9 bulan kemudian .....
"SAYANG! Dekat mana ? "
Tangan Esha yang sedang pegang pisau terhenti bila Rash panggil dirinya dari ruang tamu. " Dekat dapur," laung Esha kuat. Dia kembali sambung potong buah oren.
Auch !
Esha mengaduh bila pisau terkena jarinya yang sedang potong buah oren. Hujung jari yang berdarah dibawa ke mulut.
" Ya Allah, Esha buat apa ni ? Habis berdarah jari tu." Cepat - cepat Rash tarik tangan Esha, dan jari isterinya itu dibalut dengan plaster.
"Kan abang dah bagitahu tak payah masuk dapur. Nak apa -apa bagitahu saja. Nanti abang buatkan. Sayang dah sarat nak bersalin. Rehat sayang." Tangan Rash naik mengusap perut Esha yang sudah besar.
"Tadi Esha panggil abang, abang tak jawab. Jadi, Esha potong sendiri jelah buah oren ni. Esha .... teringin nak makan, " jawab Esha dengan mata yang berair.
Rash lepas satu keluhan. Tangan Esha digenggam erat, lalu dia elus lembut. Satu senyuman dia hadiahkan buat isteri tercinta. Alahai ... mak buyong ni. Sejak mengandung, Esha jadi sensitif betul. Sebab itu, sedaya upaya Rash cuba bersabar dengan kerenah mak buyong ni. Dia tahu Esha jadi sensitif sebab pembawakan budak. Apalah sangat kalau nak dibangingkan dengan pengorbanan yang Esha lakukan disebabkan perbuatannya.
Tubuh Esha ditarik ke dalam pelukan Rash. Dahi Esha dia cium lama. Mata Esha yang berair, Rash sapu dengan hujung jari. Tangan Esha ditarik dan dibawa ke ruang tamu.
" Dah, duduk sini. Rehat. Biar abang pergi potong buah oren."
"Sayang abah duduk diam-diam ye. Kesian ibu penat." Satu kucupan singgah di perut Esha sebelum Rash kembali ke dapur.
Dua minit kemudian, Rash kembali bersama satu pinggan buah oren yang sudah dipotong.
"Nah.... buah oren." Rash hulur satu pinggan buah oren. "Eh, takpe. Biar abang suapkan. Tangan Esha sakit lagi, kan?"
"Buka mulut," arah Rash.
Mata Esha berair
"Ya Allah, sayang. Kenapa menangis pula ni? Abang salah apa pula ni?" tanya Rash. Tiba-tiba saja mata isterinya berair. Rasanya dia tak ada buat apa-apa melainkan dia cuma suruh Esha buka mulut untuk dia suap buah oren.
"Terima kasih, abang."
"Untuk apa?" pinggan buah oren di tangan Rash letak atas meja.
"Terima kasih sebab potong buah oren untuk Esha," kata Esha, ikhlas.
Rash senyum. Matanya tunak merenung wajah si isteri dengan penuh kasih sayang, walaupun dia tahu Esha tak nampak.
Tangan Esha digenggam
"Abang yang sepatutnya berterima kasih dekat Esha."
"Tak. Esha yang patut berterima kasih dekat abang. Terima kasih sebab abang sanggup terima Esha walaupun Esha buta. Abang kena buang keluarga sebab, abang pilih Esha. Esha..... tak sempurna, tapi kenapa abang masih pilih Esha?"
Tangan Rash naik ke pipi Esha, mengusap air mata dengan telapak tangan. Tubuh Esha ditarik ke dalam dakapan.
"Abang.... Esha minta maaf. Esha tak dapat jadi isteri dan ibu yang sempurna untuk anak kita. Esha.... tak dapat nak tengok anak kita nanti." Rasa sebak mula bertandang.
"Tak ada manusia yang sempurna dalam dunia ini sayang. Kalau kesempurnaan yang abang cari, sampai bila-bila pun abang tak akan jumpa. Kalau rupa paras yang cantik abang pandang, Isteri abang lebih cantik dari semua ciptaan di muka bumi ini. Masa muda memang cantik, tapi makin lama-makin tua, kecantikan yang dibanggakan akan hilang. Semua itu tak penting sayang. Yang penting, abang sangat bersyukur dijodohkan dengan Esha. Esha....."
Rash berhenti sejenak. Rasa sebak mula bertandang. Nafas diatur, dihembus perlahan.
"Esha anugerah terindah yang Allah hadiahkan kepada abang. Esha, dan bakal anak kita, amanah yang Allah berikan pada abang. Jadi, abang kena jaga betul-betul, hadiah yang Allah dah berikan pada abang. Abang janji, kita akan jaga anak kita sama-sama. Ok, sayang?"
Dahi Esha dikucup lembut. Hangat.
"Arghhh...."
"Abang.... sakit." Esha pegang perutnya.
"Sa.... sakit abang. Arghh....."
Rash tolak tubuh Esha ke depan sedikit. Cemas, tapi dia cuba atur nafas.
"Esha dah nak bersalin ni." Badan Esha dia cempung. Kunci kereta di ambil, lalu dia masukkan Esha ke dalam kereta. Pedal minyak ditekan, kereta dipandu menuju ke hospital.
9 bulan yang lalu...
SESAMPAI sahaja di hospital, Rash terus bergegas menuju ke arah bilik doktor.
"Apa yang dah terjadi dengan Esha doktor?"
"Duduk dulu, Rash," arah doktor.
"Doktor, macam mana dengan Esha?" sekali lagi Rash tanya.
Diam
"Kenapa diam doktor? A... apa yang dah jadi?" Rash mula hilang sabar.
"Saya nak awak bertenang dulu Rash. Tarik nafas, hembus. Bertenang. Selagi emosi awak tak stabil macam ni, saya tak akan bagitahu awak."
Rash akur. Arahan doktor dia ikut sehingga perlahan-lahan dia mula rasa tenang.
"Kami dah cuba sebaik yang mungkin Rash. Berita baik, Esha dah sedar dari koma. Alhamdulillah."
"Berita buruk....." ayat dibiar tergantung seketika.
"Esha buta. Saya minta maaf," kata doktor perlahan. Nafas dihembus kasar.
Rash terpempam. Dunia terasa seolah-olah terhenti. Gelap. Hancur. Semua rasa bersatu.
"Ini semua salah saya doktor. Salah saya!" Rash salahkan diri sendiri. Dada dipukul berkali-kali. Terhinjut-hinjut tubuhnya menangis sehingga dada mula terasa sesak.
"Ka..... kalaulah saya...."
Rash jatuh terduduk
"Ini semua ketentuan takdir, Rash. Awak banyakkan berdoa. Menangis tak akan mengembalikan penglihatan Esha." Bahu Rash ditepuk lembut.
Doktor melabuh punggung di sisi Rash
"Awak sepatutnya kuat Rash. Rash nak nampak lemah depan Esha ke? Esha dah tak ada sesiapa. Jadi, patut ke awak jadi lemah, Rash?"
"Saya bukan nak menyibuk dengan hidup awak, tapi.. saya cuma nak tolong awak. Kita sama-sama lelaki, anggap saja ini nasihat dari seorang ayah atau kawan untuk orang yang dia sayang, ok?"
Satu senyuman dia beri kepada Rash.
"Dah. Saya pergi dulu." Bahu Rash ditepuk lembut sebelum doktor mula melangkah keluar dari biliknya.
Rash diam. Cuba bertenang dan fikir secara waras. Dia sedar dengan kekhilafan dirinya. Betul kata doktor. Dia perlu kuat demi Esha. Dia terus bangun dari duduk, berlari mendapatkan Esha.