Signal Hati Part 55

406 11 0
                                    

BAB 55

"Ngah memang dah tahu kan?" Faizah terlebih dahulu menyoal. Dah lama juga dia tak duduk berbual berdua-duaan begini dengan adik perempuannya itu.

"Tahu apa pula ni Long?"

"Naqib sebenarnya kahwin dengan Sara bukan terpaksa tapi Naqib memang dah lama sayangkan Sara," Faizah inginkan kepastian. Dia tahu suami dia takkan berbohong, tapi dia sedikit kecewa bila semua orang seakan-akan sembunyikan perkara tersebut daripada pengetahuan dia. Buat dia salah anggap pada anak sendiri.

"Dah tentulah Ngah tahu, sebab Naqib minta kebenaran Ngah dulu. Beritahu Ngah perasaan sebenar dia pada Sara,"

"Kenapa Ngah tak beritahu Long?"

"Ngah ingatkan Long dah tahu. Sebab Naqib ada beritahu Ngah, Abang Long tahu pasal benda ni," Fadilah terpaksa juga duduk walaupun niatnya untuk singgah sekejap saja. Nak minta sedikit daun pandan untuk buat juadah berbuka.

"Ngah terus setuju bila Naqib nak kahwin dengan Sara?" Faizah tahu dan Faizah kenal adik dia. Mana mungkin adik dia akan berkenan dengan Qaisara. Dia ibu, dan sebagai seorang ibu dia faham isi hati adiknya itu. Tentu Fadilah mahu bermenantukan gadis hebat sama hebat dengan anak lelakinya. Susah nak percaya Fadilah akan berkenan dengan anak saudara dia yang semenangnya dia dah maklum dengan segala kekurangan yang ada pada Qaisara.

"Long...menipu sangat kalau Ngah cakap yang Ngah terus setuju bila dapat tahu Naqib nak kahwin dengan Sara. Sebab dalam kepala Ngah ni tak pernah terlintas pun yang anak Ngah akan kahwin dengan anak Long. Naqib pula tu. Dia anak sulong Ngah. Ngah memang simpan angan-angan yang satu hari nanti Naqib akan bawa balik menantu yang...yang..."

"Yang sama hebat macam anak Ngah? Yang cantik, yang berbudi bahasa, sopan-santun. Yang pasti seorang gadis yang semenangnya layak dengan anak Ngah kan?" Faizah sambung sebelum sempat Fadilah habiskan bicaranya. Tiba-tiba dia sebak. Bukan terasa hati, tapi pilu seorang ibu. Dia tahu Qaisara banyak kurangnya. Dia sebagai ibupun kadang-kadang payah nak terima sikap dan perangai tidak semenggah Qaisara, apatah lagi orang luar.

"Long...itu impian semua ibu-ibu yang ada dalam dunia ni. Mahukan yang terbaik buat anak-anak. Tapi Long kena tahu, Long kena faham, soal jodoh ni bukan kerja kita. Kalau Tuhan dah tetapkan jodoh Naqib dengan Sara, Ngah nak kata apa. Long sendiri pun tak boleh nak buat apa-apa. Ya! Ngah ngaku, mula-mula Ngah susah nak terima. Ngah cuba pujuk Naqib supaya lupakan hasrat dia tu. Tapi Naqib tak nak. Naqib kata dia dah lama sayangkan Qaisara, dah lama mahukan Sara tu jadi isteri dia. Sebagai seorang ibu, memang Ngah kecewa, tapi Ngah tak boleh terus kecewa dan cuba menolak ketentukan Allah. Itu kata orang menolak Qada dan Qadar Tuhan. Berdosa Long. Jadi Ngah cuba terima Sara. Cuba ikhlaskan hati Ngah untuk terima Qaisara. Lagipun Naqib tu anak Ngah, Sara tu pula anak buah Ngah. Takkan Ngah sanggup nak tengok mereka tak hidup bahagia sebab tak dapat restu Ngah. Ngah sayangkan mereka. Long. Buruk-buruk Sara dia tetap anak buah Ngah. Setakat hari ni, Alhamdulillah, Ngah perhatikan mereka bahagia je, dan itu dah cukup sangat bagi Ngah,"

"Ngah tak malu dengan orang kampung?" Faizah terus mengasak dengan soalan. Walaupun saat itu dia benar-benar terkesan dengan apa yang terbit dari bibir adiknya.

"Malu apa Long? Kalau asyik nak fikir apa yang mereka kata, apa yang mereka duk sibukkan sangat, tak ke mana kita ni Long. Mereka semua tu memang suka kalau kita ni berpecah-belah. Bergaduh. Manusia ni pelik. Benda yang buruk, benda yang tak baik, benda itulah yang mereka suka. Suka sangat tengok manusia lain berpecah belah dan hidup dalam kesusahan. Bukan nak menolong, makin menambah beban adalah. Ngah sejak dulu lagi malas nak layan sangat apa yang mereka duk umpat keji Qaisara. Sebab Ngah percaya, Ngah kenal Sara. Ya! Kadang-kadang Ngah geram juga dengan dia, yang tak suka bergaul dengan orang tu, kasar, keras kepala. Tapi bila kes kejadian malam tu, Ngah tetap tak percaya Sara sanggup buat macam tu. Long sendiri pun tahu dia macam mana kan? Dia memang rapat dengan Anas, tapi Ngah perhatikan sepanjang dia berkawan dengan Anas tu mereka tak pernah buat perkara terkutuk. Paling tidakpun kita tengok dia duduk berdua kat tepi sungai sana. Memancing. Tak ada buat benda pelik-pelik," Fadilah luahkan apa yang terbuku di hati. Benarlah kata suaminya, andai dia ikhlas menerima segala ketentuan Tuhan, Insya-Allah hati dia akan tenang. Bahagia anak-anak, bahagia jugalah dia. Dalam hal ini, dia mengaku, suami dia yang banyak memberikan nasihat. Sekarang ni dah jelas, bila dia lihat Naqib dan Qaisara bahagia, gembira, dadanya turut sama terasa lapang dan bersyukur.

SIGNAL HATI [ COMPLETED ]Where stories live. Discover now