"Assalamualaikum, mak cik," sapa Fatimah. Tangan dihulurkan untuk menyalam Zahrah, namun tak bersambut. Zahrah hanya berpeluk tubuh dan berdiri di sebelah suaminya, Majid. Cuma Sumayyah, isteri kepada Ismail saja yang menyambut dia mesra.
"Kita ke meja makan, jom. Abah lapar," ajak Majid. Tak betah mahu berbual lama-lama dengan Fatimah. Apa saja budak seperti Fatimah tahu? Hidup lama dalam kampung. Tak seperti keluarga dia yang hidup di bandar.
"Kau kerja apa, Fatimah?" soal Majid. Dalam diam, dia sudah tahu semuanya tentang Fatimah.
"Saya tukang jahit, pak cik," jawab Fatimah mesra.
"Tuan," Majid membetulkan gelaran pak cik yang disebut Fatimah. Ismail, Malik dan Sumayyah terdiam.
"Mak ayah kau?" soal Majid lagi.
"Ayah saya dah lama meninggal. Ibu saya, jual tikar mengkuang yang kami buat sendiri," Zahrah tiba-tiba ketawa saat mendengar jawapan dari Fatimah.
"Malik, perempuan macam mana kamu bawa balik ni? Kau nak beristerikan perempuan miskin macam dia ni? Dia tak akan boleh bawa diri dia dalam keluarga kita," sinis Zahrah.
"Mak! Kenapa mak cakap macam tu?" tegur Ismail. Mak ni pun, kalau tak suka, janganlah sampai menghina. Fatimah dia lihat sudah menunduk.
"Mak, saya sukakan Fatimah sangat-sangat. Terimalah dia walau apa pun taraf hidup dia. Fatimah perempuan yang baik, mak," rayu Malik. Sudah tidak peduli akan pandangan Fatimah terhadap keluarga mereka.
"Bukan mak kamu saja yang tak terima, aku pun!" jerkah Majid. Sanggup Malik merayu-rayu padanya demi perempuan miskin itu?
"Abah, miskin atau kaya bukan penentu bahagia atau tak. Yang penting, hati. Fatimah berhati mulia, abah," rayu Malik sekali lagi.
Sudu yang dipegang Majid berdenting kuat saat dia mencampakkan sudu itu ke atas meja. Berang dengan perangai Malik.
"Kau nak sangat perempuan ni, kau keluar dari rumah aku! Aku tak benarkan dia duduk di rumah ni. Aku juga tak akan bagi satu sen pun harta aku pada kau!" tegas Majid.
"Abah, takkan sampai macam tu sekali?" soal Ismail. Malu dia pada Fatimah. Apa kena dengan mak dan abah dia ni?
"Aku tak main-main, Malik. Budak ni tak setaraf dengan keluarga kita. Dia akan susahkan kau saja nanti,"
"Maaf tuan dan puan. Saya sedar yang saya tak sepatutnya berada di sini. Saya sedar yang saya miskin. Tapi saya masih ada maruah yang tak patut orang lain pijak. Andai kata tuan dan puan tak restu hubungan kami berdua, saya akan pergi dari Malik. Maafkan saya," ujar Fatimah lalu pergi bersama linangan air mata.
"Abah! Abah tak nak tengok saya bahagia ke?" soal Malik.
"Kau boleh bahagia. Kahwinlah dengan siapa kau nak. Berapa kali kau nak kahwin, aku tak kisah. Yang penting, bukan dengan perempuan macam dia. Cari yang setaraf dengan keluarga kita!" balas Majid. Apa lagi yang Malik tak faham?
"Saya cintakan dia, abah...," rintih Malik. Fatimah sudah pergi dari rumah ini. Dia mahu kejar cinta hatinya itu, tapi urusan dia dengan ayah juga belum selesai.
"Jadi? Kau ingat aku kisah?" selar Majid sinis. Malik mengangguk lemah.
"Saya cintakan Fatimah, abah. Saya tak sanggup berpisah dari dia. Cukuplah Maria buat saya kecewa. Saya yakin saya akan bahagia dengan Fatimah. Kalau abah dan mak tak terima dia, saya akan tetap dengan dia,"
"Suka hati kau, Malik. Aku tak halang kau. Pilihan ada di tangan kau. Tapi, kalau kau nak balik ke rumah ni suatu hari nanti, kau hanya boleh balik tanpa dia dan aku akan terima kau macam tak ada apa-apa yang dah jadi," kata Majid lalu berlalu ke bilik dia.
"Fatimah, bangun sayang," Malik mengejutkan isterinya yang lena dari tadi. Ya, isteri.
Selepas dia keluar dari rumah mak dan abah, dia terus mencari Fatimah. Puas dia mencari di merata-rata tempat, mujur dia jumpa Fatimah. Saat itu, dia terus menarik Fatimah masuk ke dalam kereta dan menuju ke Siam.
Gila tak gila, dia perlukan Fatimah saat ini. Dia dan Fatimah bernikah di Siam tadi. Sekarang, mereka pulang ke semula ke rumah Fatimah. Mujur dia masih punya kereta untuk bergerak. Mungkin tak lama lagi, dia akan jual kereta ini untuk tampung perbelanjaan mereka berdua sehingga dia dapat kerja baru.
"Sayang...," Malik menepuk perlahan bahu Fatimah. Fatimah membuka matanya perlahan.
"Malik...betul ke apa yang kita buat ni?" soal Fatimah. Jujur, dia masih keliru. Memang dia cintakan Malik, tapi dia dah jadi punca Malik dihalau keluar dari rumah.
"Fatimah, abang yakin kita buat keputusan yang betul. Abang akan cari kerja untuk tampung hidup kita dan mak. Abang tahu nanti mak dan abah akan lembut hati sendiri," pujuk Malik pada Fatimah.
"Fatimah, percayalah pada abang," rayu Malik. Dahi licin Fatimah dikucup lembut. Dia tahu Fatimah gelisah dan takut.
"Abang sanggup hidup susah dengan Fatimah? Fatimah tak ada apa nak bagi pada abang," kata Fatimah sayu. Dia tak kisah hidup susah sebab memang dari lahir hidup dia begitu. Tapi Malik, dia tak tahu. Malik sudah tentu dibanjiri kemewahan dari lahir.
"Abang sanggup sebab abang cintakan Fatimah," balas Malik.
Namun, siapa sangka yang janji yang pernah dilakukan bakal dimungkiri suatu hari nanti?
ANDA SEDANG MEMBACA
RANIA(OG)
RomanceDia punya satu dendam. Segala kudrat diusahakan demi dendam yang semakin hari semakin membara. Kalaulah dia tak pernah lahir dalam keluarga itu, mungkin dia seorang perempuan yang baik. Jahat? Dia tak nafikan. Memang betul. Mampukah kasih sayang me...
