KOSONG renungannya. Tikus-tikus yang berkeliaran di sekitarnya langsung tidak membuat dia rasa takut mahupun geli. Saat ini otaknya hanya memikirkan apa yang akan berlaku seterusnya. Sudah hampir 3 hari dia dikurung di sini tanpa diberi makanan. Sekadar sebotol air mineral diberi setiap hari yang menjadi alas perutnya.Sesekali perutnya yang terasa pedih ditekan. Tubuh yang dingin dalam kehangatan cuaca membuatkan tubuhnya semakin menggigil. Dia terpaksa mengerekok bagi meminimunkan rasa sejuk.
Tak semena-mena, air matanya mengalir lesu. Mungkin ini kifarah untuknya kerana menzalimi ibu tirinya sendiri. Dia derhaka pada kedua orang tuanya. Mungkin ini juga kifarah atas kejahilannya selama ini. Dia tidak akan menyalahkan orang lain kerana segalanya berpunca daripada dirinya sendiri.
Dia yang menciptakan konflik. Dia yang membenihkan kebencian, lalu kebencian itu tumbuh subur dalam dirinya sehingga buat dia leka dan angkuh. Dia pernah pijak Mak Inang dan Aliyah hanya kerana Syed Tajuddin sering membela mereka.
Kini, segalanya berbalik kepadanya. Kesakitan. Kesengsaraan. Caci maki. Kata-kata kesat. Dia sudah mendapat balasannya. Belum dikira lagi dosanya pada Nuh suatu ketika dulu. Termasuklah kepada pelajar-pelajar lain yang menjadi mangsa bulinya.
Angkuhnya dia. Lantangnya dia bersuara tanpa memikirkan sedikit pun aib diri dan perasaan orang. Dia junjung ego. Dia tinggikan diri setinggi langit. Dia banggakan apa yang dia punya sehingga dia lupa bumi yang dipijak milik Tuhan.
Sekarang segalanya tiada makna. Dia terperangkap tanpa ada yang menemani. Tanpa ada tanda-tanda akan diselamatkan. Dia hanya bersendirian ditemani bunyi unggas dan serangga kecil. Pantaslah dia dibenci oleh manusia lain. Kerana segalanya berpunca daripadanya.
Mata yang kabur dia kelip. Tatkala kembali buka, ada sekujur tubuh yang sedang melangkah gagah ke arahnya. Di tangan kanan dijinjing plastik. Seperti bungkusan.
Apabila figura itu semakin jelas, Kasih kaget. Tak berkelip lagi matanya memandang gerangan itu sehingga terasa lengannya ditarik dan dia duduk bersandar di dinding.
“Ayman.” Perlahan Kasih menyebut. Tak sangka di hadapannya kini sahabat baik Nuh, Ayman.
Ayman bertinggung di hadapan Kasih. Plastik tadi dilelatk di lantai. Rambut kusut Kasih dirapi-rapi.
“Kau bersubahat dengan Arissa?” Air mata Kasih kembali bergenang.
Ayman hanya tersenyum. “Maafkan aku, sayang. Aku tak sanggup nak tengok kau bahagia dengan Nuh.”
“Kau kawan Nuh! Kenapa kau buat aku macam ni? Apa salah Nuh pada kau?” tanya Kasih separa menjerit. Tak sangka kawan kebanggaan Nuh akan tikam belakang.
Sayang? Dah gila agaknya Ayman memanggilnya sayang.
“Sebab aku tak suka.” Mendatar saja suara Ayman. Seraut wajah pucat itu diteliti anak matanya.
“Selama ni Nuh baik dengan kau. Nuh selalu puji kau. Tapi, kenapa ni balasan kau pada dia?” Kasih menyoal lirih. Dia tiada kekuatan hendak bertengkar lagi.
“Diam Kasih! Jangan puji Nuh depan aku!” Ayman memberi amaran keras. Kalau ikutkan hati, mahu saja ditampar mulut Kasih. Tetapi, dia masih rasa belas kasihan. Dia tidak seperti Arissa yang tiada hati perut menyiksa Kasih.
Kasih geleng kepala, tanda tak percaya. Dia fikir hanya Arissa dan Adira yang subabat. Rupanya Ayman termasuk sekali dalam kumpulan dua beradik itu.
“Kenapalah kau tak pernah pandang aku, Kasih? Selama ni aku perhatikan kau. Tapi, kenapa kau tak nampak aku? Kenapa kau cuma nampak Nuh aje?” Ayman mendekati Kasih. Dagu Kasih dicengkam. Dia mahu pandangan Kasih hanya untuknya. Bukan pada mana-mana lelaki termasuk Nuh.
YOU ARE READING
Memori Kasih
Romance- Jarum masa itu ibarat satu petunjuk yang menyelak lembaran duka. - Oleh kerana tidak dapat menerima kehadiran ibu tirinya, Kasih Amalin berubah menjadi seorang gadis yang liar dan kurang ajar. Ada saja yang tidak kena di matanya sehingga si bapa S...