'SEMUA sebab kau. Kalau malam tu kau tak pancitkan tayar basikal aku, aku takkan balik jalan kaki. Aku takkan lalu jalan pintas tu. aku takkan dirog-.'Suara Mawar siang tadi bergema dalam kepalanya. Mengulang tayang titisan air jernih dari pipi Mawar jatuh ke lantai. Ulang dan ulang sehingga dia bagaikan terlalu hanyut, fokus matanya juga hilang.
"Allahuakhbar..." Akram sedar sendiri.
Mukanya yang suram diraup sekali sebelum dia bangun berdiri. Tikar sejadah dilipat dua lalu disangkut pada penyidai kayu sebelah almari pakaian. Songkok di kepala dia tanggalkan dan dia letak perlahan di atas meja sisi katil.
Tidak berniat untuk sambung tidur usai solat tahajud, dia berjalan masuk ke bilik bacaan selang satu pintu dari kamarnya. Mendekati meja kerja, dia melabuhkan punggung di atas kerusi beroda bersama keluhan berat. Dia cuma duduk di situ. Merenung kosong pada kaki lampu meja untuk beberapa minit dengan fikiran menerawang tanpa hala tuju. Kemudian anak mata melirik pada bingkai gambar dekat lampu meja. Gambar bersaiz 4R. Gambar yang terserlah bukan di era milenia.
Gambar dirinya ketika berumur lima tahun. Berseragam sekolah, berdiri di sisi budak perempuan sebayanya.
Satu-satunya gambar kedua-dua mereka tersenyum lebar tanpa pergaduhan. Gambar dia memegang tangan gadis kecil di sebelahnya bak pasangan paling manis. Terpampang gigi depan yang rongak. Dia ingat dengan jelas siapa di balik kamera. Ustazah Mariam, guru tadikanya yang baik dan ayu.Akhirnya dia mencapai bingkai gambar yang sentiasa menemaninya itu. Cermin bingkai itu dia usap-usap lembut. Sehingga tidak sedar air mata lelakinya tumpah di situ. Sebak menjerut kerana dia tahu dia tidak mampu memutar masa dan mengubah kesilapan terbesarnya.
"Maafkan aku, Mawar. Maafkan aku..."
* * * * *
KAMPUNG RAJA, BESUT, TERENGGANU.
"Kak, kau ingat kan janji kau?" terjah Orked memeranjatkan Mawar yang sedang mengeluarkan pakaian dari bagasi.
Mawar tayang muka sebal. Mabuk naik bas tak hilang lagi, budak ni datang tanya soalan lebih memabukkan.
"Aku tak ada janji apa-apa. Aku cakap nak cuba kan?"
"Kak... Kau kena tolong aku..." Orked menempel dekat Mawar, cuba merayu kakaknya sehabis cara. "Kak... Bersungguhlah sikit. Aku dah cakap kat Taufik yang kau nak tolong aku."
"Ish kau ni kan? Rimaslah. Kau tak penat ke? Dalam bas potpet potpet, dah sampai rumah pun potpet potpet.
Tak cukup ke kau mengajar anak murid kau kat sekolah?" bebel Mawar menepis tangan Orked yang menarik-narik lengan bajunya tapi sebelum Orked membalas, susuk yang digeruni muncul di muka pintu kamarnya membuatkan dia spontan bangun.Orked yang baru menyedari kehadiran komando keluarga itu kalut membetulkan posisi. Dia dan Mawar berdiri bahu ke bahu dengan kedua-dua tangan bersatu di depan tubuh. Penuh hormat.
"Abah baru balik?" sapa Mawar terlebih dahulu sambil segera menyalami tangan kasar Encik Khalid.
Orked pun melakukan tingkah yang sama.
"Ehem." Encik Khalid yang dua puluh empat jam memasang riak serius itu berdeham sekali. Diam dulu mengamati penampilan dua anak perempuannya. Sukar hendak menebak reaksinya. Cukup mendebarkan Mawar dan Orked.
"Kamu dah selalu ke pakai seluar macam ni?" soal Encik Khalid pada Mawar bagaikan anak panah berapi. Tenang tapi menggerunkan.
Berpeluh dahi Mawar diasak rasa takut. Macam mana nak cakap ek? Walaupun umur dah 27 tahun, dia tetap takut akan abahnya sendiri.
Gerak-geri abahnya, lirikan mata abahnya, suara rendah abahnya, semua bikin kecut perut!
YOU ARE READING
Luka Seribu Rindu (Wattpad Version)
RomanceLUKA SERIBU RINDU | YANA AGASSHI Mawar Safiya sungguh bencikan musuh sejak azalinya, Akram Hidayat yang selalu membulinya. Setakat masukkan cicak ke dalam bekal makanan Mawar, itu cuma rutin harian Akram. Samseng kampung itu pernah menolak Mawar jat...