Signal Hati Part 33

385 13 0
                                    

BAB 33

"Sara, bangun,"

Pantas Qaisara menarik selimut sehingga menutup seluruh tubuhnya. Rasa penat badan masih belum hilang. Rasa macam baru sekejap tadi dia terlena, sekarang sudah ada suara sumbang yang mengejutkan dia dari tidur.

"Ya Allah! Boleh pula dia tarik selimut," rungut Naqib perlahan. Kerana kasihankan Qaisara, dia sanggup solat Subuh terlebih dahulu walaupun pada mulanya dia berniat mahu isterinya itu menunaikan solat berjemaah dengannya.

"Sara...bangun! Dah pukul 6.30 dah ni. Lewat solat Subuh nanti," kali ini dia menyentuh bahu Qaisara yang sedang tidur mengiring. Suaranya pula ditinggikan sedikit. Nampak gayanya jenuh la dia menggantikan jam loceng selepas ini. Selimut yang menutupi tubuh Qaisara turut sama ditarik.

"Ala ma...penat la! Bagi Sara sepuluh minit lagi. Lepas sepuluh minit Sara bangun! Janji!" Dalam keadaan mata terpejam boleh pula Qaisara angkat tangan seperti orang sedang berikrar. Kemudian menarik semula selimut yang sedikit terlondeh ke bawah. Ternyata telatah Qaisara mengundang senyum di bibir Naqib. Aduh! Sah! Qaisara masih bermimpi. Silap hari bulan isterinya langsung tidak teringat apa yang telah terjadi sebelum ini. Dari butir bicara Qaisara sebentar tadi jelas menunjukkan isterinya itu menyebut perkataan 'ma'.

"Sayang," Kali ini Naqib berbisik lembut ke telinga Qaisara. Nama panggilan isterinya turut ditukar. Entah mengapa, waktu ini dia sendiri seakan-akan ingin melihat sejauh mana mamai isterinya itu. Manalah tahu suatu hari nanti, perkara itu boleh dijadikan modal untuk dia bercerita dengan anak cucu nanti.

"Ma...sungguh ni ma. Sara penat sangat. Bagi Sara sepuluh minit lagi...tak! Lima minit je. Kalau Sara tak bangun juga, ma simbah Sara dengan air ek. Lima minit lagi ma,"

Kalau tidak memikirkan dia berada di rumah mentuanya, mahunya sahaja Naqib melepaskan tawa yang kuat. Ya Allah! Dalam mata yang terpejam rapat tu boleh lagi Qaisara tawar-menawar. Tapi satu hakikat yang tidak mampu dia nafikan, Qaisara sangat comel waktu ini! Oh! Boleh gugur jantung tiba-tiba!

"Ehem!" Naqib berdehem dengan kuat. Errmm...nampak gayanya, dia tidak boleh main-main lagi dalam keadaan sekarang. Jarum jam di dinding semakin bergerak ke depan, bukan ke belakang. Tidak fasal-fasal dia kena tanggung dosa akibat gagal mengejutkan isteri untuk bangun solat Subuh. Otak ligat memikirkan bagaimana caranya untuk dia memastikan Qaisara benar-benar terjaga. Angkat bawa masuk bilik air aci tak? Kalaulah bilik air ada dalam bilik tidur, dah lama dia buat. Tapi memandangkan bilik air berada di luar bilik, dekat dengan dapur, idea itu terus dibatalkan serta-merta. Tak payah nak tunjuk romantik sangat! Itu romantik tak bertempat namanya!

Naqib berjalan menuju ke sebelah kanan katil. Mengadap Qaisara yang sedang tidur mengiring. Setelah itu melabuhkan punggung di atas lantai sambil wajahnya disandarkan ke atas katil dekat dengan wajah isterinya. Ya! Wajah isteri tercinta. Oh! Sangat indah sekali perasaan itu. Dia tilik mata Qaisara yang masih tertutup. Dia perhatikan hidung Qaisara yang kecil dan mancung yang terletak elok. Dan bibir nipis itu membuatkan dia kadang-kadang tak mampu nak tahan nafsu sendiri. Ya Allah! Dia lalai lagi. Lima belas minit sebelum pukul tujuh pagi. Dah Subuh gajah dah ni!

"Sara, bangun," sekali lagi dia cuba kejutkan Qaisara. Perlahan sebelah tangannya diangkat dan mengelus perlahan pipi isterinya. Ya Allah. Perasaan yang sukar untuk dia gambarkan dengan kata-kata. Seperti ada kuasa sakti, elusan lembut itu ternyata mampu membuka mata Qaisara dengan tiba-tiba. Begitu luas dan mereka saling bertatapan buat seketika. Mata Qaisara berkelip-kelip menatap wajahnya yang sudah menguntum senyuman manis. Senyuman selamat pagi buat isteri tercinta.

"Assalamualaikum, selamat pagi. Bangun Subuh, sayang," sama seperti sentuhannya sebentar tadi, suaranya juga mampu memberikan impak yang sangat magis. Sepantas kilat Qaisara bangun. Duduk tegap berlunjur walaupun mata masih lagi menatap wajah Naqib.

SIGNAL HATI [ COMPLETED ]Where stories live. Discover now