Signal Hati Part 10

4.6K 155 30
                                    

BAB 10

Enjin kereta dimatikan. Naqib kalut keluar dari perut kereta dan berlari memanjat tangga rumah Qaisara. Kebetulan pada waktu itu pintu rumah Qaisara sudahpun terbuka luas.

"Naqib? Bila Naqib balik?" soal Badri sedikit terkejut apabila bertembung dengan anak saudaranya di muka pintu.

"Sara mana Pak Long? Sara? Mana Sara?" suara Naqib kedengaran cemas. Soalan bapa saudaranya hanya dibiarkan tanpa jawapan. Perasaanya waktu itu benar-benar tidak menentu. Dia berharap sangat tidak ada perkara yang buruk terjadi kepada Qaisara. Tangisan Qaisara petang tadi masih jelas kedengaran walaupun tika itu Qaisara sedang memarahinya.

Badri tidak menjawab, sebaliknya dia menoleh memandang isterinya yang sedang berdiri di belakang dengan wajah yang sugul. Kemudian, kembali menatap wajah Naqib sebelum melepaskan keluhan berat.

"Sara ada kat bilik dia kan?" Naqib sudah melangkah menuju ke bilik Qaisara. Waktu itu dia sudah tidak peduli tanggapan ibu dan bapa saudaranya di atas perlakuannya yang sedikit tidak sopan. Dia hanya mahu pastikan Qaisara berada dalam keadaan baik-baik. Itu sahaja!

"Sara tak ada dalam bilik dia," tutur Badri perlahan. Langkah Naqib terhenti. Mencari wajah ibu saudaranya kerana inginkan kepastian. Namun wajah sugul ibu saudaranya itu langsung tidak memberikan jawapan yang pasti malah semakin menambahkan rasa gusar di dada.

"Sara pergi mana malam-malam macam ni?" suara Naqib seakan-akan sudah tersekat di kerongkong. Mula memikirkan perkara yang bukan-bukan.

"Petang tadi...petang tadi dia gaduh dengan Mak Long. Dia merajuk, katanya nak keluar dari rumah ni. Mak Long ingat dia saja-saja cakap, sebab dia keluar rumah sehelai sepinggang, tapi sampai sekarang dia tak balik-balik," Faizah mula menangis. Perasaan risau yang dia rasakan saat itu hanya Tuhan sahaja yang tahu. Naluri keibuannya pula seakan-akan dapat merasakan sesuatu yang tidak baik bakal berlaku. Ya Allah, Kau lindungilah anak aku!

Naqib kelu. Otaknya seakan-akan begitu perlahan untuk mencernakan apa yang baru menyapa telinganya. Sara lari dari rumah?

"Telefon...Mak Long tak cuba telefon Sara?"

"Dah banyak kali Pak Long cuba telefon dia Naqib. Tapi tak dapat," Badri menjawab dalam nada kecewa. Kali ini dia benar-benar risau akan keselamatan Qaisara. Ini bukan perlakuan sebenar Qaisara. Selama ini, sedegil manapun anak gadisnya itu, merajuk macam mana sekalipun Qaisara, anaknya itu tidak pernah sesekali meninggalkan rumah. Paling tidak, Qaisara akan mengurungkan dirinya di dalam bilik tanpa makan atau minum.

Naqib meraup wajahnya. Cuba bertenang buat seketika. Jam di tangan kirinya sudah menunjukkan pukul sembilan malam. Kalau Qaisara tidak berniat dengan apa yang dikatakannya, seharusnya gadis itu sudah berada di rumah pada waktu-waktu begini.

"Anas? Pak Long dan Mak Long ada tanya Anas. Mungkin dia tahu di mana Sara,"

"Anas pun tak tahu Naqib. Awal-awal lagi Pak Long telefon Anas. Sekarang nipun Anas sedang mencari Sara. Ini Pak Long pun nak keluar cari Sara. Pak Long rasa dia masih ada dalam kampung ni. Pak Long kenal sangat dengan Sara tu, rajuk dia tak lama. Dia marah sekejap saja," Badri cuba menyedapkan perasaan sendiri. Dalam hati, tidak putus-putus berdoa agar anak perempuannya selamat.

"Naqib ikut Pak Long?" tanya Naqib, terus melangkah semula menuju ke pintu. Namun belum sempat kakinya melangkah keluar, dia seakan-akan terdengar suara riuh-rendah datang dari luar rumah.

"Assalamuaikum," suara garau memberi salam mula kedengaran. Tanpa menunggu lebih lama Naqib bergegas keluar. Begitu juga dengan Badri dan Faizah. Tetapi, apa yang terpampang di depan mata mereka tika itu, menyebabkan masing-masing terdiam seribu bahasa.

SIGNAL HATI [ COMPLETED ]Where stories live. Discover now