SEJAK kejadian beberapa hari yang lalu, Nasywa merasakan ketidaktenangan yang menghantuinya. Setiap tindakan yang dilakukannya terasa tidak betul akibat rasa takut yang menyelubungi dirinya. Bahkan berada di dalam syarikat itu sendiri membuatnya merasa takut. Apatah lagi memikirkan Ahnaf ada bahagian dalam syarikat ini.
Nasywa baru dapat tahu bahawa Ahnaf adalah salah seorang pemegang saham dalam syarikat ini. Ini menunjukkan bahawa Ahnaf ada hak dalam syarikat ini. Silap-silap Ahnaf boleh buat apa saja terhadap syarikat ini. Ahnaf sangat hebat dalam memanipulasi sesuatu benda. Itu Nasywa tidak menyangkal.
Kata-kata Ahnaf pada tempoh hari juga masih segar dalam fikirannya. Dimana Ahnaf berkata dia sanggup bayar pihak polis. Boleh jadi Ahnaf mampu beli saham yang besar dalam syarikat majikannya itu lantas apa-apa keputusan tertakluk pada Ahnaf.
Nasywa memejamkan matanya. Logik ke Ahnaf boleh berbuat sedemikian? Tak logik bukan? Tapi boleh jadi bukan? Kenapa kau teruk sangat, Ahnaf? Sampai berasuah pun kau sanggup. Kau tak takut mati ke, Ahnaf? Nasywa makin runsing memikirkan nasib hidupnya.
Sekarang Nasywa hanya mempunyai baki dua hari lagi. Dan dia masih tidak membuat apa-apa keputusan. Hal ini kerana Nasywa langsung tak mahu kahwin dengan Ahnaf tapi Ahnaf tidak faham. Ahnaf hanya tahu memaksa dirinya.
Berhenti kerja?
Tak, tak boleh. Dia sudah mengikat kontrak dengan syarikat itu. Kalau betul dia berhenti, dia akan didenda. Mana dia nak cari duit? Timbul satu masalah pula nanti.
'Ya Allah, berikanlah saya petunjuk.'
Nak buat laporan polis? Dia kena usaha. Tidak semua polis makan rasuah. Mana tahu, rezeki dia dapat pihak polis yang baik dalam menyelesaikan kes ini. Dia kena yakin dengan Allah. Ahnaf bukan hebat sangat pun. Bila-bila masa saja dia boleh jatuh tersungkur. Jadi Nasywa tak perlu takut.
Nasywa angguk kepala berkali-kali. Ya, dia akan buat laporan polis. Dia akan cuba. Dia akan cuba membela nasibnya. Negara ini ada undang-undang. Usaha takkan mengkhianati hasil.
Nasywa sudah bersiap-siap ingin pergi ke balai polis. Waktu melangkah keluar dari rumahnya, dia melangkah senyap-senyap. Dia sendiri tidak pasti kenapa namun dia rasa dia sedang di awasi. Dia sudah kata, sejak kejadian tempoh hari, hatinya tidak tenang.
Masuk ke dalam kereta, tak putus doa dipanjatkan kepada Allah. Memohon perlindungan dari Yang Maha Esa. Nasywa yakin Allah akan menjaganya. Allah akan sentiasa ada dengannya. Nasywa yakin.
Dalam perjalanan menuju balai polis, secara tiba-tiba, sebuah kereta hitam mulai mendekati kereta Nasywa. Nasywa merasa resah. Mungkinkah ini ada kaitan dengan sesuatu yang salah yang dilakukannya? Fikirannya mula bercelaru. Kereta itu terus mendekati Nasywa, meningkatkan ketidakpastian dan ketakutan dalam dirinya.
Kereta hitam itu semakin merapat ke kereta Nasywa membuatnya semakin gelisah. Dalam keadaan cemas, Nasywa membuat keputusan untuk berhenti di tepi jalan. Kereta hitam itu juga turut berhenti di hadapan kereta Nasywa. Sebuah Lincoln Navigator hitam dengan cermin yang berwarna hitam gelap. Keadaan ini membuat Nasywa semakin tidak pasti siapa yang berada di dalam kereta tersebut. Tanpa menyedari, tangan Nasywa sudah bersedia memegang steering lock, bersiap untuk bertindak jika perlu.
"Engkau?!" Nasywa menjerit kuat sambil pandang ke arah Ahnaf yang memakai cermin mata hitam itu keluar dari pintu penumpang belakang dan berjalan laju ke arahnya.
Jika Nasywa dengan Ahnaf, kemarahannya memang selalu memuncak. Dia risau lama kelamaan penyakit darah tinggi boleh menyerangnya. Kerana itulah dia tidak mahu kahwin dengan Ahnaf.
Ahnaf berjalan ke arah kereta Nasywa dengan laju. Tangannya naik menguak rambutnya. Lengan kemeja berwarna biru gelap yang dipakai itu dilipat laju.
Tiba di tepi pintu kereta Nasywa, tingkap itu diketuk berkali-kali.
YOU ARE READING
Bahagiakah Cinta (HIATUS)
Romance"Aku tak nak lelaki hina macam kau jadi suami aku." - Nur Nasywa "Aku minta maaf." Ahnaf Syaqil "Pergi mati dengan maaf kau."