MAWAR tidak senang duduk. Semalam baik-baik saja, tapi kenapa harini macam ada ribut taufan dalam hati? Sebu dalam perut, sejuk daripada tapak tangan ke tapak kaki. Kepala pun naik pening, rasa nak pitam.Dia duduk berteleku di atas kusyen bulat diapit Orked dan Aina di sebelah kiri sementara di sebelah kanan pula Puan Saodah dan Puan Ameeta.
Beberapa ahli keluarga kedua-dua belah pihak juga turut berada di dalam ruang masjid. Upacara akad nikah akan bermula bila-bila masa saja lagi.
Mawar yang duduk tidak jauh dari Akram, cuma mampu memandang susuk belakang Akram. Akram duduk di tengah-tengah ruang dikelilingi wali dan saksi. Bertentangan tok kadi. Entah kenapa, hari ini Akram tampak berbeza di matanya. Susuk belakang lelaki itu saja membuatkan jantungnya berkocak hebat. Dia bahkan belum bertentang mata dengan bakal suaminya itu.
Ya Allah. Bakal suami? Sukar dipercayai. Hari ini baru dia terasa bahawa apa yang berlaku bagaikan sebuah mimpi. Hebat sungguh aturan Allah.
"Kak, dah mula," bisik Orked di cuping Mawar menyedarkan Mawar daripada lamunan pendek.
Biru satu muka tatkala dia mendengar suara tok kadi membaca doa pembuka. Nak telan liur pun rasa tersekat di kerongkong.
'Ya Allah... Berilah kami segala apa yang terbaik...'
"Akram Hidayat Bin Mat Rauf."
"Saya." Suara serak Akram kedengaran jelas menyahut seruan tok kadi.
Sampai ke telinga Mawar, menambah debaran menggila gadis itu.
"Aku nikahkan dikau dan aku kahwinkan dikau dengan Mawar Safiya Binti Khalid berwakil walikan ayahnya kepada aku dengan mas kahwinnya seratus ringgit tunai..."
"Aku terima nikahnya Mawar Safiya Binti khalid dengan mas kahwinnya seratus ringgit tunai..." Lancar Akram melafaz akad.
Tok kadi menoleh kiri dan kanan untuk mendapatkan kesahihan saksi. "Sah?"
"Sah..."
"Alhamdulillah, sah."
"Dah sah, kak," bisik Orked lagi penuh teruja membuatkan Mawar menghela nafas lega.
Mawar tunduk, memejamkan kata untuk mencari sedikit ruang bertenang. Dada yang bagai nak pecah, dia usap perlahan-lahan. Perut yang terasa mual pun dia pegang kejap agar bertahan.
'Memang macam gini ke perasaan pengantin di hari nikah?'
"Doa."
Mawar tersedar lagi bila disiku perlahan oleh Puan Saodah.
Melihat ibunya itu menadah tangan, dia pun ikut menadah tangan walau fikiran tidak berada di tempat yang betul. Usai berdoa, dia melihat Akram bangun berdiri dan saat itu, barulah dia dapat melihat wajah lelaki yang kini sudah sah bergelar suaminya.
Terpukau dia dek melihat penampilan Akram. Tiada lagi jambang di muka, lelaki itu tampak sangat berbeza. Air muka yang bersih, berbaju melayu putih sekali samping. Tampan. Sehinggakan dia sudah terpaku. Tidak dapat mengawal reaksi sendiri.
Sedar tak sedar, Akram sudah pun duduk berteleku di Mawar.
"Mawar," seru Puan Ameta sekali berjaya membangunkan Mawar.
Mawar gemuruh. Debarannya kembali lagi apabila menyedari semua oarang tertumpu ke arahnya. Ahli keluarga, sahabat, beberapa orang kampung dan juga jurugambar pastinya.
Jujur cakap, dia rasa nak pitam. Betul-betul nak pitam. Patutlah sebulan kebelakangan ini dia langsung tiada rasa takut atau gemuruh. Rupanya semua berkumpul nak keluar hari ini.
YOU ARE READING
Luka Seribu Rindu (Wattpad Version)
RomanceLUKA SERIBU RINDU | YANA AGASSHI Mawar Safiya sungguh bencikan musuh sejak azalinya, Akram Hidayat yang selalu membulinya. Setakat masukkan cicak ke dalam bekal makanan Mawar, itu cuma rutin harian Akram. Samseng kampung itu pernah menolak Mawar jat...