HUJUNG minggu dah bermula. Kasih pulang ke rumah keluarganya atas saranan suaminya, Nuh. Kata Nuh , lelaki itu akan bermalam di hospital kerana banyak kes perlu diuruskan. Kesibukan yang melanda buatkan Nuh tak dapat pulang ke rumah. Oleh sebab itu, Nuh terus menghantar Kasih ke rumah Syed Tajuddin supaya isterinya tak kesunyian di rumah.Turun dari kereta, kaki melangkah masuk ke perkarangan rumah. Ada juga dia mengajak Nuh masuk, namun lelaki itu sedang terkejar masa. Jadual Nuh minggu ini sangat padat. Kasih pun tak memaksa. Dia faham pekerjaan Nuh.
“Assalamualaikum, siapa di dalam? Kasih di luar ni!” Loceng ditekan. Dua buah kereta yang terparkir di garaj sempat dikerling. Ini bermakna ibu dan daddy berada di rumah. Bolehlah dia melepaskan rindu pada kedua-dua orang tuanya.
Tak sampai seminit, pintu dibuka dari dalam. Kasih melemparkan senyum lebar.
“Mak Inang!” Kasih melompat masuk ke dalam pelukan Mak Inang, melepaskan rindu pada wanita itu.
“Siapa tu, Mak Inang?” Satu suara lembut mencelah.
“Ibu!” Kasih terus mendapatkan Aliyah.
Tubuh wanita itu dipeluk seeratnya. Rindu yang tak terucap. Selepas berkahwin dengan Nuh, hanya beberapa kali saja mereka berjumpa. Nuh terlalu sibuk dengan kerja sehingga tiada masa untuk keluarganya. Tapi, Kasih tak kisah. Yang penting Nuh menerimanya masuk ke dalam hidup lelaki itu pun sudah cukup. Haih, rindu pula pada encik suami.
“Kasih bila sampai ni?” Aliyah menarik Kasih duduk di sofa. Makin berseri dia melihat Kasih. Pandai Nuh menjaga anaknya ini.
“Baru je. Nuh hantar tadi,” jawab Kasih.
“Nuh tak masuk?” Aliyah menjengah ke pintu. Tidak kelihatan sebarang kelibat. Mak Inang pun dah berlalu ke dapur.
“Tak. Nuh busy, ibu. Tadi pun dia dapat call suruh datang cepat. Nuh sempat kirim salam pada ibu dan ayah.”
Aliyah mengangguk faham, lalu menjawab kiriman salam itu. Kasih pula akan tercari-cari sesuatu.
“Daddy tengah solat. Kejap lagi turun lah tu.” Aliyah menggeleng kepala. Kasih tersengih janggal.
“Kasih rindu ibu dan daddy…” Riba Aliyah dijadikan tempat kepalanya mendarat. Dah lama tak bermanja dengan Aliyah. Nak bermanja dengan suami, tapi encik suami pula macam malu-malu kucing.
“Ibu pun. Kasih sihat? Semua okey ke? Nuh okey ke dengan Kasih?”
“Okey aje, ibu. Nuh jaga Kasih dengan baik. Masak untuk Kasih. Belikan Kasih apa yang Kasih nak. Best tau kahwin dengan Nuh!” Teruja Kasih bercerita. Terbayang pula kenangan manis bersama dengan encik suami. Rindu! Cepat pulang ya, kekasihku!
Aliyah tersenyum lega. Melihat senyuman Kasih benarlah apa yang Kasih ceritakan.
“Riuhnya rumah. Siapa yang datang?”
“Oh my Daddy! I miss you...” Syed Tajuddin yang baru mendarat di hujung tangga terus diterpa oleh anak perempuannya. Rambut Kasih diusap lembut. Dia pun rindukan Kasih.
“Eh, dah balik ya budak manja ni?” Pipi Kasih dicuit. Kasih ketawa riang.
“Daddy sihat?” Tangan Syed Tajuddin disalam. Serentak itu, mereka terus berkumpul di ruang tamu.
“Alhamdulillah sihat. Ibu Kasih pandai jaga daddy. Makin sihatlah jadinya. Kasih ni daddy tengok makin sihat. Dah ada isi ke?”
“Isi apa?” soal Kasih, polos.
“Isi lah.” Syed Tajuddin menepuk perutnya yang sedikit buncit itu. Aliyah pula mengemam bibir, menahan ketawa. Wajah Kasih kelihatan bingung.
“Cacing ke, daddy?” Wajah daddy dan ibu dipandang silih ganti. Riak mereka bercampur antara terkejut dan geli hati.
YOU ARE READING
Memori Kasih
Romance- Jarum masa itu ibarat satu petunjuk yang menyelak lembaran duka. - Oleh kerana tidak dapat menerima kehadiran ibu tirinya, Kasih Amalin berubah menjadi seorang gadis yang liar dan kurang ajar. Ada saja yang tidak kena di matanya sehingga si bapa S...