"Kau ingat aku akan percaya kata-kata kau. Orang tamak seperti kau pasti akan datang mengugut aku lagi selepas ini." Kelihatan Idris sedang memegang pisau yang sudahpun berlumuran darah.
"Bangsat kau!" Itulah kata-kata terakhir daripada Romzi sebelah rebah ke tanah.
Tanpa berlengah, Idris terus menarik tubuh lelaki itu yang kini sudahpun keras tidak bergerak. Ditarik tubuh itu masuk ke dalam ladang kopi miliknya, lalu mencari kawasan yang bertanah lembut.
Beliau terus menggali tanah itu sehingga dalam, lalu menanam tubuh Romzi. Setelah yakin tiada lagi kesan yang tinggal, beliau terus beredar daripada situ. Diharap perbuatannya tidak tertangkap oleh sesiapa.
==================================================================================
April 1954 :-
Sarip ke hulu ke hilir di ruang tamu rumahnya. Kegelisahan di dalam dirinya kini semakin menjadi-jadi. Sudah lah Kamsan dan Meon melarikan diri tanpa membayarnya dahulu, kini Romzi pula menghilangkan diri.
Beliau sendiri tidak tahu kemana kah rakannya itu pergi. Kini orang yang terlibat pada malam itu hanya tinggal dirinya sahaja yang berada di kampung ini. Itulah yang telah membuatkan beliau gelisah.
"Tak boleh jadi ni, aku kena lari dari sini juga." Sarip bermonolog sendirian.
Beliau kemudian terus mengemas pakaiannya dan dimasukkan ke dalam beg pakaian. Sesudah itu beliau terus menuju ke pintu utama rumahnya. Apabila pintu itu dibuka, alangkah terkejutnya apabila melihat dua orang polis.
"Ini rumah Sarip Bin Dollah ke?" Salah seorang polis menyoal.
"Haah saya, ada apa tuan?" Jantung Sarip berdegup dengan kencang.
"Boleh ikut kami ke balai sebentar untuk membantu siasatan atas kematian Selamat?" Pinta seorang lagi polis.
"Selamat? Siapa tu? Apa kena dengan saya?" Bohong Sarip.
"Beberapa hari yang lepas pihak polis sudahpun berjaya menemukan mayat Selamat yang ditanam di hutan. Tidak jauh dari situ kami menemukan sebilah pisau yang disyaki digunakan untuk membunuh Selamat." Terang polis pertama.
"Setelah siasatan dijalankan, kami dapati pisau itu adalah milik encik Sarip. Jadi kami minta encik ikut kami ke balai untuk membantu siasatan." Pinta polis kedua pula.
Secara tiba-tiba Sarip melompat dari atas rumahnya terus ke laman rumah. Dengan sepantas kilat beliau terus membuka langkah seribu. Beliau tahu jika beliau ikut ke balai, sudah pasti semuanya terbongkar.
Ini kerana pisau yang ditemukan itu memang sah miliknya. Terasa menyesal kerana tidak membuang pisau itu jauh ke tengah laut. Terasa menyesal juga kerana melakukan kerja ini, namun bayaran satu sen belum diterima.
"Bang!" Tiba-tiba kedengaran bunyi tembakan dilepaskan.
Ketika itu jugalah Sarip tergolek di atas tanah. Beliau tidak mampu melarikan diri kerana kakinya sudahpun terkena tembakan. Kelihatan darah yang banyak mula mengalir keluar daripada betisnya.
"Tak guna anda melarikan diri. Baik anda menyerah saja." Kini kedua-dua polis itu sudah menghampiri Sarip sambil mengacu pistol.
Sarip tiada pilihan lain selain daripada menyerahkan diri. Terasa menyesal kerana mengikut arahan Kamsan tempoh hari. Namun sudah terlambat kerana sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna lagi.
==================================================================================
Kedengaran bunyi teriakan tanpa henti dari bilik tidur Embun. Wanita itu tidak henti-henti menangis sejak dari petang tadi. Ini kerana dia telahpun menerima berita akan penemuan mayat Selamat.
Malah dia sangat terkejut mendengar bahawa ayahnya yang menjadi dalang akan kematian Selamat. Malah ayahnya dan Meon kini sedang menjadi buruan polis. Tiada siapa tahu kemana kah mereka melarikan diri.
Dia tidak menyangka Selamat mati dibunuh pada malam kejadian mereka ditangkap basah. Tidak dia sangka ayahnya tekad melakukan hal itu semata-mata tidak mahu orang kampung tahu mereka ditangkap basah.
Ayahnya tidak rela menanggung malu dihina orang kampung sehingga sanggup menjadi dalang pembunuhan. Terasa sangat sedih kini Selamat sudahpun meninggalkan dirinya buat selama-lamanya.
"Ini semua salah kau sebab kau ke rumah lelaki itu untuk melakukan maksiat. Jika kau tahan nafsu kau, sudah pasti lelaki itu masih lagi hidup." Perli Idris yang berada di pintu bilik.
"Tapi jika lelaki itu masih hidup sekalipun, kamu berdua tidak akan bersama juga. Ini sebab kau tetap akan menjadi isteri aku juga." Tambah Idris lagi.
Namun kata-kata Idris langsung tidak diendah oleh Embun, sebaliknya gadis itu masih meratap akan kematian Selamat. Dia masih lagi tidak mahu menerima kenyataan akan pemergian lelaki yang dicintainya itu.
Idris merasa bosan melihat perilaku isterinya itu, lalu terus beredar daripada situ. Beliau tidak rasa apa-apa langsung akan kematian Selamat. Malah beliau rasa sangat gembira lelaki itu sudah tiada.
Jika lelaki itu masih hidup sekarang ini, mungkin beliau sendiri yang menghabiskan nyawanya. Mana mungkin beliau mahu membiarkan lelaki itu hidup setelah mengetahui keterlanjurannya bersama Embun.
Sehingga kini beliau masih lagi tidak boleh menerima kenyataan bahawa isterinya pernah disentuh oleh lelaki lain. Baginya tubuh Embun hanya miliknya dan akan mengharamkan mana-mana lelaki menyentuhnya.
==================================================================================
Julai 1954 :-
"Kenapa tuan tahan saya?" Soal Idris yang kini sedang duduk di dalam balai polis sambil dikelilingi oleh polis.
"Beberapa bulan lepas kami menahan seorang lelaki bernama Sarip untuk membantu siasatan atas kematian Selamat." Ujar polis pertama.
"Apa kena mengena dengan saya?" Walaupun Idris tahu akan kes yang melibatkan bekas teman lelaki isterinya itu, namun beliau merasa pelik apa kena mengena kes itu dengan dirinya.
"Setelah siasatan dijalankan, kami dapati ada empat orang yang terlibat atas kematian Selamat. Mereka adalah Sarip, Kamsan, Meon, dan juga Romzi. Kamu tahu ke mana mereka pergi?" Soal polis kedua pula.
"Hanya Kamsan yang saya kenal sebab dia adalah bapak mertua saya, tapi saya tidak tahu kemanakah dia menghilang. Tiada siapa yang tahu keberadaan Kamsan." Balas Idris.
"Kami mendapat berita Kamsan dan Meon sudah melarikan diri ke utara tanah air, tapi bukan mereka yang kami ingin tahu. Apa yang kami inginkan sekarang ini adalah mengenai Romzi." Ujar polis ketiga pula.
"Siapa tu? Saya tak kenal pun." Ujar Idris.
"Setelah beberapa bulan kami mencari dia, akhirnya kami jumpa di mana keberadaan Romzi. Cuma malangnya Romzi kini sudahpun menjadi tulang temulang sahaja. Kamu tahu di mana kami jumpa tulangnya?" Soal polis pertama pula.
"Mana saya tahu, orangnya pun saya tak kenal." Tegas Idris.
"Janganlah kamu berpura-pura bodoh pula. Kami jumpa mayatnya di ladang kopi milik kamu." Jelas polis kedua pula.
Bersambung...
YOU ARE READING
Embun Karina
Mystery / Thriller🔞🔞🔞 (Versi panjang cerita Embun Pagi) Gempar apabila pontianak muncul di Kampung Binjai Tengah. Akibat berita itu, Fariq terus menuju ke kampung itu untuk dimasukkan ke dalam penulisannya. Daripada situ lah beliau mengetahui nama seorang wanita b...