MK 28

1.3K 87 15
                                    

DAUN pintu rumah mereka ditolak Nuh sebelum tangannya menyua ke dalam, memberi isyarat kepada Kasih untuk masuk ke dalam terlebih dahulu. Kasih akur tanpa suara. Wajah Nuh langsung tak dipandang. Terdetik rasa sedikit terkilan di hati Nuh, namun dia tahu kedinginan mereka ini berpunca daripadanya.

Memang tidak patut dia memarahi Kasih sebegitu rupa. Hati isterinya perlu dijaga sebaik mungkin. Itu adalah amanah daripada keluarga Kasih. Tapi, dia sering saja mengikut rasa hati sendiri. Salahnya kerana gagal mengawal emosi.

“Awak nak makan dulu?” Nuh membuka bicara. Cuba memancing perhatian daripada Kasih. Jika dia tidak bersuara, Kasih lebih memilih diam. Itu yang buat dia rasa kian tidak selesa.

Kasih menggeleng. Dia hanya mahu berehat. Lagipun sebelum berangkat dari rumah keluarga Nuh, mereka sempat menjamu selera. Perutnya masih terasa kenyang.

Nuh mengeluh melihat reaksi Kasih. Figura Kasih yang semakin menghilang ke dalam bilik dipandang. Tak sangka Kasih akan merajuk begini.

Dengan keluhan, dia membawa beg bajunya untuk diletakkan di dalam bilik. Tak sempat nak mengemas semua pakaiannya kerana dia masih mempunyai tanggungjawab di hospital. Ini pun dia terpaksa masuk sedikit lewat kerana perlu menghantar pulang Kasih ke rumah mereka dulu.

Seusai itu, Nuh melangkah keluar dari bilik. Pintu ditutup, lalu pintu bilik Kasih dihampiri. Terasa ingin melihat Kasih sebelum berangkat ke hospital. Entah apa yang tak kena dengan dirinya hari ini. Segalanya rasa serba tidak sempurna.

Baru saja tangan ingin mengetuk, daun pintu itu terbuka dari dalam. Muncul wajah polos isterinya. Pakaian yang tersarung di tubuh isterinya dilihat. Masih sama dan belum bertukar.

“Awak nak pergi mana ni?” tanya Nuh panasaran.

Kasih mengangkat sedikit kening. Nuh macam tahu-tahu saja rancangannya. Memang dia nak keluar.

“Saya nak ke pasaraya. Awak izinkan tak?” Kasih bersuara. Teringat semula Nuh marahkan dia kerana tidak meminta izin. Mungkin memang benar itu salahnya.

“Kenapa tak cakap awal-awal? Kita boleh singgah kan tadi,” balas Nuh pula. Hatinya turut tertanya. Kasih tak mahu dia menemani ke pasaraya atau isterinya itu tak mahu susahkan dia?

“Awak kata awak kerja hari ni. Saya tak nak ganggu awak. Lagipun awak sendiri kata lepas hantar saya, awak terus nak ke hospital.”

Nuh menggaru dahinya. “Saya boleh hantar awak, Kasih. Sekarang ni awak dah buang masa saya. Saya dah terkejar masa nak ke hospital dan nak hantar awak lagi. Belum lagi hadap jalan sesak–”

“Siapa kata awak kena hantar saya?” Kasih segera memotong. Jemu agaknya mendengar bebelan daripada suaminya. Nampak sangat tak ikhlas nak hantar isteri ke rumah. Banyak pula merungut!

Nuh terkebil-kebil memandang riak tenang isterinya.

“Tadi kan awak cakap...”

“Bila masanya? Saya cuma nak minta izin awak aje. Bukan minta awak hantarkan saya. Saya tahu saya dah banyak susahkan awak. Jadi, awak izinkan ke tak ni?” Kasih kembali menyoal dan meminta izin.

Terkedu Nuh mendengar bebelan isterinya. Perkataan 'susahkan' itu membuatkan hatinya bagai dihempap batu besar. Entah mengapa, dia terasa sangat sakit.

Kasih tak mahu menyusahkan dia?

Langsung tidak! Dia ikhlas menjaga Kasih selama ini. Dia masih sedar Kasih isterinya.

“Kalau macam tu, awak nak pergi dengan siapa?” tanya Nuh. Takkanlah isterinya pergi seorang diri?

Tak semena-mena, hatinya rasa tidak tenang jika benar Kasih mahu keluar sendirian. Kejadian semalam membuatkan hatinya bertambah risau.

“Dengan Adira. Kawan yang saya jumpa semalam. Tapi, dia dah tunggu kat sana. Mungkin saya ke sana naik grab kut,” balas Kasih, sedikit ragu-ragu.

Memori KasihWhere stories live. Discover now