MK 15

812 74 8
                                    


PETANG yang cerah di bawah cahaya matahari seiring dengan tiupan angin sepoi-sepoi bahasa menyebabkan Kasih merehatkan badannya di pondok kecil di taman rekreasi itu. Matanya terpejam menikmati keindahan semesta alam.

Tujuan sebenar Kasih singgah di sini kerana ingin menenangkan hatinya yang sedang lara. Hubungan dia dengan Nuh bagaikan tiada apa. Sejak dia pulang dari rumah Nuh kelmarin, Nuh terus menjauhkan diri daripadanya. Telefon dan mesej langsung tak dibalas. Apa salah Kasih sampai Nuh memperlakukan Kasih sebegini?

Kasih fikir dia sudah berjaya membuka hati Nuh untuk membalas cintanya, tetapi melihat hubungan dia dengan doktor lelaki itu yang semakin menjauh buatkan dia sedar bahawa Nuh masih menganggap dia sebagai bekas pesakitnya dulu. Tegarnya Nuh buat Kasih begini.

Helaan dilepaskan. Hari ni moodnya bagaikan ribut yang melanda. Semuanya gara-gara Nuh.

Sedang dia asyik melayan perasaan, muncul gangguan suara membuatkan Kasih membuka mata.

“Eh, betullah kau ni Kasih.”

Seorang wanita bertudung menegurnya. Di sisi wanita itu ada seorang wanita tidak bertudung yang memandangnya dengan renungan sinis. Kasih cuba mengecam kedua-dua wajah itu, namun sia-sia. Siapa pula mereka ini?

“Ya, saya Kasih. Awak berdua siapa?”

Mereka ketawa mendengar balasan daripada Kasih. Kasih pula terkulat-kukat sendiri. Reaksi mereka membuatkan Kasih makin bingung.

“Kau tak ingat kita orang ke Kasih?” soal wanita yang tidak bertudung itu pula.

Kasih menggeleng dengan polos. Wajah dua wanita itu masih cuba diingatinya, namun gagal.

"Saya pernah kemalangan sebelum ni. Jadi saya hilang ingatan. Maaf sebab tak dapat ingat korang berdua,” jelas Kasih.

Dua wanita itu berpandangan. Sesaat, senyuman sinis terukir di bibir mereka.

“Hilang ingatan?” Wanita yang tidak bertudung menyoal Kasih.

Kasih mengangguk polos.

“Jadi kau tak ingatlah apa yang pernah kau buat pada kita orang dulu?” soal wanita itu lagi.

Gelengan kepala diberikan Kasih sebagai jawapan.

“Patutlah kau nampak macam tak bersalah langsung. Tapi, kau pernah ke ada rasa bersalah pada orang?” Wanita yang bertudung itu dengan sengaja menyindir Kasih.

Kasih berkerut dahi. “Korang cakap apa ni? Saya tak faham. By the way, siapa korang sebenarnya?

“Kita orang cakap benda betul, Kasih. Muka kaulah yang bagi kesakitan kepada kita orang.”

“Kesakitan apa?”

“Ya. Cuba kau renung dan ingat balik. Siapa sebenarya Laila dan Arina dalam hidup kau.”

Laila dan Arina? Nama itu kedengaran tidak asing dalam ingatannya. Tetapi, sukar untuk dia mengingati apa-apa.

“Tak ingat lagi ke, Kasih Amalin?” Wanita bertudung yang bernama Laila tu menyoal sinis sambil mendakap tubuh.

Kasih pantas menggeleng. Dia gagal mengingatinya.

“Siapa korang berdua ni, hah?” Nada suara Kasih naik seoktaf. Kepalanya mulai terasa pening dan berdenyut-denyut.

“Takkanlah kau tak ingat kes kau simbah air longkang dari tingkat tiga bangunan, kes pancitkan tayar kereta supaya lambat masuk ke class, kes sebarkan fitnah kita orang ni curi duit kau dan aku rasa banyak lagi. Kan, Laila?”

Laila mengangguk setuju bersama tawa yang jengkel. “Aku tak sangka orang macam kau boleh hilang ingatan, ke kau cuba tipu kita orang? Takkanlah beribu perkara kau buat pada kita orang, kau boleh senang-senang lupa macam tu aje!”

Memori KasihWhere stories live. Discover now