DAPUR rumah Encik Rauf dan Puan Ameeta bertingkah suara gelak tawa bahagia. Hari ini mereka tiga beranak sibuk memasak lauk tengah hari bersama seperti biasanya. Encik Rauf juga sama rancaknya dengan Puan Ameeta nak menunjukkan bakatnya dalam membuat kek pisang sedap.
Orang sibuk nak masak lauk, dia sibuk nak buat kek.
“Nanti bila sampai masanya, bapak akan turunkan resipi rahsia bapak ni pada along. Sekarang tak boleh lagi,” kata Encik Rauf yang duduk di atas kerusi di depan oven. Bukan main beria menunggu hasil tangannya sampaikan tidak berganjak dari tadi.
Akram yang berseluar tiga suku dan jersi bola pasukan Terengganu kegemarannya itu tersenyum sambil tangan mencuci sayur di singki. Sempat dia bertukar pandang dengan ibunya sebelum mengabaikan saja kata-kata si bapak.
“Tak pun, nanti bapak ajar isteri along.”
“Encik Mat Rauf. Resipi kek pisang berlambak dekat Facebook. Taip saja nak kek pisang jenis apa. Pisang tanduk, pisang berangan, pisang goreng.”
“Pisang emas dibawa belayar,” celah Akram pula sengaja nak menyakat.
“Esh... Tak sama, cik adik sayang,” pangkas Encik Rauf tidak mahu kalah. Kedudukannya diubah agar tubuh menghadap ke arah anak isteri. Bukannya dia nak bangun. “Ini rasa dia lain dari yang lain. Bukan ke awak jatuh cinta pada saya dulu sebab rasa kek pisang saya ni?”
“Awak yang hari-hari letak kek pisang awak atas tangga rumah saya. Takkanlah saya nak buang. Saya makanlah walau sedap walau tidak.”
“Along jangan dengar cakap mak. Lepas dah dapat bapak, macam gitu pula dia cakap. Mari bapak cerita.”
“Ya Allah... Dia dah mula dah...”
Tawa Akram meletus lucu apabila Puan Ameeta buat muka kerana sudah jemu nak mendengar kisah yang sama berulang-ulang kali. Kisah resipi rahsia kek pisang turun-temurun.
Dia pula sentiasa tadah telinga dan tidak pernah bosan mendengar cerita itu. Adiknya Azfar juga sama sepertinya. Nak-nak pula kalau kisah cinta orang tuanya dulu kala. Seronok.
Tapi sebelum sempat kulit buku dibuka, suara seseorang memberi salam kedengaran sayup dari luar rumah. Masing-masing diam saling berpandangan untuk memastikan apa yang didengar tadi betul atau tidak.
Selang beberapa saat, suara memberi salam barusan kedengaran lagi.Akram yang baru mengecam empunya suara pantas membersihkan tangan dan mengesat tangan yang basah pada kain dapur.
“Siapa tu?” tanya Puan Ameeta melihatkan anak terunanya tergesa-gesa nak menyambut tetamu.
“Mawar Safiya. Mak masaklah dulu. Along pergi tengok,” jawab Akram lalu menyusun langkah menuju ke pintu depan.
Sebaik saja pintu kayu berkembar dibuka, anak matanya jatuh pada batang tubuh Mawar dekat tangga. Muka cemberut macam biasa tapi tetap comel di pandangannya.
“Ha. Ada apa waktu macam ni datang rumah orang? Tak masak ke kau?” Akram pun satu hal. Sengaja dia nak mencucuh bara di hati Mawar.
Mawar jeling sekali. “Turun kau kejap. Aku ada benda nak cakap.”
“Amboi, cantik adab kau. Dahlah datang rumah aku.”
“Tsk.” Mawar kerut dahi menikam muka Akram menggunakan sepasang matanya. Sudah dia lemparkan egonya untuk datang mengadap musuh azalinya tapi musuhnya ini malah menguji kesabarannya pula.
“Yalah... Aku turun.” Akram mengalah awal dek panahan tajam mata si harimau.
Lelaki itu menuruni separuh anak tangga dan melabuhkan punggung di situ. Rumahnya agak tinggi jadi anak tangga pun banyaklah. Berdebar kerana dia tidak dapat menebak tujuan Mawar ke sini.
YOU ARE READING
Luka Seribu Rindu (Wattpad Version)
Roman d'amourLUKA SERIBU RINDU | YANA AGASSHI Mawar Safiya sungguh bencikan musuh sejak azalinya, Akram Hidayat yang selalu membulinya. Setakat masukkan cicak ke dalam bekal makanan Mawar, itu cuma rutin harian Akram. Samseng kampung itu pernah menolak Mawar jat...