Masa sekarang...
9 JUN 2018. Jam 10 malam. Bunyi tangisan bayi mula kedengaran. Beberapa orang doktor menyambut seorang bayi lelaki.
Air mata Rash menitis, laju. Sebak, gembira bercampur semuanya. Bayi kecil itu, anak pengikat kasih antaranya dan Esha.
"Alhamduillah, terima kasih Ya Allah," ucap Rash bersama linangan air mata. Dia sujud syukur di situ juga, tanda bersyukur dan berterima kasih kepada Tuhan.
"You did it, sayang. Terima kasih." Perlahan suara Rash berbisik. Dahi Esha dia kucup lama. Kemudian, bayi yang ada di atas Esha, Rash ambil untuk diazankan.
Wajah si kecil dipandang dengan penuh kasih. Alis matanya lentik, macam Esha. Bibirnya merah bak delima. Pipi tembam kemerah-merahan.
"MasyaAllah, cantiknya anak abah." Bisik Rash perlahan. Wajah si kecil digomol. Geram, pipi tembam sangat. Rasa macam nak gigit.
"Baiknya dia, tak menangis pun. Menangis masa baru keluar tadi je." Tegur doktor yang sambut Esha bersalin tadi. "Anak soleh budak ni."
"Tahniah puan Esha, tuan Rash."
Doktor perempuan itu senyum sebelum berlalu dari situ.
"Terima kasih doktor."
"Abang...." panggil Esha.
"Iya, sayang." Rash kalih pandangan ke sisi.
"Nak pegang Luqman." Esha senyum segaris. Tangan dia hulur ke depan.
Bayi dalam kendongan Rash hulur kepada Esha. "Cantik anak kita. Macam Esha."
Rash hanya menikmati pemandangan di hadapan matanya sekarang. Dia turut tersenyum bila Esha mengomol wajah si kecil. Pandai pula dia diam saja. Tak menangis.
"Eeee... geram! Tembamnya pipi awak sayang." Tangannya masih sibuk cubit pipi si kecil.
"Abang....."
"Ya, sayang."
"Comelnya anak kita. Pipi dia merah. Alis mata dia lentik macam Esha. Tapi.... mata dia bulat macam mata abang. Esha suka," kata Esha ceria.
Rash turut senyum. Bahagianya dia rasa sekarang. Bahagia dia tengok senyuman dan wajah ceria Esha.
Senyuman Rash perlahan-lahan mengendur. Dahinya berkerut memandang Esha. Rasanya tadi dia tak ada bagitahu Esha secara terperinci pun macam mana rupa dan bentuk muka Luqman. Macam mana Esha boleh tahu?
"Esha...." Rash menerpa ke arah Esha. Wajah Esha ditenung dengan seribu satu persoalan.
"Esha.... dah boleh nampak?" tanya Rash ingin kepastian.
Esha senyum segaris sebelum dia hadiahkan satu senyuman untuk Rash.
"Ya Allah. Alhamdulillah. Terima kasih, Ya Allah. Terima kasih." Tubir mata diseka dengan jari. Syukur tak terkata. Terasa seperti sedang bermimpi. Tubuh Esha dipeluk, erat. Bahagia, sebak, terharu, rasa syukur semua bercampur. Alhamdulillah, di atas kurniaanmu Ya Allah.
Esha turut membalas pelukan hangat Rash. Alhamdulillah. Air matanya menitis laju.
"Luqman. Luqman Al-Hakim. Itu nama anak kita, abang."
"Ya, anak abah. Luqman Al-Hakim."
Mereka berdua sama-sama melihat ke luar jendela. Malam ni, semesta telah menyaksikan kisah cinta mereka berdua. Semoga bahagia saja yang muncul selepas ini. Amin.