MK 41

1.6K 96 28
                                    


PERLAHAN mata dibuka. Buat seketika renungannya hanya dihala ke dinding putih. Apabila penglihatannya kian jelas, barulah dia memandang sekeliling ruangan yang sedang dihuninya saat ini. Liurnya diteguk, kering dan payau. Dahinya berkerut kecil menahan rasa sakit di kepala dan seluruh tubuhnya.

Matanya terpejam celik tatkala ingatannya seolah-olah memutarkan kembali setiap peristiwa yang berlaku sehingga dia berada di sini. Apabila matanya terasa hangat, kelopak matanya kembali dipejam rapat. Bersyukur dia masih diberikan kesempatan untuk bernafas dan menikmati alam dunia buat seketika lagi.

“Alhamdulillah,” desisnya perlahan. Matanya kembali dibuka apabila telinga menangkap derap kaki yang sedang menapak masuk.

“Kasih? Ya Allah, Kasih dah sedar. Terima kasih Ya Allah.” Bergema rasa syukur suara itu menyebut sebelum menerpa ke arah Kasih. Bergenang air mata Aliyah sambil mengusap kepala Kasih dengan penuh berhati-hati.

Kasih terus mengukirkan senyuman.

“Ibu okey? Ada cedera kat mana-mana tak hari tu?”

“Ya Allah, Kasih...” Jatuh air mata Aliyah dengar soalan Kasih. Kasih masih merisaukan dirinya.

“Ibu ni cengenglah. Tahulah ibu kesayangan daddy.” Kasih mencebik kecil. Sengaja mahu mengusik Aliyah.

Tergelak Aliyah dengar. Dahi Kasih dikucup lembut. Belas melihat wajah Kasih yang bengkak akibat dipukul sang penjahat. Pengorbanan Kasih melindunginya tak mampu dia balas sampai bila-bila. Sungguh dia tidak menyangka Kasih sanggup mempertaruhkan nyawa dan keselamatannya demi memastikan dia selamat.

“Syukur alhamdulillah Kasih dah sedar. Lega sangat ibu. Daddy pergi solat. Nuh on the way datang sini,” maklum Aliyah teruja. Tak sabar mahu mengkhabarkan kepada suaminya dan juga Nuh.

Sebak hati Kasih mendengar nama Nuh meniti di bibir Aliyah. Ingin sekali dia melepaskan rasa sesak yang sedang menghentam hatinya tika ini. Tetapi, dalam waktu yang sama dia tidak tegar mahu bertemu mata dengan Nuh.

“Dah berapa lama Kasih tak sedar?” tanya Kasih ingin tahu.

“Hampir satu hari.” Aliyah terus berlabuh di sisi Kasih.

“Oh.” Kasih kembali pejam mata. Tubuhnya masih rasa kurang bermaya.

“Kasih, ibu panggil doktor sekejap ya.”

Kasih hanya mengangguk lemah. Sebaik saja selesai pemeriksaan, muncul kelibat Nuh yang sedang menjinjing beg plastik. Betapa gembiranya dia ketika Aliyah mengkhabarkan Kasih sudah sedarkan diri. Terasa ketika itu juga dia mahu sujud syukur.

“Syukurlah awak dah sedar,” tegur Nuh sambil menghampiri katil. Senyumannya tak mampu dipadam. Beg plastik tadi diletak ke atas meja.

Kasih hanya memandang tanpa suara. Langsung tidak membalas sapaan Nuh. Kepalanya turut dipaling ke jendela. Tiba-tiba dadanya terasa sebu.

“Saya minta maaf,” ucap Nuh perlahan. Tangan Kasih terus dicapai dan dikucup hangat. Dahi Kasih turut dikucupnya, seketika. Kepala Kasih diusap-usap sayang.

Seperti terkena renjatan, Kasih menarik tangannya kembali. Kepala digeleng lemah sebelum menyembunyikan tangannya ke bawah selimut.

“Kasih...” Tersentak Nuh dengan penolakan Kasih. Mata Kasih cuba dicari, namun sedikit pun Kasih tidak mahu memandangnya semula.

“Saya bukan perempuan baik, jadi jangan sentuh saya,” ucap Kasih separuh bisik. Dan akhirnya menitis jua air mata yang ditahan Kasih sejak tadi. Pedih sekali untuk menelan kata-kata yang meniti di bibir sendiri. Kerana Nuh juga meragu kesetiaannya. Jadi buat apa Nuh masih mahu memohon maaf?

Memori KasihWhere stories live. Discover now