MK 24

1K 76 5
                                    


“DAH sampai pun menantu mama ni!” Puan Fatimah menyambut mesra. Tubuh Kasih terus disauk ke dalam pelukan, membuang perasaan rindu terhadap menantu kesayangannya.

“Mama sihat?” tanya Kasih sebaik pelukan dilepaskan.

“Alhamdulillah, sihat. Lagi sihat mama bila tengok Kasih depan mata. Makin berseri menantu mama ni.”

Kasih membalas dengan ketawa kecil. “Ada-ada ajelah mama ni.”

“Kasih sihat ke sayang? Nuh ada buli Kasih tak?” Tubuh Kasih dibawa ke ruang tamu. Sempat dia melirik ke arah anak sulungnya yang mencebik mulut.

“Tak ada, ma. Nuh baik sangat dengan Kasih,” jawab Kasih lembut.

“Mama asyik tanya menantu mama aje. Anak mama ni mama tak nak tanya ke?” soal Nuh tak puas hati. Barangkali cemburu melihat keakraban ibu dan isterinya.

“Nuh mama dah selalu tanya. Biarlah mama nak tanya pada menantu mama pula.”

Nuh mencebik. Ada saja jawapan daripada mamanya.

“Kasih, hari ni mama buat puding caramel special untuk Kasih. Kasih nak rasa?” Wajah menantunya dipandang.

“Wah, sedapnya. Boleh juga tu, mama.”

Tersenyum lebar Puan Fatimah, pantas menyambar lengan menantu menuju ke dapur. Anak sulungnya ditinggalkan bersendirian.

Malas pula Nuh melayan sketsa mamanya dengan Kasih yang sudah berlalu ke dapur. Telefon pintar dikeluarkan untuk melayan bosan.

Setibanya di dapur, Puan Fatimah terus mengeluarkan puding caramel yang telah siap. Puding itu dipotong kepada potongan kecil sebelum disusun ke dalam pinggan.

“Kasih nak bagi dekat Nuh sekejap.”

Belum sempat Kasih bangun daripada duduk, Puan Fatimah pantas menahan. Kasih memandang bingung.

“Tak apa, biar aje suami kamu kat depan. Biar dia rehat. Mama ada sesuatu nak tanya kamu ni.”

“Tanya apa, ma?” tanya Kasih pula.

“Nuh dah dapat terima kamu?”

Terkebil-kebil Kasih memandang ibu mentuanya. Puan Fatimah tahu ke apa yang terjadi antara mereka?

“Mama tahu Nuh kahwin dengan kamu sebab terpaksa. Mama yang paksa Nuh. Maafkan mama kalau kehidupan baru kamu tak seperti yang kamu harapkan. Tapi, mama yakin kamu akan jadi satu-satunya isteri Nuh. Mama akan pastikan itu,” sambungnya lagi apabila melihat wajah gusar menantunya.

Kasih pula terdiam seketika. Akalnya sedang mencerna kata-kata daripada Puan Fatimah. Patutlah wanita itu menghalang dia menghantar puding ini kepada suaminya. Rupanya sebab nak korek cerita daripadanya.

“Mama, Kasih minta mama jangan letak harapan yang terlalu tinggi dalam perkahwinan kami. Kasih pun tak berharap sangat perkahwinan kami ni akan kekal,” balas Kasih setelah sekian lama mendiamkan diri.

“Kasih, kita boleh usaha dari sekarang untuk letakkan harapan kita di tempat yang tinggi. Lama-kelamaan, harapan yang tinggi tu kita dapat capai juga. Yang penting usaha.”

“Susah, ma. Nuh sampai sekarang masih tak boleh terima Kasih sebagai isteri,” luah Kasih. Sedikit lega kerana dapat meluahkan isi hatinya.

Puan Fatimah mengusap lembut bahu Kasih. “Tak ada benda yang senang. Mama ada, sayang. Mama boleh tolong Kasih dapatkan hati Nuh. Kasih ada kelebihan sebab Kasih isteri Nuh yang sah. Bila-bila masa aje, Nuh akan jatuh ke tangan Kasih. Yang penting kena dengan caranya.”

“Cara apa?"

Puan Fatimah tersenyum sebagai jawapan. “Nanti mama bagitahu. Sekarang ni pergi panggil Nuh. Kita makan sama-sama.”

Memori KasihWhere stories live. Discover now