MK - 7

920 83 19
                                    

SETELAH beberapa hari, keadaan Kasih sudah semakin membaik dan positif. Syed Tajuddin pula tidak putus-putus menceritakan perihal keluarga kecil mereka kepada Kasih, dengan harapan Kasih dapat mengingati walaupun hanya secebis.

Jauh di sudut hati, Syed Tajuddin bersyukur dengan diri Kasih yang 'baru' ini. Anaknya benar-benar berubah 360 darjah. Dari situ, dia akan cuba mendidik Kasih semula seperti dari kecil. Mujur saja Kasih masih mampu menguruskan dirinya sendiri tanpa sebarang bantuan mereka.

Sementara Kasih dengan penuh berselera menerima suapan daripada Aliyah. Ceria saja riak wajah gadis itu setiap kali Aliyah menyuapnya makanan. Langsung tidak kelihatan seperti orang sakit. Aliyah hanya tersenyum nipis.

Berkat dan hikmah yang berlaku, terselit rasa lega di hati Aliyah dengan layanan serta tutur kata Kasih terhadapnya. Lebih lemah lembut, teratur dan menghormatinya. Tiada lagi kata-kata kesat dan makian yang keluar dari mulut itu. Harapannya, diri Kasih yang baru ini kekal kerana tidak sanggup dia menghadapi Kasih yang dulu.

“Ibu, Kasih nak air.”

Ting!

Terlepas sudu yang dipegang Aliyah ke lantai. Anak mata pantas mencari riak wajah Kasih yang begitu bersahaja dan manis tersenyum.

“Kasih panggil mak cik apa tadi?” tanya Aliyah. Risau pula dia yang tersalah dengar kerana terlalu leka melihat Kasih menikmati makanannya.

“Ibu,” jawab Kasih polos.

“Ibu?” Aliyah menyoal, tidak percaya. Pertama kali dia mendengar panggilan itu disebut Kasih. Benarkah? Risau dia hanya bermimpi semata-mata.

“Yelah, ibu. Ibu kan, ibu Kasih. Syed Tajuddin pula daddy Kasih dan Mak Inang pula pembantu rumah kita. Semalam daddy beritahu Kasih macam-macam lagi tentang keluarga kita.” jelas Kasih seperti yang diceritakan Syed Tajuddin.

“Ya, ya. Mak cik Ibu Kasih.” Aliyah berkata perlahan bersama air mata yang mula bergenang.

Hatinya bagai diselimuti dakapan yang hangat. Sungguh hatinya tika ini diselubungi perasaan terharu. Doanya selama ini telah dimakbulkan. Syukurlah.

Tidak mahu Kasih menyedari perubahan riak wajahnya, gelas air terus disua kepada Kasih. Kasih menyambut dengan senyuman.

“Terima kasih, ibu.” Kasih melorekkan senyuman manis buat Aliyah.

Aliyah membalas senyuman manis itu dengan hati yang berbunga-bunga.

“Ibu, Kasih kena duduk sini berapa hari lagi?” tanya Kasih ingin tahu.

“Hmm... kata doktor mungkin lagi beberapa hari je. Kalau Kasih dah sembuh sepenuhnya, paling cepat mungkin esok atau lusa Kasih dah boleh keluar. Kenapa Kasih tanya? Tak sabar ya nak balik rumah?” Terang Aliyah seraya bertanya.

Pinggan dan mangkuk yang diguna Kasih tadi kembali dikemas dan disusun ke dalam dulang. Mudah untuk jururawat mengambilnya nanti.

Kasih mencebik kecil.

“Bukan sebab tu. Kasih kalau boleh Kasih nak duduk sini selama-lamanya!” ujar Kasih teruja.

Aliyah kembali duduk di kerusi bersebelahan katil Kasih. Kerutan mulai terpeta di dahi. Lain benar sikap Kasih selepas sedar ini.

“Kenapa pula?”

Kasih tidak menjawab, malah kedua belah pipinya ditekup dengan sengihan di bibir.

“Kenapa, Kasih?” Aliyah menyoal lagi. Matanya dikecilkan. Dia pasti ada sesuatu yang Kasih mahukan di hospital ini.

“Kasih nak usyar doktor handsome tu...” jawab Kasih perlahan. Kedua-dua tangan diramas.

Memori KasihWhere stories live. Discover now