Part 4

195 17 0
                                    

"BAWAK motor tu elok-elok sikit. Jangan nak merempit sangat," tempik Mak Eton pada si anak gadis yang kelam-kabut di pagi hari. Ingin bergegas ke tempat kerja. Lewat bangun punya pasal.

"Baik, mak," sahut Jamilah seraya mencapai topi keledar lalu disarung ke kepala.

Sempat dicapai karipap di atas meja makan lalu digonggong di bibir. Akan dikunyah ketika merempit di atas jalan raya nanti. Cepat dan pantas. Menjimatkan masa.

"Tak senonoh budak ni!" selar Mak Eton ingin sahaja ditepuk si anak yang langsung tiada kelembutan itu. Terlalu selamba. Terlalu bersahaja. Ish... ish... ish...

Dengan sikap seperti itu, entah siapa yang sudi memperisterikan anak gadisnya itu. Sampai sekarang tak laku-laku.

Sudahlah tak cantik. Tak lemah lembut pula tu. Apa nak jadi pun tak tahu.

Mak Eton tergeleng-geleng melihat tingkah si anak. Tidak pasti bagaimana si anak sulungnya membesar menjadi gadis yang tidak serupa gadis.

Digaru kepala yang tidak gatal. Cuba mencari jawapan itu. Mujur sahaja penampilan masih seperti gadis. Berbaju kurung dan bertudung bawal. Dibuatnya suka berpakaian seperti lelaki lagi haru jadinya.

'Bersyukur, Eton. Bersyukur.'

"Lapar," komen Jamilah melangkah pantas ke pintu.
Beg tangan 30 ringgit yang dibeli di Shopee disilangkan di tubuh. Posisi yang selamat kala merempit. Tak mudah direnggut mahupun diterbangkan angin walaupun dia tidak membawa barang berharga.

"Ingat. Jangan merempit. Bawak motor tu elok-elok."

"Baik, mak," balas Jamilah akur.
Bukannya si emak tahu pun kalau dia memulas minyak sampai habis sekalipun. Jamilah mengulum senyum memikirkan hakikat itu.

"Senyum-senyum. Hang ingat aku tak tau hang tu bawak motor serupa hantu? Hang ingat tak ada orang mai report kat aku?" tempik Mak Eton menunjal topi keledar yang dipakai si anak geram.

Mendengar bebelan si emak, Jamilah menayang gusi. Tidak mampu menidakkan tuduhan itu. Hidup berjiran memang tidak terlepas dari gosip murahan. Cis!

Siapa yang berani mengumpat di belakangnya, hah?

"Sengih-sengih. Walaupun hang tu tak ada rupa... mak sayang hang tau dak Milah. Hang jangan macam-macam. Jangan nak buat mak risau," tingkah Mak Eton mengesat mata yang kering.

"Baik, mak," balas Jamilah laju mendapatkan wave 100 cabuk yang ditunggang setiap hari ke tempat kerja.

Jika terus dilayan bebelan Mak Eton, sampai esok pun belum tentu habis. Dikerling jam pink 20 ringgit di pergelangan tangan. Dah lewat ni!

Sudahlah hari ni bos baru akan masuk menghadapnya. Eh, dia yang akan menghadap bos baru muda bergetah yang mungkin akan terpikat dengannya. Bukan lagi Tuan Azlan yang tua tapi baik hati.

"Mak... Milah gerak dulu."
Kain baju kurung hijau yang dipakai diselak sedikit menampakkan betis bunting padi untuk menunggang motor. Putih. Bersih.

Tersenyum Mak Eton melihat betis seksi Jamilah. Sekurang-kurangnya bakal suami si anak mungkin akan berpuas hati bila menyelak apa yang boleh diselak bila hubungan sudah halal nanti. Tidaklah kerugian mas kahwin yang dibayar.

Mak Eton terangguk-angguk bagai burung belatuk. Membayangkan tentang jodoh si anak yang belum kunjung tiba.

"Hurm... bawak elok-elok," pesan Mak Eton tanpa jemu. Risau benar anak gadisnya merempit tidak ingat dunia. Masakan tidak bila si anak gadis punya rekod jatuh motor.

Mujur tidak serius. Tetap membimbangkan hati seorang ibu. Lalu doa dipanjatkan tidak henti untuk keselamatan si anak gadis. Moga selamat pergi dan pulang.

SAYANGKU, JAMILAHWhere stories live. Discover now