BAB 10

2.1K 150 25
                                    

   MAWAR resah gelisah. Dia sudah siap berbaju kurung ungu dan selendang serona. Tidak keluar sejak kedatangan keluarga Akram tapi mundar-mandir di ruang kamarnya.

Dia langsung tidak mengkhabarkan pada keluarganya tentang risikan Akram jadi dia tidak tahu bagaimana reaksi mereka terutamanya abah. Ibunya sempat menjengah kamar tapi tidak berlamaan kerana hendak melayan tetamu. Bercampur bingung dan keliru orang tua itu. Adik-adiknya pula disuruh siapkan juadah di dapur jadi belum ada yang menempel bertanya beribu soalan.

Aduh... Masa ni jugalah perut nak meragam. Meragam pun sebab terlalu berdebar. Janganlah Akram buat perangai tak semenggah di depan abahnya.

“Kakak!” Tiba-tiba Orked muncul meluru ke arahnya dari muka pintu.

Terkejut beruk Mawar dibuatnya. Dia mengurut dada sendiri.

“Kak, betul ke kau nak kahwin dengan anak Chik Meeta?” soal Orked yang usai menghidangkan minuman pada tetamu.

Mawar sedang gemuruh. Sejuk kulit tangannya menyentuh tangan Orked. Mereka sama-sama berdiri dekat.

“Macam mana kat luar? Kau tengok muka abah macam mana? Abah marah tak?” soalnya bertubi-tubi.

“Hm... Tak tahu. Tapi muka abah merah sikit. Kan abah serius memanjang jadi aku tak tahu dia marah ke tidak. Tapi betul ke kau nak kahwin? Atau kau buat semua ni sebab aku?”

“Iyalah. Karang tak pasal kau nikah kat Thailand. Kan dah susahkan aku.”

“Kak!” Mata Mawar berkaca. Kaget dan tak menyangka sama sekali.

Mawar yang dijentik rasa sayu melihatkan sepasang mata adiknya segera mengalihkan pandangan ke arah lain. Berlagak kental.

“Alah. Kau jangan risau. Aku bukan menderita ke apa. Aku dengan Akram memang suka sama suka. Asalnya kami tak adalah plan nak nikah segera. Dah kau yang kalut nak nikah tahun ni, terpaksalah aku awalkan,” dalihnya agar Orked tidak perlu menanggung rasa bersalah atas keputusannya sendiri.

“Tapi kau cakap aku tak ada boyfriend.”

“Dia bukan boyfriend aku. Aku dengan dia tak pernah bercinta cuma aku tahulah dia suka aku dan dia tahu aku suka dia. Faham?”

“Tiba-tiba?”

“Yalah. Tiba-tibalah sebab kau jugak yang nak nikah bulan dua belas kan? Kalau tidak mungkin tahun depan kot aku kahwin dengan dia.”

Orked terdiam kali ini. Lama merenung muka Mawar untuk mencari sebuah kebenaran di balik kata.

“Kakak...” rengek Orked akhirnya sambil menjuih bibir seakan nak menangis.

Dia lantas memeluk tubuh Mawar kerana terlalu lega dan gembira. Bercampur banyak rasa sebenarnya tapi sekurang-kurangnya dia dan Taufik sudah ada harapan.

Mawar tersenyum saat memeluk Orked. Hampir saja air matanya tumpah tapi dia tahan jua. Asalkan adik-adiknya bahagia, dia pun akan tumpang bahagia. Soal jodohnya dia tak peduli kerana dia tak pernah berangan nak berkahwin dengan lelaki sempurna sedangkan dirinya ini sudah tercalit noda.

Tapi bagaimana pula dengan Akram? Adakah dirinya berdosa kerana membiarkan Akram menikahinya tanpa mengetahui perkara sebenar?

“Kakak,” celah satu suara menyedarkan Mawar.

Mawar dan Orked serentak melempar pandang ke arah muka pintu. Puan Saodah melambai tanda meminta Mawar segera ke ruang tamu.

Barulah debaran yang tadi reda, kembali mengocak dada. Mawar tarik nafas dalam lalu dihembus perlahan.

“Goodluck, kak,” bisik Orked memberi semangat.

Dengan lafaz bismillah, Mawar menyusun langkah sopan keluar dari kamar membuntuti langkah Puan Saodah ke arah ruang tamu dimana Akram sekeluarga dan Encik Khalid berada.

Luka Seribu Rindu (Wattpad Version)Where stories live. Discover now