Signal Hati Part 3

4.3K 193 9
                                    

BAB 3

Naqib mematikan enjin motosikal. Pandangan dilontarkan ke arah pasangan yang sedang duduk di tepi sungai sambil memancing. Tanpa sedar, dia menguntum senyum tipis. Senyuman yang dia sendiri tidak pasti untuk apa. Melihat keadaan itu, dia seperti kembali semula ke zaman kanak-kanak. Zaman di mana dia sentiasa ada bersama Qaisara walaupun mereka sering sahaja bergaduh. Kadang-kadang dia sendiri tidak tahu apa puncanya dan di mana silapnya. Apa saja yang Qaisara lakukan seperti tidak kena pada pandangan matanya. Beberapa kali juga Qaisara menangis disebabkan dia. Tiba-tiba sahaja zaman itu menerobos semula ke dalam kotak memorinya.

"Weh! Kau balik la. Kau perempuan, mana boleh main dengan budak lelaki," dia menolak bahu Qaisara dengan kasar. Qaisara memang muda setahun darinya, namun waktu itu susuk tubuh Qaisara lebih besar dan lebih tinggi sedikit daripadanya.

"Kenapa tak boleh? Akupun pandai jugalah berenang," Qaisara mendabik dada. Cuba menanggalkan baju yang dipakai semata-mata mahu sama-sama terjun ke dalam sungai.

"Eh...dia ni degil la. Orang kata tak boleh. Tak boleh la. Kami semua ni lelaki. Kau tu perempuan. Malu la budak perempuan kawan dengan budak lelaki," pantas dia memegang tangan Qaisara, menghalang sepupunya itu daripada membuka baju di khalayak ramai. Waktu itu dia seakan-akan pelindung walaupun dia sendiri sebenarnya langsung tidak mengerti kenapa dia berbuat demikian. Bagi dia, dia tidak suka bila kawan-kawannya menganggap Qaisara sama seperti budak lelaki lain. Bukan ke budak perempuan kena main pondok-pondok? Duduk bawah rumah, main masak-masak. Kahwin olok-olok. Lepas tu berkepit dengan anak patung dua puluh empat jam. Semua budak perempuan yang dia kenal sukakan semua itu. Cuma Qaisara saja yang pelik. Suka sangat ikut dia ke mana sahaja dia pergi. Kalau dia pergi memancing Qaisara turut serta. Kalau dia mandi sungai, Qaisara yang terlebih dahulu terjun sebelum dia sempat menanggalkan baju lagi. Dan bila mereka menunggang basikal keliling kampung, Qaisara pasti terselit sama dalam kumpulannya.

"Eeii...tepilah. Aku nak mandi ni," giliran Qaisara pula menolak tubuhnya kasar. Mula melangkah semula menghampiri tebing sungai.

"Baliklah la Sara. Nanti Abang Syam marah. Dia tak suka kau kawan dengan kita orang la," kali ini tangan Qaisara ditarik kuat sehingga Qaisara terdorong ke belakang. Mata Qaisara sudah merah. Bila-bila masa saja Qaisara akan menangis. Dia pula, dia langsung tidak peduli. Dia sama seperti Abang Syam. Dia memang tidak suka Qaisara bergaul dengan budak-budak lelaki. Dia benci setiap kali melihat Qaisara begitu rapat dengan kawan-kawannya.

"Aku tak kira, aku nak mandi juga," seperti selalu, Qaisara tidak pernah mendengar cakapnya. Terus menyambung niatnya untuk terjun ke dalam sungai. Tanpa dia sedar, dia sudah menghalang perjalanan Qaisara dan tangannya dengan kasar menolak Qaisara sehingga gadis itu jatuh terduduk di atas tanah. Suara tangisan Qaisara mula kedengaran.

"Weh! Naqib. Kau ni...kenapa kau tolak Sara,"Anas muncul tiba-tiba. Terus mendapatkan Qaisara.

"Dia tu degil sangat. Tak padan dengan perempuan. Suka berkawan dengan budak lelaki. Eiii..tak tahu malu,"

"Biarlah kalau dia nak kawan dengan kita. Tak salahpun," Anas terus membela. Cuba membantu Qaisara bangun.

"Nanti abang Syam marah. Abang Syam marah aku. Bukan marah kau. Abang Syam dah pesan kat aku, tak bagi dia kawan dengan kita semua. Dia perempuan la, budak perempuan mana boleh main sama-sama dengan budak lelaki," dia tidak puas hati. Setiap kali bergaduh dengan Qaisara, Anas pasti akan muncul membantu. Selalu sangat masuk campur urusan dia dengan sepupunya.

"Bolehlah. Siapa cakap tak boleh? Aku bukan nak berkawan dengan kau. Aku nak berkawan dengan Anas. Kan Anas. Kita kawan kan?" tangisan Qaisara mula reda. Terus tegak berdiri dan kembali menyinga.

SIGNAL HATI [ COMPLETED ]Where stories live. Discover now