HAMPIR tiba di kelas, langkah Armel semakin perlahan bila terpandang Irham dan gengnya sedang melepak di luar kelas. Buku-buku untuk subjek Sains dipeluk erat dalam dadanya dan terus berjalan masuk ke dalam kelas.
Armel ke tempatnya. Sempat dia pandang kerusi kosong milik Aidil. Lelaki itu mungkin masih di makmal sains untuk tanya beberapa soalan yang tak faham kepada cikgu.
Biasanya begitu.
"Budak nerd."
Terdengar bisikan dari Fathia dan diselangi tawa kumpulan itu. Armel buat tak tahu. Dia langsung tak nak pandang.
Lima minit kemudian, Aidil berjalan masuk. Sewaktu memasukkan buku ke dalam beg, Aidil pandang Armel. Senyuman dihadiahkan.
Armel juga balas dengan senyuman.
Tidak lama menunggu, riuh kelas 3Azreas beransur hilang bila seorang guru wanita menjejak masuk ke dalam kelas. Semua bangun untuk mengucap salam.
"Alright class, please submit your literature exercise book... Now," arah Puan Salwa.
Armel pusing pada begnya dan mencari buku latihan Literature. Setelah beberapa kali men cari dia tetap tak jumpa bukunya.
"...Then we will do the past year questions and see the correct way to answer all of these questions in format. Siapa belum hantar buku?" soal Puan Salwa sebelum dia memulakan mengajar.
Armel kaku. Dia tahu ada yang ambil bukunya. Dia tahu barangnya diusik. Dia tahu siapa. Tangannya mula mengepal penumbuk.
Armel lantas bangun dan berjalan laju ke tempat Fathia.
"Mana buku aku?" soal Armel menahan amarah.
Fathia pandang sekilas lalu menjeling.
"Apa benda kau ni?'
"Mana buku aku!" jerit Armel.
"Armel, kenapa ni?" Puan Salwa berdiri di sebelah Armel.
"Dia curi buku latihan saya. Bagi balik," suruh Armel. Nafasnya laju.
"Awak ada bukti ke Armel?"
"Setiap kali saya nak hantar buku latihan, kertas karangan semuanya hilang. Dia yang sorok. Dia yang koyakkan..." laju Armel menjawab.
"...Mana buku aku perempuan?" Nada Armel masih cuba tenang.
Fathia berdiri menghadap Armel sambil mencampak beg sandangnya di atas meja.
"Kau ingat aku hadap sangat ke dengan buku kau. Entah-entah tak bawa atau pun tak siap. Buat je la cara tak siap. Nak tuduh orang apa hal. Check la sendiri." Fathia menjeling tajam.
Belum sempat Puan Salwa nak periksa, Armel sudah capai dulu. Dia keluarkan satu persatu buku Fathia dan campak ke lantai. Dia tidak peduli janji hatinya puas.
Sampai ke buku terakhir Armel baling ke lantai.
"Kau sorok dekat mana pula kali ni?" Suara Armel bergetar.
"Mel, cukup. Terbukti Fathia tak sorok buku awak. Mengaku je kalau awak tak bawa. Jangan buat kecoh macam ni-"
Tutur Puan Salwa dipintas.
"Saya bawa! Demi Allah saya bawa. Cikgu pun sama je nak percaya cakap perempuan ular ni. Habis... Siapa nak percaya saya? Dia yang cari pasal tapi saya kena denda. Dia yang cari pasal tapi semua orang yang macam cikgu ni nampak saya teruk sebab buat kecoh macam ni!"
Semua tergamam kerana intonasi tinggi Armel.
"Armel! Perlu ke tinggi suara macam tu? Saya ni cikgu awak. Sekarang ikut saya jumpa Pengetua," balas Puan Salwa dengan mata buntang memandang gadis di depannya.
Armel diam tidak berkutik. Cuma helaan nafas berat.
"Apa-apa je la. Bela la pembuli yang ada dalam sekolah ni." Armel berjalan pergi. Terus ke pintu depan kelas dan keluar.
"Mel!" Aidil panggil tapi Armel tidak diendahkan.
***
FOKUS semua orang hanya pada suara yang menjerit tapi butir perkataannya tidak jelas.
Irham pandang tingkat dua. Itu kelas untuk semua pelajar tingkatan tiga. Suara jerit dan seakan memarahi itu datang dari situ.
"Cikgu mana pula yang mengamuk ni?" bisik Firdaus.
"Cikgu!" Izz beri amaran dan terus masuk ke dalam kelas. Itu ialah guru untuk subjek mereka yang seterusnya.
Semua masuk ke dalam kelas kecuali Irham. Seketika dia nampak kelibat seorang gadis melangkah keluar dari kelas.
Irham amati. Kenapa dia rasa itu Armel. Tiba-tiba terasa tangannya ditarik masuk ke dalam kelas. Semua pelajar mengucap salam pada guru itu.
Irham rasa mahu pergi cari Armel.
"Aku nak keluar kejap," bisik Irham pada Firdaus.
"Pergi mana?"
"Kejap je." Laju saja Irham boloskan diri ikut pintu belakang tadi.
Di kaki lima, matanya melilau. Dia tak nampak kelibat Armel. Satu saja tempat yang dia terfikir mungkin gadis itu akan pergi waktu-waktu pembelajaran begini. Tandas.
"Takkan aku nak berdiri depan tandas perempuan?"
Tapi setibanya di tandas perempuan, ada dua pelajar perempuan keluar.
"Woi, kat dalam tandas ada orang tak?" tanya Irham.
"Tak ada."
Irham terus melangkah dan sampai di hujung blok, dia berhenti. Berdiri bercekak pinggang.
"Arghh!"
Tubuhnya tersentak selepas mendengar jeritan dari arah bangunan sana. Di situ hanya bangunan kecil sebagai stor barang sukan. Irham berlari ke sana.
Sampai saja, dia terkejut melihat Armel bergelut dengan Azlan.
Tidak. Bukan bergelut dengan Azlan. Tapi dengan dua kawan Azlan yang cuba meleraikan Armel dari Azlan yang sedang melutut.
Irham mendapatkan Armel. Dua kawan Azlan itu ditolak ke tepi.
"Bagi balik duit aku!" jerit Armel. Dia mencengkik batang leher lelaki itu sekuat hati dari belakang.
"Armel, lepaskan dia!" kata Irham. Dia pegang kedua tangan Armel dan cuba leraikan.
Suara Encik Fairuz yang mula kedengaran tidak dipeduli.
Sekejap saja, terlerai tapi Armel sempat mencengkam muka Azlan. Tergelincir dan menyebabkan cakaran kuku pada wajah itu.
Azlan menyeringai kesakitan dan menjerit kecil.
"Apa awak semua buat ni!" tengking Encik Fairuz.
Irham pandang Armel di sebelahnya. Masih terkejut dengan gadis itu yang bagai dirasuk tadi.
YOU ARE READING
[C] My Girl [ EBOOK ]
Teen FictionBenda wajib yang perlu Irham Zaqwan buat pada setiap hari ialah membuli. Buli seorang gadis tingkatan tiga Sekolah Tinggi Emerald, Armel Idriana. Kerana penampilan nerd Armel Idriana dan sikapnya yang bendul, dia bukan saja dibuli oleh Irham Zaqwan...