MAJLIS tahlil berlangsung dengan meriah. Lauk pauk, kuih muih, habis tidak bersisa. Naib baiklah Mak Uda cadangkan buat lebih daripada jumlah jemputan. Biarpun keletihan, tapi keluarga Encik Khalid dan Puan Saodah bersyukur kerana majlis tahlil buat arwah ibu bapa mereka berjalan lancar.Sekarang jam 10:30 malam.
Para tetamu sudah pada pulang.
Saudara-mara dari dekat mahupun jauh juga beransur pulang. Tingallah empat dara di dapur sedang mencuci pinggan mangkuk, gelas cawan, periuk senduk segala bagai. Masing-masing muka jelas tampak penat dan mengantuk. Salah selisih bahu mahu bawak bergaduh. Sebelum itu, marilah berkenalan ringkas ya.Yang sedang mencuci pinggan dekat singki, Orked. Anak kedua dan mengajar di sekolah rendah sekitar Bangi. Yang sedang membilas pinggan di sebelah Orked pula, Melur namanya. Lebih tinggi daripada si kakak. Bertubuh agak berisi dan berkaca mata bulat. Sedang belajar di UPSI Tanjung Malim, berusia 19 tahun. Kembarnya yang sedang mengelap pinggan di atas lantai bernama Kamelia, seiras tapi tidak berkaca mata. Juga belajar di tempat yang sama.
Mawar, Orked, Melur, Kamelia.
Ha... Berbunga-bunga ruang dapur.
Arwah opah merekalah yang berikan nama itu kepada mereka. Klasik habis."Kenapa dengan akak ni? Gelisah semacam aje," tegur Kamelia melihatkan Mawar di sisinya yang semacam tidak senang duduk sedari tadi.
Melur yang sejenis pendiam, langsung tidak menoleh.
Cuma Orked yang menoleh melihat Mawar. Fikirnya, Mawar mungkin gusar bab nak meluahkan isu perkahwinannya dengan Taufik pada abah esok pagi.
Tapi yang sebenarnya, Mawar resah memikirkan ugutan Akram petang tadi. Majlis dah lepas. Apa betul Akram menunggu dia di luar pagar sekarang? Kalau betul, macam mana dia nak jumpa mamat gila tu? Siang bolong pun abahnya tak bagi dia berduaan dengan lelaki, apatah lagi di malam hari begini? Aduh...
"Kak," seru Kamelia lagi menyedarkan Mawar.
"Dik, cuba kau tengok abah buat apa," arah Mawar pada Kamelia tanpa pucuk pangkal.
"Kenapa?"
"Esh budak ni. Banyak tanya. Pergilah ajelah orang suruh."
"Tsk." Kamelia terpaksa menurut walau mulut berdecit tidak puas hati.
Dia berjalan ke arah langsir pintu dapur. Langsir labuh mencecah lantai itu diselak lalu batang leher dipanjangkan cuba mengintai ruang tamu. Memandangkan ada koridor pendek menghubungkan dapur dan ruang tamu, dia menyelusuri perlahan koridor itu bak pencuri. Anak mata melilau dan melihat, abahnya sedang berbual dengan beberapa orang lagi saudara mara yang belum pulang. Lantas, dia kembali ke dapur. Macam tahu tahu saja tugasnya, dia merapatkan tubuh di sisi Mawar.
"Abah kat ruang tamu. Bersembang dengan pak su, Abang Idham dengan pak uda," bisiknya perlahan.
"Rancak tak?"
"Rancak, kak. Sembang bab politik."
"Okey." Mawar segera bangun. Tergesa-gesa melurut lengan baju kurungnya yang dia lipat separa siku. Tudung sarung juga dirapikan memastikan tiada rambut terkeluar.
Hairan adik-beradik memerhati tingkahnya.
"Kau nak pergi mana? Nak cakap dengan abah sekarang ke?" soal Orked ingin tahu.
"Tak," geleng Mawar. "Aku nak keluar depan tuuuu aje. Sekejap, tak lama. Korang bertiga, cover line untuk aku kalau abah tanya. Pastikan kalau abah bangun dari sofa, korang jerit kuat-kuat."
"Tapi..."
"Dah, diam. Aku pergi dulu," pamit Mawar lalu mengatur langkah waspada keluar lewat pintu dapur.
YOU ARE READING
Luka Seribu Rindu (Wattpad Version)
Storie d'amoreLUKA SERIBU RINDU | YANA AGASSHI Mawar Safiya sungguh bencikan musuh sejak azalinya, Akram Hidayat yang selalu membulinya. Setakat masukkan cicak ke dalam bekal makanan Mawar, itu cuma rutin harian Akram. Samseng kampung itu pernah menolak Mawar jat...