SEBAIK pintu dikuak, dia terus meluru ke arah sekujur tubuh yang sedang khayal di katil. Botol air mineral yang masih berisi separuh air, dicapai. Laju saja botol di tangan diayun tepat ke belakang kepala Adira.
“Aduh! Apa ni kak?” Adira membentak. Belakang kepalanya digosok-gosok. Sakit.
“Kau memang dasar adik tak guna! Disebabkan kau semua plan kacau!” Sekali lagi botol itu diayun ke kepala Adira. Berang betul dia dengan info yang dia dapat daripada Adira. Langsung tidak berguna apa-apa. Sudahnya dia yang mendapat malu.
“Apa yang aku buat?” Adira naik angin. Balik saja terus hentak kepala dia dengan botol. Kakaknya fikir dia apa? Tunggul?
“Info yang kau bagi salah! Perempuan tu tak mengandung pun. Sia-sia aku bagi kau upah. Kerja senang macam tu pun salah bagi info,” getusnya tak puas hati.
Adira tersentak. “Mustahillah. Aku nampak dengan mata kepala aku sendiri. Dia keluar dari klinik dengan Nuh. Siap pegang perut lagi.”
“Hei!” Rambut Adira terus dicengkam kuat. Matanya terbuntang luas, merenung tajam. Macam nak telan Adira hidup-hidup. Kalau adiknya ini tak ada apa-apa kepentingan, sudah lama dia campak ke laut bagi jerung makan.
“Sakitlah kak!” Adira terjerit kecil. Tangan kakaknya dipegang erat. Cuba dia leraikan pegangan itu, tapi gagal.
“Keluar dari klinik tak semestinya perempuan tu mengandung. Klinik apa yang diorang tu pergi, hah? Kau tak siasat betul-betul ke hari tu? Kalau kau tak ada berita sahih, jangan inform aku. Buang masa aku, tahu tak?!”
“Manalah aku aku tahu dia tak mengandung. Aku... Aku terlupa nak tanya Kasih.” Gagap Adira membalas. Sedar dia tak menyiasat betul-betul.
“Terlupa? Macam mana kau boleh terlupa? Aku dah bagi kau ubat. Jangan bazirkan duit aku, Dira.”
“Aku minta maaf kak. Aku betul-betul terlupa.” Tangan Adira bersatu memohon maaf. Air matanya sudah bergenang. Sakit rambutnya ditarik tanpa sedikitpun belas kasihan. Kakaknya benar-benar tiada rasa simpati padanya.
“Maaf? Tak laku!”
Buk!
Kepala Adira terus dihantuk ke dinding sebelum dia melepaskan cengkaman pada rambut adiknya itu. Kalau ikutkan hati, mahu saja dia hentak kepala Adira berkali-kali. Tapi, dia masih mahu guna Adira. Adiknya itu orang penting dalam misinya.
Sedikit pening Adira dibuatnya. Meleleh air mata melepasi lekuk pipi. Tak cukup dengan itu, dagunya pula dicengkam keras oleh si kakak. Adira terdongak.
“Dengar sini baik-baik. Kalau lepas ni kau bagi info tak betul pada aku, kau akan dapat hadiah yang lagi lumayan daripada ni.” Pipi Adira ditampar-tampar kuat.
Adira pejam mata seraya menggenggam buku limanya, menahan rasa. Kalau dia punya kuasa dan wang, dia takkan turuti segala arahan kakaknya. Dia lakukan semua ini hanya kerana dia perlukan ubatnya. Itu saja!
“Aku janji aku akan buat lebih baik.” Adira membentuk janji lagi.
Si kakak senyum sinis. “Janji tu harus ditepati. Kalau setakat jatuh tangga kat mall tu masih belum cukup kuat. Kau sepatutnya fikir cara dengan lebih berkesan dan tersembunyi. Bukannya di tempat awam macam kat mall tu!” Dia kembali bengang apabila otak cetek Adira bertindak. Langsung tak cerdik. Kenapa pusat beli-belah yang jadi pilihan Adira?
“Cara macam mana lagi kau nak aku buat? Kasih tu dikawal ketat oleh ayah dia. Semua benda tu tak mudah. Cuba kau bagi idea kat aku sikit,” tanya Adira. Geram dengan bicara kakaknya yang menganggap kerja itu kerja mudah seperti memetik jari.
YOU ARE READING
Memori Kasih
Romance- Jarum masa itu ibarat satu petunjuk yang menyelak lembaran duka. - Oleh kerana tidak dapat menerima kehadiran ibu tirinya, Kasih Amalin berubah menjadi seorang gadis yang liar dan kurang ajar. Ada saja yang tidak kena di matanya sehingga si bapa S...