RINGTONE yang bergema di atas meja menganggu lena Syed Tajuddin. Lantas telefon pintarnya itu dicapai dan melihat nama si pemanggil. Berkerut muka apabila melihat nombor yang tertera tidak dia kenali. Tanpa buang masa, panggilan itu disambut.“Helo,” sapa Syed Tajuddin.
“Maaf menganggu. Boleh saya bercakap dengan Syed Tajuddin, waris kepada Kasih Amalin?” tanya si pemanggil kedengaran serius.
“Ya, saya sendiri bercakap. Kasih tu anak saya. Apa yang berlaku? Boleh saya tahu ni siapa?” Syed Tajuddin bingkas bangun dari pembaringan. Tiba-tiba degup jantungnya mulai berlari rentak tidak enak.
“Saya Inspektor Halim. Saya hendak memaklumkan bahawa anak perempuan tuan iaitu Kasih Amalin terlibat dalam kemalangan dan sekarang anak tuan sudah dibawa ke hospital.”
“Allahuakbar,” Tersentak Syed Tajuddin mendengar. Hampir terlepas telefon dari genggamannya. Setelah dimaklumkan dengan lebih teliti, telefon pintarnya kembali diletak.
“Kenapa, Syed?” Aliyah yang terjaga terus menegur. Hairan mendengar suara kaget suaminya diawal pagi begini.
Syed Tajuddin meraup wajah. Hatinya sudah mulai resah dan tidak tenteram. Risau keadaan Kasih ketika ini.
“Kenapa, Syed? Kenapa dengan Kasih?” Kalut Aliyah bertanya apabila tiada jawapan dari Syed Tajuddin. Kantuk yang tadinya masih bersisa serta-merta hilang begitu saja.
“Kasih accident. Sekarang ni Kasih ada kat hospital. Keadaannya masih tak tahu. Saya nak ke hospital sekarang.” Syed Tajuddin bingkas bangun, mahu bersiap.
“Saya ikut.” Aliyah turut bingkas bangun.
Buat seketika Syed Tajuddin merenung Aliyah yang sudah kelam kabut mencari pakaian di wardrobe. Terselit rasa bersalah pada isterinya itu. Namun, Aliyah tetap begitu. Tetap merisaukan keadaan Kasih biarpun pelbagai ulah dan ragam yang mencabar diri Aliyah.
“Tak payahlah, biar saya je yang pergi. Kaki awak tu masih sakit.” Belas pula Syed Tajuddin melihat keadaan Aliyah yang masih terhinjut-hinjut berjalan. Tetapi masih lagi mahu menggagahi diri.
“Tak apa, sikit je ni. Sekarang ni Kasih lebih penting. Awak pergilah bersiap cepat, nanti mesti pihak hospital cari waris.” gesa Aliyah terus mencari pakaian untuk Syed Tajuddin.
Syed Tajuddin hanya tersenyum sebelum menuruti arahan isterinya.
____
TIBA di hospital, Syed Tajuddin terus menuju bahagian kecemasan. Resah yang menekan dada seolah-olah semakin mengasak rasa itu. Tidak tahu ke mana harus dituju, Syed Tajuddin berlabuh di kerusi yang disediakan di situ. Dia meraup wajah lalu menekupnya.
Aliyah yang memerhati hanya mampu melayarkan renungan simpati. Dia mengerti apa yang dirasakan suaminya itu. Kasih satu-satunya harta yang suami itu punya, semestinya Syed Tajuddin tidak sanggup untuk menghadapi kehilangan si anak kesayangan.
“Syed,” seru Aliyah turut berlabuh di sisi Syed Tajuddin. Bahu suaminya disentuh lembut. Sesekali pintu kecemasan yang masih tertutup itu dikerling dengan satu harapan. Berharap tiada kecederaan serius yang menimpa Kasih.
“Kalau terjadi apa-apa pada Kasih, semuanya salah saya. Saya tak reti jaga dan lindungi dia. Kasih satu-satunya amanah yang arwah tinggalkan.” luah Syed Tajuddin seraya bersandar lemah. Segala sikapnya pada Kasih seakan diulang tayang sehingga tangan kasar naik menampar wajah itu beberapa hari lalu. Dia tak mampu membendung rasa ralatnya ketika ini.
“Bukan salah awak seratus peratus, Syed. Saya juga ada salahnya sebab tak jadi ibu yang baik untuk Kasih. Sepatutnya saya cuba ambil hati dan dekati dia, tetapi sebaliknya pula saya buat sampai Kasih menjauhkan diri dari kita. Kalau saya tak hadir dalam kehidupan awak dan Kasih, saya yakin semua ni takkan berlaku.” Aliyah meluah rasa pula. Dia turut merasa ralat kerana hubungannya dengan Kasih belum menampakkan sinarnya.

YOU ARE READING
Memori Kasih
Romance- Jarum masa itu ibarat satu petunjuk yang menyelak lembaran duka. - Oleh kerana tidak dapat menerima kehadiran ibu tirinya, Kasih Amalin berubah menjadi seorang gadis yang liar dan kurang ajar. Ada saja yang tidak kena di matanya sehingga si bapa S...