Signal Hati Part 7

2.9K 119 0
                                    

BAB 7

"Hai Cik Zah...pagi-pagi dah mengeluh," Badri menegur isterinya. Lengan baju kemeja dilipat sebelum mencapai minuman yang terhidang di atas meja. Bersarapan pagi menjadi rutin harian sebelum dia ke tempat kerja.

"Anak kesayangan abang tu la. Apa nak jadi dengan budak tu saya sendiripun tak tahulah bang. Perangai dia Ya Allah tak pernah nak berubah. Ingatkan dah besar, dah dewasa berubahlah ikut usia, ini tidak, sama juga saya tengok. Makin menjadi-jadi adalah. Kalau anak perempuan orang lain, yang seusia dia, dah pandai hidup sendiri. Ada yang dah berkahwin, beranak-pinak dahpun. Tapi dia tu, tak habis-habis nak duduk bawah ketiak kita. Abang nasihatkanlah dia sikit. Kalau saya bersuara, mulalah dia nak perang dingin dengan saya," rungut Faizah panjang lebar. Resah memikirkan Qaisara. Anak perempuan sulong yang paling degil dan paling susah untuk dibentuk.

"Dah awakpun, kalau bercakap dengan anak-anak tak pernah nak berlembut. Cuba berlembut sikit. Pujuk elok-elok. Anak perempuan kita yang seorang tu dah besar Zah, dah dewasa. Cara didikan seharusnya berbeza. Awak tak boleh nak marah-marah, nak pukul dia macam dia budak-budak dulu. Dulu boleh la. Sekarang ni, kalau awak buat benda yang sama, memang memberontak la budak tu."

"Errmm...macamlah abang baru kenal dengan anak kesayangan abang tu hari ni. Makin berlembut makin naik minyak la dia. Makin mengada-ngada. Abang tengoklah. Waktu macam nipun tergolek lagi atas katil tu. Dah berapa kali saya larang, jangan tidur lepas Subuh, nanti rezeki tak masuk. Huh...bukannnya dia nak dengar. Makin dia buat adalah!" Faizah merengus perlahan. Terus-terang dia memang tidak boleh melayan anak-anaknya sama seperti suaminya. Suaminya seorang ayah yang sentiasa berlembut dengan anak-anak. Jarang sekali mendengar suaminya itu meninggikan suara apatah lagi memukul, jauh sekali. Tetapi yang hairannya, kata-kata suaminya selalunya begitu memberi kesan kepada anak-anaknya. Dia mengaku, dia seorang ibu yang agak garang, tegas dan kadang-kadang cepat sangat melenting kalau anak-anaknya melakukan sesuatu yang tidak kena pada pandangan matanya. Namun, itu tidak bermakna dia tidak sayangkan anak-anaknya. Anak-anak adalah nyawanya dan suami adalah syurganya. Sebab itulah dia akan terus bertahan walaupun perangai anak-anak kadang-kala menggoyahkan kewibawaannya sebagai seorang ibu.

"Kejap lagi kejutkan dia. Semalam dia cakap dia nak ke bandar tengah hari nanti. Ada temuduga sebagai kerani dekat kilang. Awak jangan lupa pula. Semalam dia dah pesan pada saya," Badri menghabiskan suapan nasi goreng terakhir sebelum menghulurkan tangan kanannya kepada Faizah. Faizah menyambut huluran tersebut dan dicium lembut tangan suaminya. Dia turut bangun dan mengikut langkah Badri.

"Awak jangan lupa pulak," pesan suaminya sekali lagi sambil menyarungkan kasut ke kaki.

"Ya. Saya ingat. Abang tu hati-hati bawa kereta. Jangan lupa beli barang yang saya pesan semalam,"

"Insya-Allah, Assalamualaikum," Badri memberi salam sebelum melangkah dan masuk ke dalam perut kereta yang terparkir di halaman rumah. Faizah sekadar memerhati. Mengangkat tangan setelah kereta suaminya bergerak.

Belum sempat dia mengunci pintu depan, tiba-tiba dia terdengar enjin motosikal memasuki perkarangan rumah. Suara orang memberi salam meyakinkan dia siapa yang bertandang.

"Waalaikummussalam. Hah Naqib. Pagi-pagi lagi dah muncul depan rumah Mak Long ni kenapa? Ada apa-apa ke?" soal Faizah kembali melangkah ke beranda. Kelihatan Naqib mematikan enjin dan turun dari motosikal. Kakinya melangkah menaiki tangga untuk naik ke rumah walaupun tanpa dijemput. Sudah terbiasa sebenarnya.

"Petang nanti, Naqib dah nak kena pergi KL Mak Long, itu yang datang rumah Mak Long ni. Sara mana?" soalan yang meniti di bibir Naqib membuatkan Faizah menguntum senyum. Lucu sebenarnya. Mereka berdua ni pantang berjumpa, pasti akan bertekak. Namun dia perhatikan sejak dulu, Naqib sentiasa mahu dekat dengan Qaisara walaupun anak perempuannya itu seakan-akan cukup membenci anak buahnya yang seorang ini.

SIGNAL HATI [ COMPLETED ]Where stories live. Discover now