"DAH sampai, keluar keluar. Rumah sejengkal pun nak tidur kau ni," giat Akram seraya melangkah keluar daripada kereta. Sengaja nak menyakat Mawar sedangkan Mawar tak lelap walau sesaat.Mawar yang berjubah Abaya hitam dan tudung bawal biru sempat jeling mata terbalik sebelum turut melangkah keluar. Bergerak ke arah but Toyota Camry putih milik Akram.
"Family kau tak sampai lagi ke? Tak ada orang pun." Dia bertanya apabila menyedari cuma ada kenderaan milik Encik Rauf di pekarangan rumah.
"Sekarang pukul lapan pagi. Orang baru nak keluar cari sarapan, Mawar oi. Kau ingat family aku semua keturunan Ultraman ke, terbang sampai? Family mak aku dari Kedah, family bapak dari Pahang. Ha. Masuk kepala otak sikit info aku bagi ni," ujar Akram menujah sekali dahi Mawar membuatkan Mawar menepis sebal.
Pagi-pagi hari dah nak bergaduh.
"Aku tanya, jawab elok-eloklah. Tak payah nak kaitkan dengan Ultraman, Batman, Cicakman bagai."
Akram ketawa kecil, tangan mencapai pemegang beg pakaian dari dalam but.
"Tak payah angkat semua. Esok nak balik KL kan, ambik yang mana nak pakai je. Malas aih aku nak kemas," kata Mawar menyangka Akram nak mengeluarkan barangannya sekali gus mengundang senyum sinis Akram.
"Lah. Yang malas tu kau. Aku ni rajin aje. Beg kau, kau angkutlah sendiri. Ni aku ambik beg aku."
Menonong Akram bawa bagasi dan beg galas belakangnya menuju ke dalam rumah.
Mawar ketap gigi merenung susuk tegap Akram hilang daripada pandangan. Berdongkol rasa dalam hati. Nak disumpah, teringat pula pesanan uminya suruh jadi isteri yang baik. Sabar... Sabar...
Akhirnya dia mengeluh sekali. Dia ambil satu beg galas berisi pakaian sehari semalam dan satu bakul kecil berisi barang mandian lalu menyusul jejak Akram tadi. But kereta, sengaja tak ditutup nak menyakitkan hati empunya kereta.
Menapak saja lantai dalam rumah, Mawar memperlahankan gerak. Matanya diluaskan ke segenap ruang dalam rumah tinggi ini. Interior rumah klasik. Rumah kayu cat warna coklat gelap. Ruang tamunya luas, tiada perabot di tengah-tengah. Bilik pun banyak. Semua nampak rapi dan tersusun.
"Jebon ni pun satu." Dia baru sedar yang Akram tinggalkan dia tanpa bagitahu bilik mana dia perlu tuju. Dasar lelaki tak budiman.
Nak tak nak, dia menapak perlahan-lahan memanjangkan leher sambil mata melinggas bilik mana bakal di'sewa' malam ini. Mujurlah dia nampak kelibat Akram di dalam salah satu bilik. Pantas dia berjalan masuk ke bilik itu tanpa salam.
"Semalam kau datang rumah aku, aku bukan baik lagi ajak kau masuk bilik aku, tunjuk itu ini macam ejen hartanah, sampai turn aku kau boleh tinggal aku kat luar macam tu aje kan? Tak reti nak balas budi baik orang?" Rancak sungguh mulut Mawar membebel siap dengan mimik mukanya sekali.
Akram yang sedang mengeluarkan pakaian daripada bagasi tersenyum-senyum. Bersahaja dia menyusun pakaiannya di dalam almari.
Mawar jeling apabila Akram tidak memberi respon. Dia berpeluk tubuh sambil menapak ke arah katil. Punggungnya dilabuhkan di birai katil, anak mata mula mengimbas segenap ruang.
Ruang kamar yang bersih dan sederhana luas. Tiada pendingin hawa, ada kipas atas. Tiada siling putih seperti di rumahnya. Jendela pertama, mengadap pekarangan rumah. Jendela kedua, sebelah kiri katil. Sebelah kanan katil pula pintu kamar itu sendiri.
Dia luaskan lagi pandangan tanpa suara. Melihat ada rak putih dipenuhi buku-buku. Dia sedia maklum yang Akram memang genius sejak kecil. Perangai aje yang tak semenggah.
Selain rak buku, cuma ada almari pakaian. Ringkas tapi mencukupi. Patutlah kemas dan rapi mata memandang.
"Dah puas scan bilik ni?" Suara serak Akram menarik perhatian Mawar.
YOU ARE READING
Luka Seribu Rindu (Wattpad Version)
RomanceLUKA SERIBU RINDU | YANA AGASSHI Mawar Safiya sungguh bencikan musuh sejak azalinya, Akram Hidayat yang selalu membulinya. Setakat masukkan cicak ke dalam bekal makanan Mawar, itu cuma rutin harian Akram. Samseng kampung itu pernah menolak Mawar jat...