MK 13

712 73 6
                                    

JAM di pergelangan dijeling sekilas sebelum bibirnya melepaskan keluh. Kalau bukan disebabkan permintaan mama dan janji palsunya, dia tak akan berada di sini menjemput Kasih. Perkara yang tak pernah ingin dia lakukan. Tetapi, segalanya sudah terlewat. Dia terperangkap diri sendiri.

“Demi mama. Demi mama.” Berulang kali Nuh menyebut. Berat sungguh kakinya hendak melangkah turun dari kereta. Tapi, nampaknya dia sudah tiada pilihan. Nak, tak nak terpaksa juga.

Dengan langkah terpaksa, Nuh mengatur jalan ke pintu utama kediaman Syed Tajuddin. Dia berdehem perlahan. Tiba-tiba pula rasa berdebar. Haish!

“Assalamualaikum.” Nuh memberi salam.

“Waalaikumussalam.”

Tidak perlu menunggu lama, salam Nuh sudah dijawab penghuni rumah. Kelibat wanita separa baya bertubuh rendang menyapa ruang mata Nuh. Spontan Nuh mengukirkan senyuman.

“Ya, anak ni cari siapa?” tanya Mak Inang sambil menatap Nuh.

“Saya Nuh. Saya datang nak jemput Kasih,” maklum Nuh.

“Oh, Dr Nuh. Kejap ya, Kasih masih di atas tengah bersiap. Jemputlah masuk dulu. Mak Inang panggilkan Tuan Syed,” pelawa Mak Inang sambil melebarkan bukaan pintu, menjemput Nuh masuk ke dalam.

“Terima kasih.”

“Dr Nuh duduklah dulu ya. Dr Nuh nak minum apa?”

“Tak apalah, tak payah. Saya dah minum tadi.” Nuh menolak sopan.

“Baiklah kalau macam tu. Mak Inang ke dapur dulu ya.”

“Baik, Mak Inang.” Nuh terus berlabuh sejurus Mak Inang berlalu.

Seketika matanya meliar memandang segenap penjuru kediaman itu. Matanya turut memandang ke arah tangga yang menghubung dengan tingkat dua. Dari sini saja dia sudah boleh melihat jika Kasih turun sekejap lagi. Entah bagaimana lagi reaksi gadis itu. Teruja seperti selalukah?

“Ah! Apa yang kau tengah berangan ni, Nuh?” Nuh terus mengetuk kepala sendiri. Bibir bawahnya terus digigit, geram dengan tingkah sendiri. Kenapa dia nak sangat tengok reaksi Kasih?

“Bodoh betul!” Nuh menunduk dan mengetuk dahi pula. Mahu sedarkan dirinya siapa Kasih tu sebenarnya.

“Dr Nuh, kuat bunyi tepuk dahi tu. Kenapa?” tegur Syed Tajuddin yang baru turun dari atas. Hairan melihat Nuh yang sedang menepuk dahi.

Nuh terus tersentak dan tersengih. Cepat-cepat dia berdiri dan menghulurkan tangan.

“Tak ada apa, tuan. Tadi ada nyamuk kecik.” Nuh mencipta alasan sedangkan dia rasa itulah alasan paling tak masuk akal. Nyamuk ketika waktu nak jengah tengahari. Nyamuk apa?

“Oh, ye ke? Selalunya nak dekat waktu tengahari ni tak ada nyamuk. Mungkin datang dari belakang langsir tu.”

Nuh hanya tersenyum kelat. “Tuan sihat?”

“Sihat alhamdulillah. Kamu sihat? Silakan duduk.”

“Sihat alhamdulillah, tuan.” Nuh kembali duduk dengan selesa.

“Tak payahlah panggil uncle ni tuan.”

“Baiklah, uncle.” Laju Nuh mengangguk. Terasa selesa dengan sikap ramah Syed Tajuddin.

“Uncle nak minta tolong jaga Kasih baik-baik ya. Sejak dari kemalangan tempoh hari, kami belum pernah biarkan Kasih keluar sorang diri. Risau terjadi apa-apa pada dia,” tutur Syed Tajuddin berhemah.

Nuh diam sejenak, sebelum mengangguk perlahan.

“Insya-Allah, uncle.”

Tidak lama menunggu, kelibat Kasih yang berbaju kurung kain kapas mencuri perhatian Nuh. Tampak sesuai rona merah jambu lembut yang dikenakan oleh Kasih yang berkulit putih gading. Rambut panjang dan lurus itu dibiarkan lepas bebas.

Memori KasihWhere stories live. Discover now