BAB 49
"Bagus sangatlah bercakap macam tu dengan anak," Badri bersuara setelah melabuhkan punggung di sisi isteri yang sedang duduk bersila sambil melipat pakaian. Kupiah yang tersarung di kepala dicabut lalu diletakkan di atas meja kecil dihadapannya.
"Saya bukan apa...saya sekadar nak ingatkan dia. Dia tu kalau tak ada orang nak menegur, macam tu la perangai dia. Saya dah tahu sangat," balas Faizah sedikitpun tak angkat kepala pandang suaminya. Dia faham sangat, sejak petang tadi suaminya tahan hati nak marahkan dia. Sayang sangat dengan anak kesayangan dia tu!
"Menegur tu tak salah Zah...tapi cara awak tu yang salah. Macam tu ke nak menegur anak? Sinis...lepas tu hina anak sendiri. Awak jangan lupa Zah, dia tu anak kandung kita tau, lahir dari rahim awak. Kalau awak tu duk hina anak sendiri, apa beza awak dengan orang kampung?" semakin geram pula Badri dengan perangai isteri dia. Kalau dia tahu isteri dia nak 'sound' Qaisara sampai macam tu, memang dia langsung tak bagi peluang isterinya itu bercakap dengan anak perempuannya petang tadi.
"Mana ada saya hina! Abang ni...kan saya dah kata, saya nak nasihatkan dia. Saya tak nak jadi apa-apa dengan rumah-tangga anak kesayangan awak tu. Abang bukan tak nampak, sebelum kahwin ke, lepas kahwin ke, sekarang dah kahwin kali kedua, macam tu juga perangai dia. Masih tak nak berubah!"
"Mana awak tahu anak awak tu tak berubah? Sejak dia kahwin, baru hari tu dia balik. Itupun dia tak tidur kat rumah kita sebab mulut awak tu. Lagipun saya tengok Naqib macam bahagia saja kahwin dengan Sara. Tak nampak pun dia ada masalah dengan Sara. Adik awak, Fadilah tu pun. Ada ke dia mengadu sesuatu kat awak pasal Sara? Pasal perangai buruk Sara? Tak adakan. Malah dia sini terangkan pada awak apa sebenarnya yang jadi kat pasar hari tu," Badri beristighfar perlahan dalam hati. Nak melayan perangai isteri dia yang satu ini buat dia sering terduga. Kadang-kadang naik juga suara kalau tak tahan sangat. Tapi kalau dah itu isterinya yang dia kahwin sejak tiga puluh dua tahun yang lalu, memang dia dah faham sangat dengan sikap keras kepala isterinya itu.
Faizah diam. Menahan bengkak di hati mendengar bebelan suaminya. Apa saja yang dia buat kalau berkaitan dengan Qaisara mesti ada yang tak kena. Suaminya itu sejak kecil suka sebelahkan Qaisara. Selalu sangat menangkan Qaisara dalam segala hal. Sebab itulah degil Qaisara tu menjadi-jadi bila dah dewasa.
"Awak kena ingat Zah...dia tu anak kita. Seburuk-buruk dia, macam mana degilpun dia, dia tetap anak kita. Awak nak ke kalau satu hari nanti dia dah tak nak balik ke sini lagi? Awak dah bersedia ke untuk kehilangan dia? Itu kalau dia sekadar merajuk dan marahkan awak. Tapi kalau tiba-tiba jadi sesuatu pada dia? Awak nak buat apa? Awak tu ibu, doa awak adalah doa yang paling mustajab sekali dalam dunia ni. Kalau awak sebagai ibu tak doa baik-baik untuk anak awak, awak jangan terkejut kalau hidup anak awak tu tak bahagia,"
Serta-merta Faizah angkat kepala pandang suaminya. Terkesan pula dengan kata-kata yang baru ditujukan kepadanya.
"Awak nak tipu siapa sebenarnya Zah? Awak asyik cakap dia anak kesayangan saya. Anak yang saya manjakan sejak kecil. Tapi hakikatnya, dia anak kesayangan awak. Awak yang manjakan dia sejak kecil. Marah-marah awak pada dia, awak pukul dia sekalipun, tapi bila tiba waktu makan, makanan kegeramaran anak awak yang tu jugalah yang ada atas meja makan. Dalam malas nak melayan kerenah dan kemahuan Qaisara, awak tetap juga buat apa yang dia nak," sambung Badri. Menarik nafas dalam-dalam dan dihembus perlahan. Dia faham dan dia tahu sangat. Faizah sebenarnya rindu sangat dengan Qaisara, tetapi kerana ego seorang ibu, kerana kecewa dengan perangai Qaisara, isterinya itu merajuk sampai sekarang. Dalam hal ini, dia sendiripun tak mengerti. Kenapa kali ni susah sangat Faizah nak hilangkah amarahnya? Nak hentikan rajuknya pada anak sendiri? Ya! Dia tahu, hal 'tangkap khalwat' lepas tu 'kahwin paksa', kemudian 'bercerai' pula benar-benar buat isterinya malu dengan orang kampung. Orang kampung pula tak henti-henti nak mengata yang buruk-buruk pasal Qaisara. Ingatkan lepas Qaisara kahwin dengan Naqib, isu tersebut akan hilang, tapi semakin rancak pula mereka mengumpat. Allah! Ini semua memang ujian buat mereka sekeluarga.
![](https://img.wattpad.com/cover/50935854-288-k527829.jpg)
YOU ARE READING
SIGNAL HATI [ COMPLETED ]
Narrativa generale"Alamak! Signal hati dah nak kena servis gamaknya!" Pantang berjumpa pasti Qaisara dan Naqib akan mencetuskan perang mulut yang tiada kesudahan. "Kau ingat nikah kahwin ni macam gula-gula ke? Boleh rasa-rasa. Eh, kejap! Yang kau tiba-tiba tanya aku...