihatan terhinjut-hinjut. Beberapa minit keadaan itu berlarutan sehinggalah kelibat Alia muncul di situ seolah-olah sedang memujuk Yasmin. Dari dalam cctv Iskandar nampak yang Yasmin masih melayani Alia dengan baik. Wanita itu juga turut memeluk tubuh anak kecil itu.
Terus Iskandar menutup telefon bimbitnya. Setiap kali dia melihat situasi sebegitu, dia merasa bersalah. Maaf yang dia janjikan dengan Alia, sehingga kini masih belum diucapkan pada Yasmin. Dia malu untuk meminta maaf pada wanita itu setelah apa yang dia buat pada Yasmin.
Iskandar teringat kembali saat dia melihat rakaman cctv sewaktu Alia jatuh tempoh hari. Benar kata Puan Julia. Yasmin tak bersalah. Dia menyesal menampar Yasmin tanpa selidiki apa yang berlaku. Dia akui yang dia bertindak terburu-buru dan kini, dia harus tanggung akibat dari perbuatannya sendiri.
Berkali-kali dia mengeluh berat. Memikirkan bagaimana harus dia meminta maaf pada Yasmin.
"Think Is... Think!" Puas dia memerah otaknya mencari strategi untuk memujuk Yasmin kerana dia sendiri masih tidak mengenali wanita itu dengan lebih dekat. Jadi, dia tidak tahu apa kesukaan wanita itu dan bagaimana untuk memujuknya.
YOU ARE READING
BAGAIMANA (EBOOK)
RomanceIskandar, duda anak satu yang kematian isterinya beberapa tahun lalu. Dia didesak oleh ibunya sendiri Puan Julia agar mendirikan rumah tangga buat kali kedua supaya cucunya, Alia mendapat kasih sayang daripada seorang wanita yang bergelar ibu. Namun...