MAWAR SAFIYA siap berseluar longgar dan baju pasukan bola sepak Sepanyol yang saiznya itu jauh lebih besar daripada saiz sebenar tubuhnya. Rambut yang masih lembap pula dibiarkan terurai bebas. Rambutnya cuma separa bawah bahu. Hitam pekat dan tebal.Gadis itu menuruni anak tangga untuk mendapatkan minuman di dapur tapi terbantut apabila tiba di tingkat bawah. Sangkanya teman serumahnya sudah tidur tapi ternyata dia melihat Aina, sedang duduk di atas sofa ruang tamu. Segera dia hayun kaki mendekati salah seorang teman serumahnya itu.
“Tak tidur lagi kau?”
Bersahaja dia menyapa sambil tecegat di sebelah tangan sofa tiga serangkai yang diduduk Aina. Kedua-dua tangannya digulung di balik bawah bajunya sendiri. Sejuk pula terasa.
Aina angkat muka, masih bersisa senyum di wajah saat bertemu mata Mawar. “Haah. Aku sanggup sengkang mata sebab nak tengok talk show ni. Mr.Brain pujaan malaya tengah live."
“Siapa?” soal Mawar kerut dahi sambil melempar pandang ke arah kaca televisyen.
Baru nak tumpang ‘memuja’, moodnya terus ke laut sumatera. Muka menyampah terpamer jelas walhal seraut wajah yang terpampang di kaca TV tika ini amatlah manis. Lelaki tegap itu berkulit agak gelap, berjambang nipis, berkemeja rapi, petah berkata-kata, matang gerak-geri, tapi... serba tak kena di mata Mawar.
“Yang macam ni kau cakap pujaan malaya? Dah pupus ke lelaki lain?” Dia kembali memandang Aina dek tak mahu terus menyakitkan hati.
Makinlah dia meluat bila melihatkan Aina yang tersengih angau. Melekat bukan main mata pada skrin TV.
“Ish kau ni. Tak faham betul aku. Dari dulu lagi tak puas hati sangat dengan Mr.Brain kenapa? Ke...” Aina melirik nakal.
“Dia ada reject kau? Kau ada DM dia kat IG dia ke? Dia tak reply?”
“Eh hello? Muka aku ni macam muka timba ke? Aku yang reject lelaki, bukan lelaki reject okey.”
“Yalah tu. Muka macam kau berlambak kat KL ni, Mawar. Jangan perasan. Sebab kau perasanlah sampai sekarang kau tak ada boyfriend.”
“Perempuan berkarier macam aku ni, fokus pada kerja. Tak ada masa nak berdating habiskan masa, habiskan duit.”
“Bla bla bla. Orang kalau dah ego, macam ginilah bercakap. Bumi yang bulat pun dikata segi empat sama panjang.” Selamba badak Aina menempelak Mawar mengundang decitan temannya itu.
Mawar congek bibir kiri atas. Berpeluk tubuh pula bila tiada peluru nak membalas serangan Aina barusan. Dengan sebalnya dia mengalihkan pandangan pada kaca TV. Makin sebal melihat lelaki yang sedang ditemu bual oleh Dato Rosyam Nor dalam rancangan di saluran TV Tiga Setengah itu tampak kerek di matanya. Duduk bersilang kaki. Gaya tangan bercakap kalahkan menteri perhubungan negara. Eih!
“Ini kes dia menang kes Salina tahun lepaslah dia viral. Sampai ke harini pun fans dia makin ramai, nama dia makin meletup. Yalah. Kau bayangkan. Salina dulu orang fitnah bunuh kawan baik sendiri. Kecoh satu negara sampai negara sebelah. Mentang-mentanglah orang tak berduit kan? Nasib baik Mr.Brain ni tawarkan diri untuk bela Salina free of charge. Rupanya, boyfriend mangsa sendiri yang bunuh. Anak tan sri tu sekor dah masuk penjara, puas hati rakyat Malaysia. Atas jasa siapa? Mr.Brain ni hah. Udah ler hensem. Bijak pandai. Tu tengok cara bercakap. Tersusun jelas, ada isi bermanfaat,” ulas Aina panjang lebar sekali gus berangan dapat berjumpa Mr.Brain yang dipuja ramai itu.
Sepanjang ulasan percuma Aina, Mawar cuma mampu tayang muka nak muntah. Sebu dalam perut tapi dikawal agar tidak muntah di ruang tamu beralas karpet ini. Nanti dia pula yang terpaksa cuci.
“Ya Allah... Elok kau jumpa dukun. Buka sikit hijab mata kau. Bawak sekali fans mamat ni yang kau cakap tadi. Biar jelas yang mana satu orang, yang mana satu jin bertendang,” kata Mawar seraya menyusun langkah ke dapur meninggalkan Aina. Dia pekakkan telinga ketika Aina membalas.
“Pandai betul malaun tu berlakon. Perangai tak semenggah, acah hero negara konon.” Sempat lagi Mawar mengomel sendiri ketika mengeluarkan sebotol air mineral daripada peti sejuk.
Terkumat-kamit mulutnya sambil berjalan sampai ke kamarnya semula. Dia duduk di atas kerusi ikea menghadap jendela kaca. Botol air diletak di atas meja kerjanya yang sudah penuh dengan entah apa barang. Dengan rasa tidak puas hati masih bersisa, dia menyelak langsir yang menutup jendela untuk melihat bulan malam. Kawasan perumahan teres Cheras yang dia tinggal ini kalahkan kampung. Belum masuk dua belas tengah malam dah sunyi sepi.
“Saya sebenarnya nak ubah mentaliti anak muda, anak Malaysia kita untuk...” Terjuih bibir Mawar mengajuk ucapan lelaki di televisyen tadi dengan mimik muka berlebihan.
“Eh baik kau ubah mental kau dulu. Samseng kampung. Pembuli. Nakal tahap jin bertendang.”
Mawar jongket bibir lagi seolah-olah membayangkan kenangan zaman mudanya dulu kala.
Siapa Mr Brain pada Mawar dan kenapa Mawar marah sangat?
Oh... Mr Brain itu nama sebenarnya Akram Hidayat Bin Mat Rauf. Orang sekampung Mawar. Dari kecil lagi hidup berjiran. Bukanlah jiran sebelah rumah. Jiran satu kampung. Masuk tadika yang sama, sekolah rendah yang sama, sekolah menengah yang sama, universiti saja lain. Mereka sebaya. Tahun ini 27 tahun umur mereka.
Jadi kenapa Mawar benci sangat Akram?
Alah, biasalah. Cerita klise saja. Si Akram di kampung dulu nakal orangnya. Suka sangat mengusik, menyakat Mawar. Bahasa lebih kasar lagi, mendajal Mawar. Setakat letak cicak dalam bekal makanan Mawar, itu mainan harian Akram saja. Paling teruk, ketika dia masih sekolah rendah, ditolaknya Mawar jatuh ke dalam perigi lama. Sampai ke malam orang kampung cari, barulah dia beritahu mak ayah Mawar keberadaan Mawar. Teruk juga Akram dipukul ayahnya, Encik Rauf. Eh nama pun samseng kampung. Bukan nak insaf. Makin teruk dikacau Mawar. Lebih kurang begitulah. Nak dicerita satu persatu takut tak cukup buku.
Sejak masing-masing dah bawa haluan sehabis sekolah mereka dah jarang bergaduh. Jumpa pun dua tiga kali setahun ketika kebetulan mereka balik kampung pada masa yang sama. Kadang dua tiga tahun tak bersua muka. Terakhir jumpa, raya puasa tahun lepas. Berselisih kereta di tengah jalan.
Tapi dendam di hati Mawar tidak pernah pudar. Dia merasa seolah-olah. Akram cuma berlagak baik di mata rakyat Malaysia. Mr.Brain konon.
Err... Okey. Dia mengaku yang Akram tu memang pelajar pandai di sekolahnya dulu dan dia pelajar yang masuk kelas pemulihan tapi tetap saja dia tak suka.
Ah sudah. Jangan diungkap kejayaan Akram lebih-lebih. Benci!
![](https://img.wattpad.com/cover/340189822-288-k291648.jpg)
YOU ARE READING
Luka Seribu Rindu (Wattpad Version)
RomanceLUKA SERIBU RINDU | YANA AGASSHI Mawar Safiya sungguh bencikan musuh sejak azalinya, Akram Hidayat yang selalu membulinya. Setakat masukkan cicak ke dalam bekal makanan Mawar, itu cuma rutin harian Akram. Samseng kampung itu pernah menolak Mawar jat...