MATANYA terkebil-kebil merenung siling. Kejadian petang tadi masih terbayang-bayang di ruang matanya. Bukannya dia tak nampak air mata Kasih yang sudah bertakung ketika itu, tetapi dia sengaja rabunkan mata, buat-buat tak nampak.
Ditambah lagi dengan suara Kasih yang sedikit bergetar ketika membela diri. Tetapi, rasa marah dan geram lebih menguasai dirinya ketika itu. Dia tak dapat mengawalnya lagi selepas mendengar gosip yang bertebar dan pengakuan daripada Arissa.
“Isteri Dr Nuh tu memang muka tak malu ke? Asyik-asyik datang hospital ni. Dah macam hospital hak milik sendiri pula.”
Nuh yang ketika itu hendak mengambil cawan terus terhenti sebaik saja menangkap namanya disebut.
“Entahlah. Kalau aku jadi isteri Dr Nuh, aku dah malu besar. Dah la buat kecoh kat sini. Marah-marahkan Dr Arissa lagi hanya sebab makanan dia tumpah. Poyo gila!”
“Makin lama makin menyampah, kan. Muka aje nampak macam innocent, tapi perangai nauzubillah. Kat public pula tu. Langsung tak jaga air muka orang lain.”
Nuh mengenggam erat cawan plastik di tangan. Air terus ditekan mengisi cawannya yang masih kosong. Tekaknya terasa semakin haus.
“Benda boleh beli baru, tapi sengaja nak besarkan isu yang tak sebesar mana. Dr Arissa tu punyalah baik hati nak gantikan semula. Tapi, isteri Dr Nuh tu sombong sangat. Siap cakap tak boleh diganti lagi. Tak sedap la, apa la...”
“Dengar cerita memang salah isteri Dr Nuh, kan. Dia yang halang laluan nak masuk lif. Dr Arissa ada emergency. Mestilah dia tergesa-gesa nak naik atas.”
“A'ah, isteri Dr Nuh yang halang laluan nak masuk lif. Padahal orang lain pun nak naik juga.”
Air di dalam cawan terus Nuh teguk rakus. Telinga terasa berdesing. Benarkah Kasih telah membuat ulah tengahari tadi?
Tanpa buang masa, Nuh terus mencari Arissa. Jumpa saja, Nuh terus menyapa.
“Arissa, saya nak cakap sikit.”
“Eh, Nuh. Awak ni buat terkejut saya aje.” Arissa tersenyum kecil.
Nuh pula senyum tawar. “Saya nak tanya, betul ke isteri saya marah awak tadi?”
“Eh, mana ada. Tak adalah.” Pantas Arissa menggeleng kepala. Hairan, dari mana Nuh dapat info sebegitu.
“Jangan berselindung, Arissa. Kalau betul Kasih marah awak, jujur aje dengan saya. Saya takkan marah awak sebab saya tahu tu salah Kasih,” tutur Nuh sedikit mendesak.
Arissa melepaskan keluhan kecil. “Bukannya isu besar pun, Nuh. Saya yang tak sengaja terlanggar dia. Saya nak cepat. Saya tak perasan dia bawa makanan. Saya nak gantikan semula, tapi dia terus tolak. Dia membebel dan marah-marah sebab masakan dia dah jatuh.”
“Apa yang Kasih marah awak lagi?” tanya Nuh benar-benar ingin tahu.
“Dia marahlah sebab saya tertumpahkan makanan dia. Dia macam tak percaya yang saya ni tak sengaja. Saya dah minta maaf, tapi dia masih tak puas hati. Dia cakap makanan tu tak mungkin boleh diganti lagi. Tak sama dengan makanan hospital. Apa yang boleh saya buat kalau permintaan maaf saya pun dia tak terima?” jelas Arissa tersenyum tawar.
Nuh menggeleng kepala. “Saya minta maaf bagi pihak Kasih.”
“Tak apa, Nuh. Saya faham. Lagipun saya kenal siapa Kasih tu sebenarnya. Walaupun dia hilang ingatan, tapi mulut dia tetap bisa. Dia tetap Kasih. Saya bukan nak burukkan Kasih, tapi manusia ni susah nak berubah walaupun roh bertukar dengan jasad yang lain. Apa boleh saya cakap, dia tetap Kasih yang kita kenal dulu. Yang takkan dengar penjelasan orang lain dan takkan mengaku salah sendiri. Lagi-lagi kata maaf.”
ANDA SEDANG MEMBACA
Memori Kasih
Romantik- Jarum masa itu ibarat satu petunjuk yang menyelak lembaran duka. - Oleh kerana tidak dapat menerima kehadiran ibu tirinya, Kasih Amalin berubah menjadi seorang gadis yang liar dan kurang ajar. Ada saja yang tidak kena di matanya sehingga si bapa S...
