KAMPUNG RAJA.
15 TAHUN YANG LALU..."Man! Sini! Sini!" Timbul habis anak tekak di leher Akram meminta kawannya memberi dia bola memandangkan dia yang paling dekat dengan gawang gol.
Sememangnya menjadi rutin harian budak-budak kampung bermain di padang waktu petang begini. Padang kampung yang cuma berlapik pasir tanah hitam dan putih. Dekat kawasan rumah masing-masing.
Sekarang sebelah padang diguna Akram dan sembilan orang kawannya bermain bola sepak. Sebelah lagi ada sekawan budak-budak lain bermain lompat tikus. Kat tepi padang pulak ada lima orang budak perempuan main masak-masak.
Kembali pada Akram, budak lelaki 12 tahun itu berseluar pendek atas lutut, tidak berbaju menampakkan tubuh kurusnya yang bersalut peluh dan pasir. Sampaikan 'masak' kulit duk bermain sejak selepas asar hingga sekarang dah pukul 6:45 petang. Nama pun budak lelaki, budak kampung sejati. Serius, kampung boy. Apa yang dia tak pernah buat?
Main tengah panas sampai tak nampak rupa manusia? Check.
Mandi lumpur? Check.
Terjun parit? Check.
Panjat kerbau lembu? Check.
Tangkap ayam? Check.
Merangkak dalam semak-samun cari belalang? Check.
Curi mangga surau? Pun check.
Umur baru 12 tahun tapi banyak betul ni pengalamannya. Jenis sukakan cabaran.
"Akram, tu. Sana sana." Leman, si tinggi melangguk datang memberitahu Akram sesuatu.
Tak jadi Akram nak menyepak bola yang baru sampai di kakinya. Dia berpaling ke arah yang dimaksudkan Leman.
Di tepi padang sana, muncul gadis sunti berbaju T lengan pendek dengan gambar pelakon Shah Rukh Khan terpampang di dada baju. Sepakej seluar track garis tepi. Rambut panjangnya diikat satu macam ekor kuda. Kalau tak diikat, konfom macam pontianak.
Melihat kemunculan itu, Akram tersenyum senang tanpa sedar. Senyum sendiri.
"Orang dah nak balik, dia baru datang. Mesti komando tak bagi dia keluar kan?" kata Leman menyedarkan Akram.
Akram tarik semula senyum. Kepala diangguk-angguk. Sempat sekali lagi memandang Mawar yang ikut serta geng masak-masak sebelum dia kembali pada bola di kaki. Kawan-kawannya pun sabar aje menunggu. Maklumlah, Akram kan ketua geng.
"Aik. Kau tak nak kacau Mawar ke? Bukan ke kau tak suka Mawar? Tiap kali nampak dia mesti kau kenakan dia." Leman pun dah sebati dengan sikap Akram yang sejak dulu lagi selalu kacau Mawar. Sehari tak bergaduh, tak sah.
Akram tak menjawab, dia meneruskan permainan yang terbantut. Ligat berlari, menyepak, menendang kalahkan pemain berbayar.
Siang menjengah senja. Perlawanan bola pun berakhir dengan pasukan Akram menang 13 gol. Dalam sembilan orang kawan Akram, tujuh orang dah bergerak pulang. Takut mak ayah marah balik lewat. Akram dan Leman masih di padang, berbincang apa mereka nak main esok. Jadual padat budak-budak ni semua.
Dalam rancak berbincang, Akram menoleh ke arah geng masak-masak di tepi padang sana, mencari Si Mawar. Tapi tak ada pulak orang yang dicari. Sempat meliarkan anak mata kiri kanan depan dan... belakang.
Dia nampak Mawar ada bersama sekumpulan budak lelaki di atas padang yang sama. Tampak seronok Mawar bermain lompat tikus sampaikan ketawa terbahak-bahak. Cukup untuk buat dia kerut dahi tanpa sedar. Bola yang tadi dipegang, dia lempar ke tepi, tangannya digenggam kemas.
Dia masih muda, tak kenal kata cemburu. Jadi yang dia tahu, dia tak suka melihat Mawar bermain dengan kumpulan lelaki itu. Perutnya serasa macam nak muntah. Hatinya rasa macam nak marah. Mungkin kerana Mawar tak pernah ketawa dengannya tapi malah ketawa dengan orang lain. Entah. Dia tak tahu nak mengerti perasaannya sendiri.
YOU ARE READING
Luka Seribu Rindu (Wattpad Version)
RomanceLUKA SERIBU RINDU | YANA AGASSHI Mawar Safiya sungguh bencikan musuh sejak azalinya, Akram Hidayat yang selalu membulinya. Setakat masukkan cicak ke dalam bekal makanan Mawar, itu cuma rutin harian Akram. Samseng kampung itu pernah menolak Mawar jat...