20

2.2K 90 0
                                    



Aku pulang bersama mama papa selepas mereka sampai ke hospital. Terkejut mereka mendengar dua perkhabaran. Tentang kemalangan Ahnaf dan kehamilanku. Mama hanya diam sepanjang perjalanan dan aku tahu mama sedang menahan marah. Papa pula seperti biasa. Tak banyak cakap.

Sampai di rumah kelihatan Alisha dan Fawwaz sudah menunggu kehadiran kami. Mereka terus menyerbu ke arah aku dan bertanyakan keadaan Ahnaf yang masih di hospital.

Papa pantas menghalang mereka mengerumuni aku di hadapan pintu masuk. Dia segera menyuruh aku masuk ke dalam bilik. Sekejap sahaja lagi mama papa akan menyusul. Aku akur tanpa banyak bicara. Muka adik-adikku yang mahu tahu hanya aku pandang dengan wajah yang seperti hilang semangat.

Aku berteleku di atas katil. Walaupun sudah tiga jam berlalu aku masih terkenangkan perbuatanku siang tadi. Wajahku tekup dengan tangan. Air mata mengalir kembali. Penyesalan yang tidak terhingga ini membuatkan aku rasa takut kalau terjadi apa-apa pada Ahnaf.

Tiba-tiba ada satu tangan selamat melingkari badanku lalu dibawa ke dalam dakapan. Papa yang entah bila aku tak perasan masuk ke dalam sedang menenangkan aku dikala kesedihan mencengkam. Aku terus menghamburkan tangisan di bahunya.

" Menangislah, Cahaya. Papa ada untuk Cahaya bersandar," Kata-kata yang jarang sekali aku dengar sepanjang aku membesar. Papa merupakan lelaki yang sukar untuk menunjukkan sisi prihatinnya sebagai seorang ayah kepada anak lebih-lebih lagi anak perempuan kerana kebanyakan mereka akan melayan anak perempuan pertama mereka dengan pelbagai jenis kasih sayang yang mereka mahu tunjukkan.

" Ahnaf, papa..."

" Papa yakin Ahnaf kuat. Bagaimana dia kuat untuk menyelamatkan Cahaya daripada terlibat dalam insiden kereta meletup 4 tahun yang lepas,"

Aku tergamam mendengar penceritaan ringkas papa yang mengingatkan aku tentang fail yang diberi Encik Lim pagi tadi. Aku bangun dan mencapai beg yang sering aku bawa semasa pergi ke kerja. Fail itu aku buka lalu aku membaca setiap kandungan yang ada.

Tanganku tidak kuat lagi menggenggam fail tersebut. Menggeletar apabila membaca kandungan fail tersebut. Aku duduk dibirai katil manakala papa memandang aku dengan sebuah pandangan simpati.

Rintihan aku kedengaran. Air mata aku mengalir lebih banyak. Memang sah muka aku bengkak kerana banyak sangat menangis. " Apa semua ni papa?!"

" Cahaya, kalau selama ni Cahaya tertanya-tanya kenapa mama terlalu mendesak sangat kamu untuk menerima pinangan Ahnaf kerana kamu terhutang nyawa dan budi dengan dia. Dia selamatkan kamu daripada maut. Bila kereta kamu melayang sewaktu disondol kereta belakang, tiada sesiapa yang bangkit untuk berlari mendapatkan kamu kecuali Ahnaf yang berada di tempat duduk penontonnya. Dia keluarkan kamu dan sempat menghantar kamu jauh daripada kereta tapi waktu yang sama juga kereta tu meletup dan serpihan kereta telah mencacatkan penglihatannya. Dia sanggup gadaikan nyawa untuk kamu, Cahaya. Papa tak boleh nak tolak permintannya untuk menjadikan kamu sebagai isterinya walaupun masa tu kamu telah diambang maut." Jelas papa bersama suara yang tersekat-sekat menahan sebak. Aku turut sebak sama kerana kebenaran akhirnya terluah jua.

Selama ni Ahnaf meminta semua orang untuk tidak memberitahu aku rahsia ini kerana dia tidak mahu aku menyalahkan diri sendiri dan membuatkan aku terimanya hanya kerana budi.

Cebisan akhbar yang pernah menjadi perbualan hangat di mata dunia itu terjatuh ke atas lantai. Patutlah Ahnaf pernah berurusan dengan Encik Lim sebelum ni. Rupanya Encik Lim lah pihak yang bertanggungjawab untuk membayar segala pampasan terhadap Ahnaf dan aku.

" Setiap hari dia menemani kamu di ICU. Walaupun tak banyak dia dapat membantu untuk menjaga kelengkapan kamu tapi kehadiran dia sedikit sebanyak buat mama sedar yang anak mama dah mempunyai seseorang yang boleh menjaga kamu dengan baik sekali," Ujar mama yang baru muncul bersama hidangan makan malam untukku. Dia meletakkan dulang di atas meja solek lalu berlabuh di sebelah aku.

[ C ] | THE EYES OF OUR HEARTSWhere stories live. Discover now