BUNYI kerusi ditarik oleh seseorang mengalih perhatian Puan Fatimah yang sedang memasak di dapur. Matanya mengerling sesaat ke arah ruang makan. Kelihatan Nuh sedang menjamu selera nasi goreng untuk sarapan pagi tadi. Hairan melihat figura anaknya itu, dia segera mematikan api gas. Tangan dilap sebelum mendekati anaknya.
“Eh, tak kerja ke hari ni?” tanya Puan Fatimah seraya melabuhkan duduk di hadapan Nuh.
Nuh menggeleng tanpa suara.
Terangkat kening Puan Fatimah melihat kelakuan anaknya.
“Sebab apa? Nuh tak cakap dekat mama pun yang Nuh cuti hari ni. Berapa hari cuti? Ke Nuh tak sihat?” Dahi anaknya cuba disentuh, namun Nuh mengelak.
“Nuh sihat aje, mama. Nuh dah lama tak cuti biarlah Nuh cuti sekejap. Mama tak suka ke Nuh dekat rumah?” balas Nuh pula.
Puan Fatimah mencebik.
“Bukan tak suka, tapi pelik. Nuh kan workaholic. Jaranglah Nuh nak ambil cuti. Ni berapa hari cuti?” tanya Puan Fatimah lagi.
“Dua hari aje, ma. Doktor tak boleh cuti lama-lama.”
Wanita itu mengangguk faham. Seketika kemudian, dia teringatkan sesuatu.
“Macam mana hubungan Nuh dengan Kasih?”
Dahi Nuh berkerut. “Maksud mama?”
“Hubungan Nuh dengan Kasihlah. Baik ke tak? Bila mama boleh masuk meminang Kasih?”
Uhuk! Uhuk!
Tersedak Nuh mendengar soalan mamanya. Air kosong dicapai dan laju diteguk.
“Meminang?” tanya Nuh sebaik saja tekaknya kembali lega.
“Yalah. Kasih kan nak kahwin dengan kamu. Mama pun dah berkenan kalau Kasih jadi menantu mama. Lagipun umur Nuh dah sesuai untuk berbini. Sekarang ni bagi mama Kasihlah calon yang sesuai untuk Nuh.”
“Mama...” Terkelu lidah Nuh untuk bersuara.
“Hah, kenapa? Nuh nak reject menantu mama?”
Nuh menghela nafasnya. Mamanya benar-benar nekad nak jadikan Kasih itu menantu dia.
“Tapi, mama tak kenal Kasih sepenuhnya. Kita tak tahu perangai Kasih yang sebenar tu macam mana?”
“Nuh kenal ke perangai Kasih macam mana?”
Gulp!
Soalan mamanya menjerat dirinya. Dia kenal perangai sebenar Kasih, tetapi kalau dia beritahu perkara sebenar, adakah Puan Fatimah akan percaya kata-katanya?
Melihat Nuh terdiam, buatkan wanita itu menarik senyuman sinis.
“See... Nuh pun tak kenal Kasih tu orang yang macam mana, tapi naluri seorang ibu tak salah, Nuh. Mama yakin Kasih akan jadi isteri yang baik untuk Nuh,” pujuk Puan Fatimah. Dia nampak layanan Kasih pada anaknya sangat baik. Nuh seperti dirajakan oleh Kasih.
“Tapi, Nuh tak suka dia, ma,” akui Nuh. Mana tahu kejujurannya ini buatkan mamanya ubah fikiran.
“Tapi, Kasih suka Nuh. Mama boleh nampak daripada mata dia yang dia betul-betul sukakan Nuh.”
Nuh tayang muka tidak percaya. Sungguh dia tak percaya. Kalaulah Kasih tak hilang ingatan, pasti mamanya akan serta-merta reject Kasih untuk menjadi menantunya.
“Nuh nak ke lepaskan gadis sebaik Kasih? Orang cantik macam Kasih tu mesti ramai peminat kan.” Wanita itu cuba menarik perhatian anaknya tentang Kasih. Dia perlu berusaha untuk memujuk hati Nuh supaya menerima Kasih. Dia hanya mahukan Kasih sebagai menantunya, bukan gadis lain.
ANDA SEDANG MEMBACA
Memori Kasih
Romance- Jarum masa itu ibarat satu petunjuk yang menyelak lembaran duka. - Oleh kerana tidak dapat menerima kehadiran ibu tirinya, Kasih Amalin berubah menjadi seorang gadis yang liar dan kurang ajar. Ada saja yang tidak kena di matanya sehingga si bapa S...
