MG | 20

319 28 4
                                    

ARMEL berlari terus ke bilik hujung yang dikatakan oleh jururawat sewaktu Leela bertanya di kaunter kecemasan. Ada dua lelaki yang berpenampilan sebagai perawat dan beberapa anggota polis.

Langkah kaki berhenti di dekat mereka. Seketika, Leela juga sampai. Mengah juga kerana berlari mendapatkan Armel. Hingga tidak peduli kalau ada seorang pelajar lelaki yang katanya mahu ikut temankan Armel.

"Saya adik kepada Siti Ameerah," beritahu Leela.

"Saya Naziman, doktor unit kecemasan ni. Maaf..." Lelaki itu menggeleng.

Armel pandang pintu bilik kecemasan dan perlahan melangkah ke situ.

Irham yang berdiri di belakang Leela cuma pandang Armel. Dia mendengar butiran kejadian kemalangan dari seorang anggota polis di situ.

"Ini perlanggaran berturut-turut disebabkan brek mengejut. Ada empat mangsa maut dan tiga cedera. Semuanya mangsa yang menaiki kenderaan di depan dan belakang lori kontena. Kebetulan, kakak Cik Leela dan suaminya tak pakai tali pinggang keledar jadi berlaku hentakan yang kuat."

Cukup sampai situ, Irham berjalan masuk ke dalam bilik kecemasan. Dia pandang Armel yang sedang menangis dan baring di atas sekujur tubuh yang sudah kaku.

Tangisan itu mendayu-dayu buat Irham sebak. Dia pernah rasa sakit dan menangis kerana kehilangan.

"Ayah... Mel dah lawan. Ayah janji nak datang sekolah..." Tangisan itu semakin kuat.

"Kalau Mel tahu, Mel biar je diorang buli hari ni. Ibu dengan ayah tak payah datang sekolah. Bangun la ayah... Siapa nak jaga Mel."

Irham hanya mampu pandang. Kakinya bagai digam. Tak sanggup melangkah mendapatkan Armel. Dia serba salah.

Kalau lah... Kalau dia boleh undurkan masa dan beri amaran kepada Azlan agar tidak kacau Armel mungkin gadis itu tidak akan lalui kehilangan ini.

Tidak. Kalau bukan dengan Azlan, mungkin antara Armel dan pelajar lain yang juga membuli. Dia sepatutnya sedar lebih awal dan tak buli Armel langsung.

Armel kehilangan mak ayah dia sebab aku... bisik Irham dalam hati.

Nasi sudah jadi bubur. Tak ada apa lagi yang boleh dibuat.

"Betul kau jaga anak aku kat sekolah?"

"Betul."

Soalan itu... Terngiang-ngiang dalam kepalanya. Tangan mengepal penumbuk.

Meskipun tidak termeterai janji yang sah tapi mungkin petanda sebagai permintaan untuk jagakan Armel.

Betul... Saya akan jaga Armel. Di sekolah... Dan sampai bila-bila, monolog hati Irham.


***


PETANG ITU, Irham bergegas keluar dari biliknya dan turun ke tingkat bawah. Dia mahu ke rumah Armel untuk periksa jika gadis itu sudah pulang.

Tengahari tadi, dia pulang semula ke sekolah bersama Armel dan wanita yang dia tahu sebagai maksu Armel.

Armel cuma akan ambil barang dan balik ke rumah sementara dia habiskan waktu persekolahan dan kelas tambahan tadi.

Hampir di pintu rumah, terdengar suara menahannya. Langkah Irham terhenti.

"Am nak ke mana?" Encik Haidi menyoal.

"Keluar," jawab Irham sepatah.

"Hari ni kena panggil dengan Pengetua lagi? Sebab membuli?"

"Bukan papa kisah pun." Irham terus berjalan.

"Papa nak cakap sikit," ujar Encik Haidi.

"Am sibuk."

"Pasal arwah mama..."

Irham yang baru menyarung kasutnya tergamam. Kepala dipusing melihat lelaki yang sudah 40-an itu. Ibu tirinya juga ada duduk sekali.

"Duduk dulu," pinta Encik Haidi.

Irham batalkan niatnya dan perlahan melangkah masuk lalu duduk di sofa.

"Ibu mungkin dah cerita sedikit dekat Am tentang permintaan arwah mama dulu. Papa minta maaf sebab tak pernah cerita apa-apa. Tak tahu pula Am boleh fikir sampai macam tu sekali."

Irham cuma teliti mendengar tanpa pandang sesiapa.

"Semuanya permintaan mama termasuk untuk tak dedahkan sakit dia dekat Am dulu. Papa dengan ibu kahwin juga atas permintaan dia juga. Bukan sebab papa curang atau ibu Ziya rampas papa dari mama..."

"... Kalau Am rasa papa macam tak ambil peduli pasal mama sampai akhir nafas dia, Am silap. Papa orang paling sedih masa dapat tahu. Papa yang bawa mama ulang-alik ke hospital dan pujuk untuk buat juga kimoterapi walaupun peluang sembuh tu tipis." Suara Encik Haidi sudah bergetar bila dia teringat semula.

"Papa nak yang terbaik untuk dia tapi dalam masa yang sama papa cuba jauhkan diri juga sebab papa tak nak rasa terkesan sangat dengan kehilangan dia."

"Am... Kita semua rasa kehilangan tu. Bukan Am seorang je yang sedih. Papa sampai buat silap. Sibukkan diri untuk lupakan rasa sedih tu dan tak fikirkan Am. Papa serahkan semua dekat ibu Ziya. Papa ingat lama kelamaan nanti, Am akan terima juga ibu Ziya. Rupanya..."

Air mata Irham sudah bertakung.

Encik Haidi bangun untuk duduk di sebelah Irham.

"Papa harap Am maafkan papa dan terima ibu. Kita jadi satu keluarga macam yang arwah mama nak, okay?"

Irham terus melepaskan rasa sesak dalam dadanya. Terhambur air matanya dan terus memeluk papanya. Egonya pecah. Dia bagai dijentik sewaktu melihat Armel tadi yang hilang kedua orang tuanya.

Sementara dia? Masih ada dan diberi peluang. Dia leraikan pelukkan dan pandang ibu tirinya.

"Ibu... Maafkan Am." Irham bangun dan pergi pada wanita itu. Duduk di lantai dan meletakkan kepala di atas riba wanita itu dengan tangisan.

Puan Ziya mengusap kepala Irham.

"Am tak tahu kenapa, Am terlalu marahkan semua orang," kata Irham lagi.

"Tak apa. Ibu tak pernah marahkan Am. Ibu faham," ujar Puan Ziya. Dia sendiri juga baru sedar sebab Irham marahkannya.

Fikirnya cukup dengan berikan masa, Irham akan baik-baik saja. Ternyata hanya memburukkan keadaan.

"Janji dengan papa dan ibu yang Am takkan nakal lagi? And you will be a better person after this," pinta Puan Ziya dengan nada lembut.

Irham sedikit tergamam. Bukan dia tidak boleh buat tapi tentang Armel... Sepertinya sudah terlambat. Dia punca untuk semua luka dan duka.

Irham hanya mengangguk perlahan tanda berjanji.

[C] My Girl [ EBOOK ]Where stories live. Discover now