MG | 22

360 28 2
                                    

KAKI memijak satu persatu anak tangga turun ke tingkat bawah kemudian membawa haluan ke dapur. Bau roti bakar menusuk ke hidungnya.

Figura makciknya menjengah ruang mata. Wanita itu sedang meletak roti bakar di atas piring lalu melabuhkan diri pada kerusi.

"Eh Mel! Morning..." sapa Leela sebaik saja nampak Armel masuk ke dapur.

"Maksu masak nasi goreng. Nasi jiran bagi semalam ada banyak. Lauk pun maksu dah panaskan untuk makan tengahari. Hari ni maksu nak ke firma sekejap lepas tu uruskan apa yang patut pasal segala hak untuk Mel. Mel okay kan tinggal seorang ni?" tanya Leela.

Armel mengangguk.

"Maksu janji tak balik lewat. Dan buat masa ni... Kita tinggal sini dulu. Mel pun tak lama lagi nak percubaan PT3 kan? Habis tingkatan tiga, kita pindah. Harap masa tu dah dapat tahu hak penjagaan Mel."

Armel yang baru nak menyuap nasi goreng terhenti.

"Mel... Tak boleh duduk dengan maksu ke?" soal Armel.

"Maksu tak pasti. Sebab sesiapa je boleh buat permohonan untuk hak penjagaan ke atas Mel. Lagi pun maksu sibuk. Takut kalau makan minum Mel terabai. Melainkan Mel nak duduk dengan nenek. Nanti maksu boleh datang jenguk. Tengok la macam mana, okay?"

Armel tidak merespon apa-apa. Tak tahu nak rasa apa bila harus duduk dengan orang lain selepas ini. Kekok. Kalau dengan maksu atau nenek, mungkin dia tak ada masalah.

Jauh dalam hatinya rasa serba salah. Takut menyusahkan dan membebankan sesiapa.

"Bila Mel nak mula sekolah?" tanya Leela.

"Esok."

Leela mengangguk. Dia teringat sesuatu.

"Maksu nak tanya, kenapa hari yang maksu datang sekolah tempoh hari... Mel ada dalam bilik Pengetua? Dengan dua budak lelaki. Mel kena buli eh?"

Perlahan Armel menggeleng.

"Bagitahu maksu. Jangan sorok. Mel tak penat ke asyik kena buli?"

"Mel... Lawan diorang balik. Sebab Mel dah tak tahan," jawab Armel perlahan.

"Kalau la... Mel tak buat macam tu... Mesti ibu dengan ayah ada lagi, kan maksu?"

Leela tersentak. Dia menangkap setitis air jernih yang jatuh ke dalam pinggan nasi goreng Armel. Bibir gadis itu juga bergetar kerana menahan tangis dari terhambur.

Leela menggenggam tangan Armel.

"Maksu nak Mel tahu yang Mel tak salah pun tahu? Apa yang Mel buat, itu hak Mel untuk pertahankan diri. Pasal ibu dan ayah pula, semuanya dah ada dalam qada' dan qadar Allah. In sha Allah, semua ni mesti ada hikmah nanti. Maksu ada untuk teman Mel," pujuk Leela.

"Tapi Mel rindu ibu dengan ayah. Mel rindu..." Terhambur tangis Armel saat meluahkan apa yang masih terbuku di hatinya. Sakit sangat dalam dadanya kini.

Leela mendapatkan tubuh anak saudaranya itu dan dipeluk erat. Getaran suara tadi turut menyentuh rasa sayu di hatinya.


***


JARI Irham mengetuk meja dan termenung. Waktu-waktu sebelum rehat ini, semua guru ada mesyuarat jadi keadaan kelas agak riuh termasuk kawan-kawannya juga.

Irham bangun. "Ikut aku," arahnya dan berjalan keluar dari kelas ikut pintu belakang kelas.

Yang lain saling berpandangan dan turuti saja. Masing-masing bergegas bangun dan mengejar Irham. Tidak tahu ke mana hingga akhirnya sampai di kelas 3 Azreas.

Tanpa salam, Irham melangkah masuk dan serta-merta seluruh kelas yang hiruk-pikuk jadi senyap.

Irham menapak perlahan di lorong antara meja kumpulan tepi dengan meja tengah sampailah pada meja kosong di barisan kedua dari belakang. Meja itu penuh dengan contengan hinaan pada Armel.

Mata tajam Irham memandang ke depan kelas.

"Siapa yang conteng meja ni?" soal Irham

Tapi tiada siapa yang berani untuk menjawab. Irham pandang sekeliling sebelum akhirnya jatuh pada seorang pelajar lelaki yang dia kenal.

"Naufal," sebut Irham. Pelajar itu terus tegak badannya dan sedikit cemas.

Aniq dan Izz datang ke tempat Naufal dan paksa untuk berdiri sambil kolar bajunya dicekak.

"Fathia! Fathia yang conteng meja tu." Tangan Naufal naik menunding ke Fathia.

Irham mendekati Fathia yang langsung tidak mendongak. Irham menongkat kedua tangannya di atas meja Fathia.

"Kau ingat meja Armel tu, bapak kau yang beli kan ke? Aku nak kau tukar meja tu dengan meja kau," arah Irham keras.

Fathia masih tidak berganjak. Ego masih melawan kerana tidak mahu bertukar meja. Tiba-tiba mejanya dihentak kuat bersama sergahan.

"Kau pekak ke!"

Fathia pantas bergerak. Barang-barang yang ada di laci mejanya dikeluarkan dan letak atas meja kawannya di sebelah.

Mejanya ditolak keluar dan bawa ke tempat Armel. Selesai tukar, Fathia tolak meja yang penuh contengan itu ke tempat dia semula.

"Kalau aku tahu, kau tukar balik meja, siap!" Usai bicara, Irham berjalan keluar dari kelas 3 Azreas.

Yang lain ikut keluar namun separuh jalan, mereka berhenti.

"Am nak protect budak Mel tu pula ke?" soal Haqim. Sesungguhnya dia juga rasa bersalah selepas mengetahui situasi sebenar Armel.

Mereka tidak akan lari dari rasa serba salah pada gadis itu kerana membuli selama ini. Kata-kata Nazhan semalam beri tamparan hebat terutama kepada Irham.

[C] My Girl [ EBOOK ]Where stories live. Discover now