"Betul ke abang dah buat keputusan muktamad? Saya bukan apa bang, syarikat tu ada milik abang juga," soal Malik.
Sejak beberapa hari yang lalu, Ismail membuat keputusan untuk menyerahkan syarikat yang asalnya milik ibu dan ayah mereka sepenuhnya kepada Malik. Tak lama lagi, syarikat itu akan diserahkan pula kepada Zafran.
"Abang dah fikir masak-masak, Malik. Lagipun, abang dah bina syarikat sendiri untuk Imtiaz. Dia satu je anak abang dengan kakak kau. Kau anak beranak lagi banyak berjasa untuk syarikat tu. Abang tak larat nak uruskan syarikat banyak-banyak dah. Abang nak senangkan Imtiaz juga," ujar Ismail.
Imtiaz, satu-satunya zuriat yang dia ada bersama isterinya. Anak itu juga dari awal tak mahu memegang legasi keluarga mereka.
"Kalau abang dah cakap macam tu, tak apalah. Tapi, andai kata Im nak join company tu, cakap je. Pintu sentiasa terbuka untuk dia".
"Ni, macam mana dengan kau cari Fatimah dan Rania? Ada perkembangan terbaru?" soal Ismail. Namun, dia hanya mampu diam saat Malik menggelemg.
"Tak ada, bang. Saya rasa penat juga. Tambah lagi dengan Maria dah tak ada, Sofia pula kena penjara...saya rasa putus asa," keluh Malik. Mana tidaknya, bertahun-tahun dia cari isteri dan anaknya itu.
"Tak boleh macam tu, Malik. Kau dah banyak abaikan tanggungjawab kau pada mereka. Nak-nak lagi, Rania. Dia akan kahwin satu hari nanti, perlukan wali. Abang ingat, kau dah jumpa Rania sebab abang tengok-"
"Ada perempuan serupa Fatimah?" soal Malik laju.
"Betul ke tu?"
"Bukan, bang. Dia tak kenal pun siapa Fatimah, " itulah hakikat yang dilontarkan Rania.
Malik mengeluh kecil saat terasa ada sesuatu yang jatuh di atas kakinya. Mata yang terasa berat masih dipejamkan. Malas mahu melihat apa yang jatuh tadi.
"Ayamak! Mainan adik jatuh puyak! Hish!" suara keluhan kecil Rania terdengar di telinganya. Malik membuka matanya perlahan dan tanpa disangka, pandangan matanya bertembung dengan iris comel Rania.
"Adik mintak maaf, ayah. Adik tak cengaja," kata Rania dengan sengihan di bibir.
"Kenapa ayah tidur syini? Syini kan cejuk?" soal Rania. Malik meraup wajahnya. Baru bangun, dah ditanya itu ini. Nak bangun masuk bilik, malas pula. Lantaklah! Tidur je dekat sini. Kejap lagi, Rania akan pergi tempat lain. Lantas, mata kembali dipejam.
Rania yang melihat ayahnya kembali tidur itu, terus berlari ke bilik untuk mendapatkan sesuatu. Tak lama selepas itu, dia kembali ke tempat Malik tidur tadi bersama selimut tebal. Bersusah payah dia bawa selimut itu yang besar dan berat, kalau mahu dibandingkan dengan tubuhnya yang kecil itu.
Selimut itu dibuka lalu diletakkan perlahan-lahan ke atas tubuh Malik sehingga ke bahu. Malik yang terasa seperti lenanya diganggu sekali lagu, terus membuka mata. Terkejut melihat Rania yang sedang membetulkan selimut di bahagian kakinya.
"Buat apa ni?" soal Malik.
"Adik tengah syelimutkan ayah lah! Ayah mesti cejuk!" ujar Rania bersungguh-sungguh. Usai selimut itu dibetulkan, dia kembali ke hadapan Malik.
"Ayah tidur, okay? Adik dah letak syelimut dah," ujar Rania. Tak semena-mena, bahu Malik ditepuk perlahan.
Tak betah mahu terus melihat wajah Rania, terus Malik memusingkan tubuhnya agar membelakangi Rania. Kalau lagi lama dia menghadap Rania, lagi lama juga Rania akan ada di situ.
Tangan Rania yang menepuknya tadi juga berhenti. Malik tidak peduli apa yang Rania fikir.
Ingatan Malik tentang Rania yang menjengah secara tiba-tiba tadi mengundang tangisan sayu lelaki tua itu. Entah apa khabar Rania dan Fatimah hari ini. Perasaan tidak berguna dalam dirinya semakin menebal hari demi hari. Suami dan ayah jenis apa dia ni? Sanggup tinggalkan isteri dan anak demi menggapai kesenangan hidupnya sendiri.
Bertahun-tahun dia mendirikan rumah tangga bersama Maria. Malik tahu, rasanya tak sama saat dia bersama dengan Fatimah. Jauh sekali berbeza.
Sayangnya pada Maria ada, cuma sayang itu tak hadir dengan cinta. Lebih kepada patuh pada arahan orang tuanya dan sayang pada Maria kerana Maria juga melayan dia dan Zafran dengan baik sepanjang perkahwinan mereka.
Berbeza saat dia ada Fatimah. Cinta hadir dulu bersama-sama rasa sayang. Sayang sekali, dia yang membuang kedua-dua perasaan itu antara mereka berdua. Lantaran itu, dia dan Fatimah, serta anak-anak mereka menanggung kesan pada hari ini.
Bagaimana suatu hari nanti, bila Rania bertemu dengan lelaki yang dia cinta dan mahu mendirikan rumah tangga? Perasaan Malik untuk menjadi wali buat anaknya itu membuak-buak sementelah dia tidak boleh berbuat demikian ke atas Sofia.
Rania anak yang manja. Fatimah juga pernah mengusiknya dulu dengan mengatakan Rania anak ayah, bukan anak ibu. Apatah lagi Rania memang suka duduk berkepit dengan dia.
Tapi Malik? Berpura-pura seperti bapa penyayang di hadapan Fatimah dan ibu mertuanya. Di belakang mereka, Malik melayan Rania seolah-olah Rania itu bukan darah dagingnya. Dia juga bebas berbuat begitu kerana Malik tahu, Rania tidak akan mengadu pada sesiapa.
"Ya Allah...kau pertemukanlah aku dengan isteri dan anakku. Aku merayu, Ya Allah..." rayu Malik.
Sesak. Itulah yang dia rasakan saat ini. Rasa berdosa yang tak mampu lagi ditanggung.

ANDA SEDANG MEMBACA
RANIA(OG)
RomantizmDia punya satu dendam. Segala kudrat diusahakan demi dendam yang semakin hari semakin membara. Kalaulah dia tak pernah lahir dalam keluarga itu, mungkin dia seorang perempuan yang baik. Jahat? Dia tak nafikan. Memang betul. Mampukah kasih sayang me...