KERETA dipandu laju. Sebaik sahaja mendapat panggilan telefon daripada Puan Julia, Iskandar bergegas ke hospital yang dimaksudkan. Hatinya tidak tenang selepas mendapat tahu yang Alia jatuh dari tangga sehingga tidak sedarkan diri. Dalam masa yang sama, dia marah kerana Yasmin cuai dan tidak menjaga Alia dengan baik. Sepanjang perjalanan ke hospital, telefon bimbit Iskandar berbunyi berkali-kali. Namun, dia tidak menjawab panggilan itu apabila melihat nama Yasmin tertera diskrin telefon bimbitnya. Dia cuma mahu cepat sampai ke hospital dan membuat perhitungan dengan wanita itu. Itu sahaja.
Setelah sampai ke hospital, Iskandar terus naik ke wad yang diberitahu oleh Puan Julia tadi. Dadanya berdetak hebat. Perasaan bercampur baur saat ini. Risaukan keadaan Alia dan marah terhadap Yasmin.
Keluar sahaja dari lift, Iskandar memanjangkan langkah menuju ke bilik wad Alia. Matanya meliar mencari susuk tubuh Puan Julia dan Yasmin. Dari jauh kelihatan Yasmin dan Puan Julia baru sahaja keluar dari bilik wad anaknya. Semakin membara hati Iskandar saat melihat wajah tenang Yasmin. Seolah-olah tiada apa yang berlaku.
"Abang..." Yasmin menghampiri Iskandar sebaik sahaja ternampak kelibat lelaki itu.
PANG!
Tanpa tertahan lagi, terus Iskandar melayangkan penamparnya pada muka Yasmin. Matanya turut mencerlung pada wanita itu. Orang yang lalu lalang di situ terus menoleh ke arah mereka dan muka masing-masing terkejut melihat apa yang berlaku.
Yasmin terpana. Terus tangannya naik memegang pipi yang terasa perih dek kerana ditampar tadi.
"Is! Apa Is buat ni?" Puan Julia yang ada di situ, menerpa ke arah Yasmin. Tubuh menantunya itu dipeluk erat. Dia sendiri terkejut dengan tindakan Iskandar. Entah apa yang merasuk anak lelakinya itu sehingga bertindak demikian.
Yasmin yang masih terkejut, memejam mata kejap. Seakan tidak percaya yang dia baru sahaja ditampar oleh Iskandar. Puas dia menghadam situasi yang berlaku. Hatinya dihenyak rasa hiba.
Kenapa Is tampar aku? Apa salah aku? Jerit hati kecil Yasmin. Pandangan matanya berbalam-balam. Terasa kolam matanya penuh. Tangisannya ditahan dari terhambur keluar. Wajah bengis Iskandar tidak berani dipandang.
"Kenapa kau cuai? Alia sorang pun kau tak boleh jaga!" Melengking suara Iskandar meluahkan rasa marahnya pada Yasmin. Lengan Yasmin direntap kuat. Tubuh kecil itu ditarik dari pelukan Puan Julia.
"Is!" Puan Julia terjerit saat tubuh Yasmin ditarik kasar oleh anak lelakinya itu. Dia cuba menghalang, namun gagal. Tubuh Yasmin mula mengigil hebat ketakutan. Air mata yang ditahan tadi akhirnya meleleh keluar membasahi pipinya. "Saya minta maaf..." hanya itu sahaja ucapan yang keluar dari mulut Yasmin. Esak tangisnya mula kedengaran di bibir.
YOU ARE READING
BAGAIMANA (EBOOK)
RomanceIskandar, duda anak satu yang kematian isterinya beberapa tahun lalu. Dia didesak oleh ibunya sendiri Puan Julia agar mendirikan rumah tangga buat kali kedua supaya cucunya, Alia mendapat kasih sayang daripada seorang wanita yang bergelar ibu. Namun...