RASH terlelap di atas kerusi sementara menunggu khabar dari doktor. Dia terjaga apabila telinganya menangkap bunyi mesej masuk bertalu-talu. Mata digosok beberapa kali, kemudian tangan diseluk ke dalam poket. Telefon pintar dicapai lalu ikon hijau ditekan.
Mesej dari Group anak cucu Haji Osman!" Terima kasih semua yang belanja Ina. Terima kasih atuk, pak long, mak su, pak su dan semua."
Satu lagi mesej dari Ina masuk. Gambar! Gambar mereka semua sedang ketawa riang menyambut kejayaan Ina bertalu-talu masuk dalam group whatsapp Anak Cucu Haji Osman.
Rash jambak rambut ke belakang. Telefon di tangan Rash genggam sehingga timbul urat-urat tangan Rash dek genggamanya yang terlalu kuat. Laju saja jari jemarinya menari di atas skrin.
"Esha tengah bertarung nyawa dekat hospital, kau orang semua boleh berseronok sakan?”
“ Hina sangat ke Esha tu?”
“ Takkan tak ada sikit pun rasa simpati dekat Esha ?”
Pak long : “ Esok pak long bawa Ina pergi beli telefon baru ok.”
“ Telefon Ina dah lama, kan ?”Rash bangun dari duduk. Telefon dia baling ke dinding. Sungguh kejam mereka semua. Mama dengan papa pun sama je. Hanya kerana Esha tidak sebijak Ina, mereka sanggup layan Esha sebegitu, walaupun darah daging sendiri.
Perasaan amarah menguasai diri. Rash rasa lemas. Dia perlukan udara segar untuk kurangkan rasa serabut dalam kepalanya. Langkah kaki terus diatur ke pintu utama hospital.
Hampir setengah jam Rash bertapa di taman Panorama. Jarak antara taman Panorama dengan hospital ambil masa dalam 15 minit. Sengaja Rash pilih untuk ambil udara di taman Panorama, kerana di sana suasananya lebih tenang dan tak ramai orang. Matanya ralit melihat kanak-kanak sedang bermain. Fikirannya yang serabut, kini sudah terasa lebih tenang. Dia cuba untuk bersikap rasional, namun tidak boleh. Hatinya masih sakit setiap kali teringat semua ini.
Badan disandar pada bangku kayu. Satu keluhan berat dilepaskan. Kepala di dongak pandang langit biru yang beransur-ansur bertukar mendung. Angin petang begitu galak menampar wajahnya. Rash pejam mata. Erat, menikmati angin petang itu dengan tenang, sebelum telefon bimbitnya menjerit minta diangkat.
Tangan diseluk dalam poket, lalu ikon hijau ditekan.
“ Hello. Ya, ada apa doktor ?”
“ Encik Rash dekat mana ?” tanya doktor.
“ Saya ada dekat taman Panorama. Ambil angin segar sekejap. Esha dah sedar ke doktor ?”
“ Keadaan Esha makin kritikal”
Cukup hanya dengan satu ayat. Rash rasa dunianya seperti berhenti berputar. Esha kritikal? Dia tak salah dengar, kan ?
“ Hayatnya Cuma 50/50. Saya nak awak kumpulkan semua saudara sebelum terlambat.”
“ Allahuakhbar”
Rash raup muka. Lutut rasa longlai. Perlahan-lahan Rash jatuh terduduk. Tangisannya mula berlagu. Makin lama makin kuat, sehingga terhijut-hinjut badannya. Sungguh Rash tak sanggup kehilangan Esha.
Tangan di angkat ke langit, berdoa kepada Tuhan yang satu. “ Ya Allah, aku merayu padamu. Tolong selamatkan Syarifah Nadratul Daniesha. Jika rasa sakit Esha boleh dipindahkan kepadaku, aku sanggup untuk terima, Ya Allah.” Air mata yang galak mengalir sejak dari tadi dibiarkan saja.
“ Saya nak awak kumpulkan semua saudara sebelum terlambat.” Sebaris ayat akhir doktor kembali terngiang di kepala. Cepat-cepat Rash buka aplikasi whatsapp, lalu group anak cucu Haji Osman dia buka.
Jari jemari runcingnya mula menaip sesuatu
“ Doktor bagitahu Rash keadaan Esha makin kritikal.”
“ Nyawa Esha sekarang Cuma 50/50”
“ Doktor minta Rash kumpulkan semua ahli keluarga.”
“ Tolonglah datang, Rash merayu ..... sekurangnya, untuk kali ini sahaja."
“ Tolong .... datang hospital sekarang.”
Satu minit
Dua minit
Sehingga .....
Dua puluh minit sudah berlalu. Tapi, tiada seorang pun yang muncul. Semua ‘ seen’ sahaja.
Rash menjerit sambil tangannya menarik rambut. Sesaat kemudian dia mengundur ke belakang. Langkahnya longlai. Setapak – setapak dia undur ke belakang sehingga badan terlanggar pokok. Perlahan-lahan dia jatuh melurut. Rash menangis semahunya. Saat ini, sisi lemah seorang Arash Zuhairi tidak dapat dibendung lagi. Dia memang betul-betul lemah saat ini.
Tiba-tiba ....
Bahu Rash disentuh seseorang dari belakang. Dia angkat wajahnya sedikit, cukup sekadar untuk dia pandang siapa yang sentuh dia tadi.
“ Encik ok ?” tanya seorang lelaki yang tidak dikenali.
“ Saya ok.” Jawab Rash. “ Maafkan saya.” Terus Rash berdiri dan tinggalkan lelaki asing itu yang masih terpingga-pinga.
Jam di tangan dipandang sekilas. Dah jam 6 petang. Cepat-cepat Rash meluru ke arah kereta yang diparkir di seberang jalan. Satu jam sudah berlalu sejak doktor telefon tadi.
Hati Rash tidak tenteram. Macam mana dia boleh layan perasaan sedih sampai satu jam. Macam mana dengan keadaan Esha sekarang ? Ya Allah, kalau apa-apa yang jadi dekat Esha, Rash memang tak akan maafkan dirinya.
Kereta mula membelah jalan raya. Sekarang sudah masuk peak hour.
Jalan memang jem. Perjalanan yang sepatutnya 15 minit, boleh jadi satu jam. Rash akhirnya, guna jalan pintas. Dia bagi signal ke kiri dan mula masuk ke lebuhraya. Fikirannya bercelaru. Dia tak boleh fokus memandu. Sekejap, sekejap dia tengok jam di tangan. Masa kian suntuk.Tiba – tiba telefon Rash berdering. Tangan diseluk dalam poket lalu telefon jenama Samsung itu dikeluarkan dari poket kiri. Rash pandang sekilas skrin telefon, cukup sekadar dia baca nama yang tertera di skrin telefon.
Doktor!
Baru saja dia mahu jawab panggilan dari doktor, tanpa sengaja telefonnya terjatuh. Rash tunduk badan sedikit untuk ambil semula telefon yang jatuh. Tangan kirinya masih cuba mengagau mencari telefon yang jatuh, tapi tak berjaya. Tangan kanannya pula pegang streng kereta. Akhirnya, Rash terpaksa tunduk kepalanya ke bawah untuk melihat di mana telefon dia jatuh tadi.
“ Jumpa pun!”
Belum sempat tangan kirinya mahu capai telefon, tiba-tiba sebuah lori yang lalu bertentangan arah merempuh kereta Rash. Kuat bunyinya. Kereta berpusing-pusing, sebelum tercampak ke bahu jalan. Rash tercampak keluar. Darah pekat mula mengalir dari kepalanya. Tulang – belulangnya terasa seperti sedang patah satu-satu.
Pandangan mata berbalam-balam. Rash nampak wajah Esha yang tersenyum manis ke arahnya sambil menghulurkan tangan kepada Rash. Rash turut senyum bila melihat senyuman Esha. Bayangan Esha mula hilang perlahan – lahan.
Dengan segala kudrat yang ada, Rash cuba untuk buka mata. Tapi, dia tidak mampu. Dia rasa penat sangat. Dia tak boleh mati sekarang. Dia kena kuat. Dia kena pergi ke hospital teman Esha. Kalau dia mati sekarang, siapa yang akan lindungi Esha? Bangun Rash, bangun!
Kepalanya sakit mencucuk-cucuk, tapi dia tak mampu untuk buat apa-apa melainkan terbaring kaku atas jalan raya. Sayup -sayup saja dia dengar suara manusia. Setelah itu, dunianya serta merta gelap.
Gelap tanpa ada sejalur cahaya!